Bikesrepublic

Berita Terkini

Jenama motosikal China, Dayang Motorcycle, dikhabarkan bakal memperkenalkan ADV 150 untuk pasaran Malaysia.

Dayang Motorcycle telah pun melancarkan skuter adventure 150cc, dikenali sebagai ADV 150 untuk pasaran China sekitar Januari tahun ini.

Penghasilan model tersebut seakan menyuarakan pendirian Dayang Motorcycle untuk cuba memberi saingan terhadap Honda yang telah pun melancarkan ADV 150 sebelum ini.

Dalam perkembangan terkini, kami difahamkan Dayang ADV 150 akan dipasarkan di Malaysia oleh Aveta Global Marketing Sdn Bhd.

AVETA DAYANG ADV 150! Open for booking now! Early bird booking! Pm us now for booking! Available on June/July 2021….

Posted by Tr Motorworld Branch Cheras on Friday, 16 April 2021

Perkara itu disahkan menerusi beberapa perkongsian di laman sosial yang memaparkan iklan “Tempahan Dibuka” bagi model tersebut.

Menariknya, skuter adventure 150cc dari China ini menawarkan kuasa yang lebih tinggi dengan 16hp dan 14.6Nm berbanding 14hp dan 13.8Nm yang ditawarkan Honda ADV 150.

Motosikal tersebut juga mempunyai tangki yang lebih besar, 9.3L berbanding 8L yang terdapat pada versi Honda.

Bukan itu sahaja, Dayang ADV 150 ini juga lengkap dengan fungsi kamera di depan dan belakang yang disiarkan di skrin digital serta ciri keselamatan ABS dan fungsi keyless!

Sekiranya perkongsian di laman sosial adalah benar, kami menjangkakan Dayang ADV 150 ini akan menarik perhatian ramai apatah lagi ditawarkan pada harga bawah RM10 ribu berbanding Honda ADV 150 yang dijual pada harga RM11,999.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan warna baharu bagi YZF-R15 yang bakal sertai dua pilihan warna sedia ada.

R15 kini ditawarkan dengan warna Silver bagi tahun 2021, di samping pilihan warna Race Blu dan Black yang telah pun ditawarkan sejak Oktober tahun lalu.

Versi 2021 ini hanya menampilkan pilihan warna baharu dengan ciri lain masih lagi dikekalkan termasuk ditawarkan pada harga yang sama, RM11,988.

Yamaha R15 dikuasakan enjin 155cc satu silinder dengan VVA yang menghasilkan 19hp dan 14.7Nm dan disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan assist/slipper clutch.

Marc Marquez berjaya mengutip mata pertamanya selepas hampir setahun tidak berlumba ekoran kecederaan.

Enam kali juara dunia MotoGP itu muncul pelumba Honda terpantas di GP Portugal apabila melepasi garisan penamat di kedudukan ketujuh selepas 25 lap dengan Fabio Quartararo muncul pemenang, diikuti Francesco Bagnaia kedua dan Joan Mir, ketiga.

Bagaimanapun, sebaik kembali ke paddock, Marquez seakan dilanda pelbagai emosi.

Pada hari biasa, kedudukan ketujuh mungkin akan mencetuskan pelbagai persoalan terhadap persembahan pelumba Sepanyol itu.

Namun, setelah berehat 265 hari, keputusan di Litar Autódromo Internacional do Algarve ternyata membawa seribu satu makna terhadap pelumba berusia 28 tahun itu.

“Saya bukan jenis mempamerkan emosi tetapi sebaik tiba di paddock dan melihat semua mekanik, saya tidak dapat menahan perasaan.

“Saya menanti sekian lama agar hari ini tiba, untuk menamatkan perlumbaan MotoGP. Ini adalah langkah terbesar dalam proses pemulihan saya.

“Merasai kembali perasaan sebagai pelumba MotoGP adalah impian saya dan saya berjaya melakukannya hari ini,” jelas Marquez.

Marquez berjaya menempatkan dirinya di kedudukan ketiga sebaik perlumbaan dilepaskan namun mula ketinggalan ekoran tidak mampu menangani tekanan.

“Lap pertama sangat sukar kerana saya berada di tempat yang tidak sepatutnya. Seperti berada di sekolah apabila bermain bola dengan pelajar lebih senior!” ujar Marquez.

Pelumba Repsol Honda itu akan kembali beraksi di pusingan empat MotoGP di Jerez pada hujug bulan ini, litar sama yang menjadi saksi kemalangan ngeri yang menimpa Marquez, tahun lalu.

Fabio Quartararo sekali lagi mempamerkan tunggangan mantap untuk merekodkan kemenangan kedua musim ini di GP Portugal.

Meskipun bermula di petak pertama, namun Quartararo dipintas Johann Zarco, Alex Rins dan Marc Marquez sebaik perlumbaan dimulakan.

Bagaimanapun, pelumba Perancis itu bingkas memperbaiki tunggangan untuk kembali mengejar kelompok depan yang pada satu ketika diterajui Zarco, Rins dan Joan Mir.

Manakala Marquez yang berada di kedudukan podium di awal perlumbaan mula kehilangan tempat dah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9 dalam penampilan sulungnya selepas 265 diketepikan ekoran kecederaan.

