Bikesrepublic

Berita Terkini

Perodua merekodkan jualan 20,399 unit pada bulan April dengan model baru, Ativa antara pemangkin utama dengan 4,625 unit telah pun terjual.

Menurut Perodua, sejumlah 9,000 unit Ativa telah pun dijual sejak tarikh pelancaran pada 3 Mac lalu dengan 290 tempahan diterima setiap hari.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan.

“Tempoh menunggu Ativa kini dari dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang diingini. Kami menasihatkan para pelanggan kami yang dihargai untuk bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai tempoh menunggu bagi pelbagai kombinasi varian-warna Ativa,” jelasnya.

Bagaimanapun, angka jualan itu turun 16.5 peratus berbanding Mac susulan isu kekurangan semikonduktor yang beri kesan pada semua sektor pengilangan dunia ketika ini.

“Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlangsung secara global, Perodua berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit.

“Isu kekurangan cip merupakan keutamaan kami buat masa ini. Kami sedang mengkaji kesemua sumber yang ada untuk menanganinya, termasuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan rakan-rakan niaga kami untuk mencari penyelesaian.

“Perodua tetap komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala ekonomi kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka,” tambah Dato’ Zainal.

Kerajaan membuat keputusan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada enam daerah di Selangor berkuatkuasa 6 hingga 17 Mei ini.

Perkara itu disampaikan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menjelaskan enam daerah tersebut membabitkan Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat serta Sepang.

Pelaksanaan PKP ini bermakna aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan sama sekali sewaktu tempoh tersebut kecuali kecemasan.

Sementara baki tiga daerah, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih lagi berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Ismail Sabri sewaktu sidang media harian, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

PROTON meneruskan momentum jualan 2021 dengan mencatat peningkatan bagi April dengan lebih 15,017 unit pelbagai model berjaya dijual.

Kenaikan 0.18 peratus berbanding tahun lalu itu menandakan permulaan sihat bagi Suku Kedua tahun ini sekaligus mengukuhkan kedudukan PROTON di tempat kedua dengan 47,843 unit jualan setakat ini.

PROTON Saga turut kembali ke kedudukan teratas sebagai model nasional popular dengan 5,472 unit dijual bulan lalu meskipun terdapat penurunan berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, jualan PROTON X50 terus kukuh dengan 3,583 unit diserahkan kepada pelanggan manakala PROTON X70 kekal memacu segmen-C dengan 2,101 unit dijual pada April.

Tiga model lain turut mempamerkan angka jualan tinggi dengan 2,266 unit PROTON Persona dijual diikuti Iriz dengan 974 unit dan Exora terus terajui MPV segmen-C dengan 606 unit terjual.

“April adalah bulan yang bagus untuk industri automotif dan selain dari PROTON, beberapa jenama lain juga mempunyai bulan terbaik tahun ini.

“TIV dianggarkan melebihi 56,000 unit kerana semua jenama sedang berusaha untuk memenuhi pesanan penjualan sebelum berakhirnya insentif cukai penjualan PENJANA pada
akhir bulan Jun.

“Bagi PROTON, kami meneruskan usaha untuk memenuhi permintaan produk kami yang tinggi di samping mengekalkan tahap kualiti produk. Pada masa yang sama, kami fokus untuk meningkatkan khidmat pelanggan dan menangani masalah berkaitan dengan ketersediaan alat ganti, satu aspek yang sangat penting ketika jumlah penjualan kami sedang meningkat. Kami menjangkakan situasi akan semakin pulih dan kami tetap berusaha keras untuk memendekkan jangka masa itu,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Roslan Abdullah.

Honda dilaporkan bakal memperkenalkan motosikal segmen adventure bersesaran bawah 200cc untuk pasaran Asia.

Menurut laporan, motosikal yang didakwa versi mini Africa Twin itu akan dibina berlandaskan Honda Fight Hawk yang dijual di pasaran China

Oleh sebab itu, Honda Africa Twin mini tersebut dijangka akan dikuasakan enjin 184cc satu silinder yang sama terdapat pada Fight Hawk dan menawarkan 17hp serta 16Nm.

Enjin tersebut juga dipadankan bersama sistem suntikan bahan api PGM-FI, sekaligus menjaminkan pembakaran yang lebih efisien.

Meskipun berkongsi platform sama namun, dijangka versi ADV itu akan tampil dengan tork yang lebih tinggi.

Rekaan keseluruhan juga dijangka akan menampil acuan sama seakan Night Hawk namun dengan elemen CRF1100L Africa Twin.

Antara ciri lain yang dibawa dari Fight Hawk adalah tangki 12L, lampu LED penuh, dan paparan digital.

Meskipun Honda telah pun menawarkan pelbagai motosikal adventure antaranya CB500X dan Africa Twin namun dengan permintaan terhadap motosikal bersaiz kecil semakin meningkat, tidak hairan jika khabar angin mengenai Africa Twin versi mini ini bakal menjadi realiti.

Honda telah melancarkan X-ADV baharu bagi 2021 yang kini tampil dengan pengayaan dikemas kini dan lebih berkuasa.

Honda X-ADV merupakan skuter maxi dengan elemen adventure popular sejak diperkenalkan julung kalinya pada 2016.

Bagi tahun 2021, dengan penguatkuasaan Euro5, Honda telah melaksanakan beberapa perubahan ketara terhadap model tersebut.

Antara kemas kini yang ketara dilaksanakan adalah bahagian enjin yang kini patuhi piawaian Euro5.

Enjin parallel 2-silinder 745cc dengan penyejukan cecair SOCH kini menghasilkan 57.7hp pada 6,750rpm (naik 500rpm) dan 69Nm @ 4,750rpm berbanding 54hp dan 68Nm pada model sebelumnya.

Menurut Honda, peningkatan kuasa itu berlaku dengan melaraskan semula ‘valve timing’ di antara kedua-dua silinder.

Honda turut mendakwa unit baharu ini kini menghasilkan tork yang lebih lama berbandng model sebelumnya.

Sistem elektronik turut dipertingkat dengan ciri ride-by-wire dilengkapi Honda Selectable Torque Control (HSTC) – yang boleh dinyah aktif – sekaligus memperkemaskan kawalan traction (traction control).

Kota gear DCT (Dual Clutch Transmision) juga telah diperkemas bagi 2021 di samping paparan skrin TFT yang boleh dihubungkan dengan telefon pintar menerusi Honda Smartphone Voice Control System.

Meskipun bahagian rekaan tampak sama namun terdapat beberapa penambah baikan telah dilakukan terutamanya bahagian lampu depan yang kini dilengkapi LED DRL.

Honda turut mereka semula tempat duduk yang kini memudahkan penunggang yang rendah meletakkan kaki ke permukaan bawah dengan lebih mudah meskipun pada ketinggian sama (820mm).

Penghadang angin juga boleh dilaraskan dengan mudah (lima kedudukan) tanpa perlu menggunakan sebarang alat.

Antara ciri menarik lain, Honda X-ADV 2021 ini menawarkan berat 236kg, 3kg lebih ringan berbanding generasi pertama hasil daripada kerangka (frame) yang lebih ringan.

Untuk pasaran tempatan, Honda X-ADV ini ditawarkan pada harga RM67,799 dan didapati dengan tiga warna pilihan, Pearl Deep Mud Gray, Grand Prix Red dan Graphite Black.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin melakar catatan terbaiknya musim ini apabila menamatkan aksi di GP Sepanyol di kedudukan ke-17.

Meskipun masih belum mengutip mata selepas empat pusingan, ini merupakan persembahan terbaik Hafizh setakat ini apatah lagi bermula di kedudukan ke-28.

Peningkatan prestasi itu turut mendapat perhatian peminat sukan permotoran tanah air yang mengharapkan pelumba NTS RW Racing itu terus berikan saingan terbaik menjelang pusingan kelima yang akan berlangsung di Le Mans pada 14 hingga 16 Mei depan.

Persiapan Hafizh sebelum ini sedikit terkesan apabila terpaksa menjalani kuarantin wajib 7-hari di hotel selepas pulang dari Litar Portimao, April lalu.

Dia turut meluahkan rasa kurang senang terhadap senario tersebut meskipun telah mendapat suntikan vaksin Pfizer sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, aksi Moto2 menyaksikan pelumba Federal Oil Gresini, Fabio Di Giannantonio muncul pemenang diikuti Marco Bezzechi (SKY Racing Team VR46) dan Sam Lowes (Elf Marc VDS Racing Team).

Berikut keputusan penuh perlumbaan Moto2:

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube