Bikesrepublic

Berita Terkini

Zongshen telah pun mendedahkan model terbaru, Cyclone RX6 kepada umum di Shanghai Motor Show 2021, baru-baru ini.

Ini merupakan motosikal segmen touring yang dibangunkan dengan enjin parallel-twin 650cc oleh Norton hasil daripada kerjasama yang ditandatangani pada 2017.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut terbatal dan Norton kini telah pun jadi milik syarikat motosikal India, TVS Motor.

Namun, Zongshen meneruskan projek pembangunan enjin tersebut lalu terhasilnya model RX6.

Menurut Zongshen, Cyclone RX6 ini digerakkan dengan enjin parallel-twin 650cc yang menawarkan 70hp dan 62Nm sekaligus meletakkan motosikal ini setanding dengan Yamaha Tracer 7 GT (72hp/67Nm) dan Suzuki V-Strom 650 (70hp/62Nm).

Meskipun menggunakan platform sama dari Norton, enjin ini menawarkan 14hp lebih rendah berbanding Norton Atlas Ranger dan Norton Nomad Scrambler.

Sebagai jentera adventure touring, RX6 ini turut menawarkan tangki berkapasiti 21L, penghadang angin boleh laras, tempat duduk luas, paparan TFT berwarna, keterhubungan Bluetooth, lampu LED penuh serta sistem tanpa kunci.

Sistem ‘suspension’ pula hadir menerusi fork upside/down dari Kayaba serta monoshock dengan kedudukan asimetri manakala ciri brek dikendalikan kaliper brek berkembar Nissin di depan dan tunggal di belakang sambil dibantu ABS dwi-saluran.

Zongshen mendedahkan Cyclone RX6 ini merekodkan berat sekitar 245 kilogram.

Difahamkan, Cyclone RX6 ini bakal tampil dengan dua varian:

  • Touring: rim aloi 17″ dengan tayar Pirelli
  • Adventure: tetapan ‘suspension’ yang lebih tinggi dan rim jenis spoke

Zongshen Cyclone RX6 ini akan mula dijual dipasaran China sebelum dipasarkan ke negara luar dalam masa terdekat. – CycleWorld

Pelumba Moto2 negara di Kejuaraan Motosikal Eropah CEV, Adam Norrodin, terus mengorak langkah cemerlang apabila menamatkan aksi di tempat ketiga di Litar Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol, pada Ahad.

Ini merupakan podium kedua berturut-turut bagi pelumba pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team itu selepas melakar kejayaan sama di Litar Estoril pada 25 April lalu.

Adam menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14minit 43.890 saat sementara pasukan Boscoscuro Talent Team-ciatt merekodkan kemenangan satu dua menerui Fermin Aldeguer dan Alonso Lopez.

Sementara itu, Adam turut sempat mengucapkan Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Raya di samping pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, sebelum aksi di Valencia dimulakan.

Kejayaan ini meletakkan Adam di kedudukan ketiga dalam perebutan kejuaraan Moto2 CEV dengan 45 mata, 30 mata di belakang pendahulu, Aldeguer.

Dalam perkembangan lain, pelumba negara di saingan Moto3 CEV, Syarifuddin Azman @ Damok, berjaya mengutip empat mata apabila menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-12 sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-19 pada Perlumbaan 2.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Sharul Ezwan Sharil di kelas European Talent Cup, menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-20 sebelum memperbaiki kedudukan di Perlumbaan 2 dengan tempat ke-16.

Kejuaraan Motosikal Eropah CEV akan kembali bersambung di Litar Catalunya bulan depan.

Menjelang sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma, Ducati Owners Club Malaysia (DOCM) bersama Ducati Malaysia telah mengadakan program ‘Ramadan Basket’ untuk 50 keluarga ASNAF.

Berjalan dengan pematuhan SOP ketat, program tersebut turut mendapat sokongan daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Wilayah Persekutuan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Amal Ehsan Care.

Program ‘Ramadan Basket’ ini merupakan inisiatif DOCM dan Ducati Malaysia bersempena dengan perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Usahasama ini menyaksikan seramai 50 keluarga ASNAF menerima bantuan bekalan makanan berupa beras dan barangan runcit yang sedikit sebanyak membantu dalam persiapan Hari Raya nanti.

Turut hadir meriahkan program ini adalah pengerusi Amal Ehsan Care, Tuan Kelana Putra Muhammad, Koordinator MAPIM WP, YB Ustaz Fadhil dan Pengurus Besar Next Bike Sdn Bhd, Dennis Michael.

Hafiz Syahrin berasakan dirinya sudah semakin serasi dengan chasis NTS yang digunakan bagi saingan Moto2 musim ini.

Meskipun kesemua jentera Moto2 mengguna pakai enjin 765cc inline-3 yang dibekalkan Triumph namun penggunaan chasis dari Jepun itu ternyata memerlukan masa untuk mencapai keserasian.

Selaku wakil tunggal negara di saingan Moto2, Hafizh merekodkan kedudukan terbaiknya setakat ini apabila menamatkan pusingan keempat GP Sepanyol di tempat ke-17 meskipun bermula di petak ke-28.

Meskipun masih belum mengutip sebarang mata, Hafizh optimis dengan peluang yang bakal tiba.

“Masa yang saya catat tidak terlalu jauh dari pemenang perlumbaan Fabio di Giannantonio dan itu adalah keputusan yang positif.

“Saya telah melakar kemajuan selepas tiga pusingan dan berjaya merapatkan jurang dengan pelumba kelompok depan.

“Saya percaya jika dapat memulakan perlumbaan dengan baik, saya berpeluang menamatkan aksi dalam kedudukan 10 teratas.

“Saya sudah mula memahami jentera saya,” ujar Hafizh.

Saingan Moto2 kembali bersambung di Litar Le Mans pada 14 hingga 16 Mei ini. – The Star

Jorge Lorenzo sekali lagi berkongsi pendapatnya tentang perlumbaan MotoGP di di saluran YouTube 99seconds miliknya.

Bekas tiga kali juara dunia MotoGP itu kali ini menganalis persembahan pelumba veteran, Valentino Rossi di GP Sepanyol, baru-baru ini.

Seperti video sebelum ini, Lorenzo juga tidak berselindung berkongsi pendapatnya tentang prestasi tujuh kali juara dunia MotoGP itu di Jerez.

“Saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari Rossi di Jerez atau sekurang-kurangnya memperbaiki keputusan perlumbaan.

“Dia juga jarang muncul di kaca tv dan beberapa kali dia tersasar dari landasan.

“Bukan sahaja dia lembab, pergerakan dia juga perlahan. Kita akan lihat sekiranya dia mampu membuat kejutan selepas ini,” jelasnya.

Tonton analisis Jorge Lorenzo di saluran 99seconds di bawah:

Selain dari Rossi, Lorenzo turut menganalisis kemenangan Jack Miller, dan meskipun dia memuji pelumba Australia itu, Lorenzo percaya Miller kurang kejituan untuk melakar kemenangan.

Aksi MotoGP kembali bersambung minggu depan di Litar Le Mans.

Yamaha telah memuat naik video teaser dengan tajuk R/World di laman YouTube rasmi Yamaha Motor Europe.

Meskipun video berdurasi 28 saat itu tidak mendedahkan sebarang bayang motosikal namun berdasarkan beberapa petunjuk, klip tersebut mungkin merujuk kepada model YZR-R7.

Ini kerana dalam video tersebut memaparkan bukan sahaja litar lumba malah jalan raya sekaligus beri bayangan sebuah jentera yang sesuai ditunggang dalam dua senario berbeza.

Kemudian di penghujung video, Yamaha turut memuatkan bunyi yang seakan dihasilkan sebuah enjin CP2 689cc yang terdapat pada MT-07, platform sama yang dicanang akan menggerakkan R7.

Khabar angin mengenai Yamaha R7 dengan fairing penuh berlandaskan enjin MT-07 telah pun berlegar sejak hujung tahun lalu.

Langkah itu dilihat relevan dalam usaha Yamaha memberi saingan kepada segmen motosikal pertengahan yang ketika ini rancak dengan Aprilia RS660, Tuono 660, Honda CBR650R dan Ninja 650.

Yamaha dijangka akan berkongsi beberapa video ‘teaser’ lain sebelum mengumumkan tarikh pelancaran model tersebut.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube