Bikesrepublic

Berita Terkini

Mingggu lalu, pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) telah mengadakan jamuan buka puasa di Jerez yang diadakan pada Khamis, sehari sebelum ujian bebas rasmi MotoGP.

Happiness is about sharing Iftar with others, so we invited fellow team members from the paddock for a special break…

Posted by PETRONAS SRT on Monday, 3 May 2021

Namun, perkongsian gambar di laman Facebook rasmi Petronas Sepang Racing Team (PSRT) mencetuskan pelbagai persoalan apabila tiada kelibat Hafizh Syahrin kelihatan.

Sebaliknya, antara yang hadir adalah wakil dari pasukan Indonesia Racing Gresini Moto3 serta pelumba Indonesia dari Honda Team Asia, Andi Farid Izdihar.

Majlis buka puasa anjuran PSRT itu turut disertai prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, mekanik tempatan di PSRT, Habibtullah Mohd Fuad @ Habib serta Pengurus Media Muda PSRT, Thoriq Azmi.

Ketiadaan pelumba Moto2 negara itu mencetuskan pelbagai tanda tanya dengan rata-rata ruang komentar berpendapat PSRT tidak menjemput Hafizh.

Kami di MotoMalaya juga bertanyakan soalan yang sama namun kami bernasib baik apabila sumber dekat kepada PSRT memaklumkan bahawa jemputan majlis berbuka puasa itu telah pun dihantar kepada Hafizh dengan pelumba NTS RW Racing itu turut dimaklumkan mengenai acara tersebut.

Difahamkan, Hafizh dan beberapa pelumba lain termasuk pasukan Pertamina Mandalika SAG Team tidak dapat hadir ekoran terlibat dengan aktiviti bersama pasukan masing-masing.

Info tersebut sekaligus menepis dakwaan bahawa Hafizh tidak menerima jemputan buka puasa itu.

Saingan MotoGP, Moto2 dan Moto3 kembali bersambung pada 14 Mei ini di Litar Le Mans.

Minggu lalu, berita mengenai pengesahan pasukan VR46 bakal beraksi di kelas premier MotoGP mula berlegar selepas kenyataan media oleh pihak Tanal Entertainment Sport & Media.

Kenyataan tersebut mengumumkan bahawa pasukan VR46 akan beraksi di MotoGP musim 2022 bersama Tanal Entertainment Sport & Media dengan Saudi Aramco sebagai penaja utama bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Tanal Entertainment Sport & Media merupakan syarikat milik YM Putera Mahkota Abdulaziz Abdullah Al-Saud.

Bagaimanapun, kenyataan media itu tidak disertakan dengan sebarang petikan dari pihak Tanal, Saudi Aramco mahupun VR46.

Dalam perkembangan terkini, difahamkan Aramco menafikan kerjasama tersebut sebaliknya tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Sementara itu, pemilik VR46, Valentino Rossi, menegaskan bahawa pasukan itu telah pun menjalin perjanjian bersama Aramco.

“Perjanjian dengan Aramco bagi menubuhkan pasukan MotoGP semenangnya berlaku. Jadi saya tidak faham mengapa mereka (Aramco) berkata mereka tidak tahu menahu,” tegasnya.

Meskipun mengakui dirinya tidak terlibat dengan perbincangan tersebut secara langsung namun Rossi menjelaskan terdapat ramai individu lain yang mewakili VR46.

“Saya tidak bercakap dengan pihak Aramco secara langsung kerana saya masih pelumba MotoGP jadi fokus saya adalah perlumbaan.

“Tetapi saya masih juga terlibat kerana pasukan ini membawa nama VR46 sepertimana musim ini di Moto2 dan bersama Luca Marini di Ducati. Sejujurnya, terdapat ramai individu di VR46 yang mengusahakan urusan ini.

“Saya hanyalah boss, jadi saya tidak perlu bercakap secara langsung dengan penaja,” tambah Rossi.

Situasi terumbang-ambing di antara pihak VR46, Tanal Entertainment Sport & Media dan Saudi Aramco mungkin berpunca daripada kegagalan menyeragamkan saluran informasi di antara ketiga-tiga pihak.

Apa yang pasti, perkembangan pasukan VR46 ini akan terus mencuri tumpuan tahun ini sehinggalah terdapat kenyataan rasmi berserta petikan bagi mengesahkan kerjasama ini. – Crash.net

Pelumba Repsol Honda, Pol Espargaro, mula menyuarakan ketidak puasan hati terhadap HRC yang tidak memberikan layanan sama rata.

Espargaro kecewa apabila mengetahui bahawa dia mendapat jentera RC213V dengan spesifikasi berbeza berbanding Marc Marrquez.

Pelumba Sepanyol itu sertai Repsol Honda dari KTM pada hujung musim lalu dalam usaha mengejar kedudukan lebih baik dan hanya bersaing bersama Marquez sewaktu Di Portimao selepas rakan sepasukannya itu diketepikan ekoran masalah kecederaan.

Bagaimanapun, selepas aksi di Jerez yang menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, di belakang Marquez, Espargaro meluahkan kekecewaannya terhadap situasi yang dihadapi ketika ini.

“Jentera tiada cengkaman dan kelajuan juga tidak berapa baik. Saya tidak dapat menunggang dengan lancar.

“Saya hanya seorang pekerja, jadi apa sahaja pakej yang mereka (HRC) beri, saya akan cuba yang terbaik dan kemudian membuat keputusan mana satu yang lebih baik.

“Kami semua menggunakan pakej yang berlainan, Marquez guna pakej lain, saya guna pakej lain malah pasukan satelit juga menggunakan mesin yang berbeza.

“Akan tetapi, masalahnya sekarang saya tidak dapat mengukur sama ada saya, jentera atau pakej yang digunakan yang tidak cukup bagus. Saya bingung,” jelas Espargaro.

Susulan permasalahan ini, Espargaro menjelaskan dia tidak dapat menghulur sebarang bantuan dalam pembangunan jentera ketika ini.

“Berdasarkan pengamatan saya, saya tidak dapat membantu mereka (HRC) dan mereka juga tidak dapat membantu saya kerana setiap pelumba mendapat pakej berbeza,” tambahnya.

Walaupun baru sertai Repsol Honda, Espargaro tidak malu untuk menyuarakan pendapatnya apatah lagi tidak berpuas hati HRC mengikut telunjuk Marquez dalam pembangunan jentera.

Bagaimanapun, tindakan HRC memfokuskan pembangunan RC213V mengikut acuan Marquez bukan lagi satu kejutan, apabila langkah itu menghadiahkan enam kejuaraan dunia MotoGP sebelum ini.

Walaupun situasi semasa adalah sukar, bagi HRC, Marquez adalah bintang utama pasukan itu.

Saingan MotoGP kembali bersambung pada 14-16 Mei ini di Litar Le Mans. – Visordown

Perodua merekodkan jualan 20,399 unit pada bulan April dengan model baru, Ativa antara pemangkin utama dengan 4,625 unit telah pun terjual.

Menurut Perodua, sejumlah 9,000 unit Ativa telah pun dijual sejak tarikh pelancaran pada 3 Mac lalu dengan 290 tempahan diterima setiap hari.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan.

“Tempoh menunggu Ativa kini dari dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang diingini. Kami menasihatkan para pelanggan kami yang dihargai untuk bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai tempoh menunggu bagi pelbagai kombinasi varian-warna Ativa,” jelasnya.

Bagaimanapun, angka jualan itu turun 16.5 peratus berbanding Mac susulan isu kekurangan semikonduktor yang beri kesan pada semua sektor pengilangan dunia ketika ini.

“Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlangsung secara global, Perodua berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit.

“Isu kekurangan cip merupakan keutamaan kami buat masa ini. Kami sedang mengkaji kesemua sumber yang ada untuk menanganinya, termasuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan rakan-rakan niaga kami untuk mencari penyelesaian.

“Perodua tetap komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala ekonomi kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka,” tambah Dato’ Zainal.

Kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada enam daerah di Selangor berkuatkuasa 6 hingga 17 Mei ini.

Perkara itu disampaikan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menjelaskan enam daerah tersebut membabitkan Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat serta Sepang.

Pelaksanaan PKP ini bermakna aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan sama sekali sewaktu tempoh tersebut kecuali kecemasan.

Sementara baki tiga daerah, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih lagi berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Ismail Sabri sewaktu sidang media harian, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

PROTON meneruskan momentum jualan 2021 dengan mencatat peningkatan bagi April dengan lebih 15,017 unit pelbagai model berjaya dijual.

Kenaikan 0.18 peratus berbanding tahun lalu itu menandakan permulaan sihat bagi Suku Kedua tahun ini sekaligus mengukuhkan kedudukan PROTON di tempat kedua dengan 47,843 unit jualan setakat ini.

PROTON Saga turut kembali ke kedudukan teratas sebagai model nasional popular dengan 5,472 unit dijual bulan lalu meskipun terdapat penurunan berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, jualan PROTON X50 terus kukuh dengan 3,583 unit diserahkan kepada pelanggan manakala PROTON X70 kekal memacu segmen-C dengan 2,101 unit dijual pada April.

Tiga model lain turut mempamerkan angka jualan tinggi dengan 2,266 unit PROTON Persona dijual diikuti Iriz dengan 974 unit dan Exora terus terajui MPV segmen-C dengan 606 unit terjual.

“April adalah bulan yang bagus untuk industri automotif dan selain dari PROTON, beberapa jenama lain juga mempunyai bulan terbaik tahun ini.

“TIV dianggarkan melebihi 56,000 unit kerana semua jenama sedang berusaha untuk memenuhi pesanan penjualan sebelum berakhirnya insentif cukai penjualan PENJANA pada
akhir bulan Jun.

“Bagi PROTON, kami meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan produk kami yang tinggi di samping mengekalkan tahap kualiti produk. Pada masa yang sama, kami fokus untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan menangani masalah berkaitan dengan ketersediaan alat ganti, satu aspek yang sangat penting ketika jumlah penjualan kami sedang meningkat. Kami menjangkakan situasi akan semakin pulih dan kami tetap berusaha keras untuk memendekkan jangka masa itu,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Roslan Abdullah.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube