Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, akhirnya mengutip mata pertama musim ini meskipun menamatkan aksi di kedudukan ke-16.
Penganugerahan mata itu diberikan ekoran keputusan Lorenzo Dalla Porta menduduki tempat ke-11 dibatalkan sekaligus menyaksikan Hafizh secara rasminya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15.
Keputusan pembatalan pelumba itu dibuat setelah mendapati Dalla Porta dan jentera Moto2 miliknya merekodkan (gabungan) berat 216kg, kurang satu kilogram berbanding had minimum yang ditetapkan pada 217kg.
Panel FIM MotoGP mendapati kegagalan pelumba Italtrans Racing Team itu mencapai berat minimum 217kg melanggar Artikel 2.5.4.1 Peraturan Kejuaraan Dunia GP FIM yang ditetapkan.
“Mengambil kira faktor tersebut, FIM memutuskan untuk membatalkan keputusan tersebut mengikut Artikel 3.2.1,” jelas Panel FIM dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Hafizh mempamerkan tunggangan mantap apabila pada suatu ketika menduduki tempat ke-11 dengan perlumbaan berbaki 7 lap meskipun memulakan perlumbaan di P27.
Bagaimanapun, masalah jentera menyaksikan pelumba itu menamatkan aksi di kedudukan ke-16.
“Saya kecewa dengan perlumbaan hari ini. Saya mampu memberi saingan dengan kelompok depan tetapi suhu jentera naik dari 80 darjah celsius kepada 130 darjah celsius lalu memberi kesan kepada prestasi keseluruhan,” jelasnya sebaik perrlumbaan berakhir.
Namun, Hafizh mampu menarik nafas lega apabila dianugerahkan satu mata selepas pembatalan keputusan Dalla Porta.
Pelumba berusia 27 tahun itu akan kembali beraksi pada hujung bulan ini di GP Itali yang dijadualkan berlangsung di Mugello.