Minggu lalu, berita mengenai pengesahan pasukan VR46 bakal beraksi di kelas premier MotoGP mula berlegar selepas kenyataan media oleh pihak Tanal Entertainment Sport & Media.
Kenyataan tersebut mengumumkan bahawa pasukan VR46 akan beraksi di MotoGP musim 2022 bersama Tanal Entertainment Sport & Media dengan Saudi Aramco sebagai penaja utama bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Tanal Entertainment Sport & Media merupakan syarikat milik YM Putera Mahkota Abdulaziz Abdullah Al-Saud.
Bagaimanapun, kenyataan media itu tidak disertakan dengan sebarang petikan dari pihak Tanal, Saudi Aramco mahupun VR46.
Dalam perkembangan terkini, difahamkan Aramco menafikan kerjasama tersebut sebaliknya tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
Sementara itu, pemilik VR46, Valentino Rossi, menegaskan bahawa pasukan itu telah pun menjalin perjanjian bersama Aramco.
“Perjanjian dengan Aramco bagi menubuhkan pasukan MotoGP semenangnya berlaku. Jadi saya tidak faham mengapa mereka (Aramco) berkata mereka tidak tahu menahu,” tegasnya.
Meskipun mengakui dirinya tidak terlibat dengan perbincangan tersebut secara langsung namun Rossi menjelaskan terdapat ramai individu lain yang mewakili VR46.
“Saya tidak bercakap dengan pihak Aramco secara langsung kerana saya masih pelumba MotoGP jadi fokus saya adalah perlumbaan.
“Tetapi saya masih juga terlibat kerana pasukan ini membawa nama VR46 sepertimana musim ini di Moto2 dan bersama Luca Marini di Ducati. Sejujurnya, terdapat ramai individu di VR46 yang mengusahakan urusan ini.
“Saya hanyalah boss, jadi saya tidak perlu bercakap secara langsung dengan penaja,” tambah Rossi.
Situasi terumbang-ambing di antara pihak VR46, Tanal Entertainment Sport & Media dan Saudi Aramco mungkin berpunca daripada kegagalan menyeragamkan saluran informasi di antara ketiga-tiga pihak.
Apa yang pasti, perkembangan pasukan VR46 ini akan terus mencuri tumpuan tahun ini sehinggalah terdapat kenyataan rasmi berserta petikan bagi mengesahkan kerjasama ini. – Crash.net