Sementara itu, tempat kedua jadi milik Francesco Bagnaia yang berjaya memintas Zarco ketika perlumbaan berbaki enam lap dengan pelumba Pramac itu kemudiannya kemalangan sejurus selepas itu.

Bagnaia kini ditempat kedua kejuaraan dunia dengan 48 mata.

Tempat ketiga jadi milik juara musim lalu, Mir yang kini mengutip 38 mata selepas tiga perlumbaan.

Malang buat Rins yang pada satu ketika cuba mengejar Quartararo di hujung perlumbaan hilang kawalan jentera lalu terbabas.

Nasib sama menimpa Zarco apabila jenteranya seakan hilang cengkaman di bahagian tayar depan lalu kemalangan.

Turut gagal menamatkan pusingan kali ini, wakil Ducati, Jack Miller dan pelumba veteran, Valentino Rossi, dengan kedua-duanya kemalangan.

Kemenangan Quartararo kini menempatkan pelumba itu mendahului kejuaraan dunia dengan 61 mata.

Dalam perkembangan sama, Marquez mengutip mata pertama (9 mata) selepas hampir setahun tidak beraksi apabila melepasi garisan penamat di kedudukan ketujuh.

Enam kali juara dunia MotoGP itu dijangka akan terus perbaiki tunggangannya dalam pusingan seterusnya di Jerez dalam usaha mengembalikan prestasi sebelum ini.

Keputusan penuh perlumbaan seperti berikut:

Fabio Quartararo meneruskan momentum kecemerlangan apabila meraih petak pertama di sesi kelayakan GP Portugal.

Pelumba Monster Energy Yamaha itu merekodkan masa terpantas 1 minit 38.862 saat lantas memperbaiki catatan 1m39.199s yang dilakukannya sewaktu di litar sama musim lalu.

Quartarao pada awalnya kehilangan kedudukan pertama apabila pelumba Ducati, Francesco Bagnaia melakar rekod terpantas litar dengan 1m38.494s namun dibatalkan di saat akhir ekoran melanggar bendera kuning.

Kejadian itu menyaksikan Bagnaia terpaksa bermula di petak ke-11.

Sementara itu, wakil Suzuki, Alex Rins, akan bermula di petak kedua diikuti Johann Zarco dari Ducati, yang ketika ini mendahului kejuaraan dunia dengan 40 mata.

Bagaimanapun, fokus utama kali ini turut tertumpu kepada enam kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez, yang beraksi buat julung kalinya selepas 265 hari diketepikan ekoran kecederaan.

Pelumba Repsol Honda itu mempamerkan tunggangan cemerlang apabila bakal bermula di barisan kedua di P6 dibelakang Franco Morbidelli selepas melakar 1m39.121s.

Dalam perkembangan sama, sesi kelayakan menyaksikan beberapa pelumba mengalami kemalangan termasuk rakan sepasukan Zarco, Jorge Martin, yang mengalami kecederaan serius sewaktu Ujian Bebas 3.

Perlumbaan MotoGP akan berlangsung pada Ahad.

Ducati telah membuat kejutan pada Disember tahun lalu apabila mempersembahkan Monster 2021 serba baharu.

Bagaimanapun, selang beberapa bulan kemudian, kami difahamkan bahawa Ducati Malaysia bakal melancarkan Monster serba baharu itu sekitar suku ketiga tahun ini.

Meskipun tiada pengesahan rasmi namun melihat kepada pelancaran model lain sebelum ini, Ducati Malaysia tidak mengambil masa lama untuk memperkenalkan model baharu beberapa bulan selepas pelancaran global.

Generasi baharu Monster itu menampilkan rekaan berlainan termasuk tidak mengikut acuan sebelumnya dengan tidak lagi mengguna pakai kerangka jenis steel trellis.

Sebaliknya, menerapkan penggunaan kerangka depan jenis aluminium yang terdapat pada Panigale V4 dalam usaha merendahkan berat jenteras sekaligus menyaksikan motosikal ini menawarkan 166 kilogram.

Setiap komponen juga telah direka semula dan hasilnya rim kini 1.7kg lebih ringan, swingarm 1.6kg lebih ringan dan berat subframe turun 1.9kg hasil daripada teknologi GFRP (Glass Fibre Reinforced Polymer) sekaligus menyaksikan penurunan berat sehingga 18kg.

Bagaimanapun, model 2021 itu masih lagi mengekalkan beberapa ciri lama antaranya tangki jenis ‘bison back’ serta lampu berbentuk bulat.

Model 2021 ini juga bernadikan enjin baharu, Testastretta 937cc dengan silinder berkembar (twin-cylinder) 11-darjah yang menjana 111hp pada 9,250rpm dan 95Nm pada 6,500rpm.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • Ducati Quickshift (up/down)
  • ABS Cornering
  • Traction control
  • Wheelie control
  • Launch control.
  • Tiga mod tunggangan; Sport, Urban dan Touring
  • Paparan TFT 4.3 ini berwarna

Bagaimanapun, sementara menanti pelancaran Ducati Monster, Ducati Malaysia terlebih dahulu dijangka akan memperkenalkan Multistrada V4 untuk pasaran tempatan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube