Bikesrepublic

Berita Terkini

Jonathan Rea muncul pelumba terpantas dalam sesi ujian bebas yang dijalankan di Aragon bersama beberapa jentera MotoGP lain.

Pertahan juara Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) itu muncul pelumba terpantas selepas 65 lap dalam sesi ujian pertama di Motorland, mengatasi pelumba uji Yamaha dan KTM, Cal Crutchlow dan Dani Pedrosa.

Rea yang menunggang Kawasaki ZX-10RR mencatat masa terpantas 1 minit 49.338 saat diikuti Crutchlow (YZR-M1) dengan 1m49.460s

Rakan sepasukan Rea, Alex Lowes, muncul pelumba ketiga terpantas dengan 1m49.470s diikuti Pedrosa (RC16) dengan 1m49.912s.

Crutchlow yang menunggang jentera ‘factory’ MotoGP cuba mengatasi catatan masa Rea namun gagal.

Berikut adalah catatan masa Ujian Bebas hari pertama:

  1. Johnathan Rea (Kawasaki WSBK) 1m49.338s
  2. Cal Crutchlow (Yamaha MotoGP) 1m49.460s
  3. Alex Lowes (Kawasaki WSBK) 1m49.470s
  4. Dani Pedrosa (KTM MotoGP) 1m49.912s
  5. Garrett Gerloff (Yamaha GRT WSBK) 1m50.557s
  6. Andrea Locatelli (Yamaha PATA WSBK) 1m51.550ss

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, meluahkan rasa tidak puas hati apabila terpaksa menjalani kuarantin 7-hari sebaik pulang ke Malaysia.

Hafizh pulang ke tanah air selepas berakhirnya kejuaraan dunia MotoGP pusingan ketiga di Portugal minggu lalu.

Dia terpaksa jalani kuarantin wajib meskipun telah menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Bagi Hafizh, atlet negara yang pulang ke tanah air dan telah pun menjalani ‘swab test’ dan mengambil suntikan vaksin seharusnya dibenarkan pulang ke rumah.

“Seronok tengok atlet Eropah yang balik dari me­nyertai perlumbaan terus menjalani latihan. Tiada kuarantin sebab mereka telah menjalani ujian dan negatif sebelum tiba ke rumah.

“Sebab itu kebanyakan atlet Eropah lebih berjaya daripada kita kerana negara mereka faham tentang atlet. Kita tidak minta pun dilayan seperti orang atasan ataupun raja, tetapi biarlah ada kelonggaran buat atlet jalani latihan atau kuarantin di rumah.

“Tujuan kita balik bukan untuk seronok-seronok seperti orang biasa tetapi atas sebab-sebab tertentu. Kos di Eropah sangat tinggi, bila atlet tidak pamerkan aksi terbaik kita juga kena kritik,” demikian antara luahan Hafizh di media sosial Instagram miliknya.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, kuarantin wajib di hotel menyukarkan persiapan bagi menghadapi pusingan seterusya Moto2 di Jerez, Sepanyol.

“Campak atlet ke hotel kua­rantin lepas itu ada perlumbaan minggu depan, apa yang atlet boleh buat dalam hotel seminggu? Tidur makan sahaja, nak tingkatkan prestasi jauh lagi jawabnya. Kalau di rumah ada segala peralatan untuk jalani latihan,” tambahnya.

Saingan MotoGP akan kembali bersambung bermula dengan ujian bebas pada 30 April di Litar Jererz.

Honda telah melancarkan dua model baharu di Shanghai Auto Show menerusi CB400F dan CB400X 2021.

Kedua-dua motosikal itu akan turut dipasarkan di China sebagai model pemasangan tempatan (CKD) oleh Wuyang Honda.

Kedua-dua model ini menampilkan rupa hampir sama dengan versi 500cc namun dengan rekaan lampu LED yang kurang agresif.

Honda CB400F

Mengambil pendekatan sama seperti CB500F, model ini menampilkan DNA motosikal jenis ‘naked’ yang ditonjolkan menerusi tangki yang lebar, tempat duduk jenis split, dan corong udara di bahagian tangki dan ekor.

CB400F ini juga didatangkan dengan handlebar jenis flat bag menghasilkan gaya duduk yang lebih agresif.

Model ini menawarkan berat 188 kilogram dengan jarak antara tayar berada pada 1,416mm.

Honda CB400X

Dibangunkan mengikut acuan CB500X, rekaan keseluruhan motosikal segmen ‘touring’ ini hampir sama namun dengan beberapa ciri berbeza terutamanya bahagian lampu depan.

Bagaimanapun, Honda mengekalkan penggunaan handlebar, tangki, dan penghadang angin yang sama terdapat pada CB500X.

Menurut Honda, CB400X ini menawarkan berat sekitar 195kg sementara jarak antara tayar berada pada 1,416mm.

Bagi pasaran China, CB400X ini didatangkan dengan dua varian; standard dan touring. Varian touring tampil dengan pelbagai aksesori antaranya panniers, top box dan crash guard.

Honda CB400F dan CB400X ini dikuasakan dengan enjin parallel-twin 399cc dengan penyejukan cecair yang menjana 44.2hp dan 37Nm serta dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.

Kedua-dua model ini juga lengkap dengan paparan digital serta rim 17″.

Ketika ini tiada pengesahan sama ada model ini akan diperkenalkan di Malaysia pada masa akan datang.

Yamaha dan Dorna meneruskan kerjasama sebagai pembekal skuter rasmi petugas di kejuaraan dunia MotoGP.

Pengeluar motosikal Jepun itu akan terus membekalkan skuter jenis Yamaha NMAX 125 terbaru di paddock MotoGP untuk beberapa tahun akand datang.

Dorna telah pun memberi kepercayaan kepada Yamaha sebagai pembekal skuter bagi semua pasukan di MotoGP sejak tahun 2005.

“Yamaha telah menjadi pembekal rasmi skuter kepada Dorna Sports dan Kejuaraan Dunia MotoGP sejak 2005 dan kami berbangga kerjasama ini akan berterusan.

“Kami akan membekal beberapa unit NMAX 125 yang menawarkan ketangkasan, kelincahan dan kestabilan di samping ruang letak barang yang luas. NMAX 125 ini merupakan skuter terlaris di Eropah dan Asia maka cukup sesuai bagi memenuhi permintaan di paddock MotoGP,” jelas Pengarah Pemasaran Dan Permotoran Yamaha Motor Europe, Paolo Pavesio.

Perjanjian tersebut turut menyaksikan petugas MotoGP turut menerima skuter NMAX 125 bagi memudahkan pergerakan di samping menjaminkan tahap keselamatan terbaik.

Menurut laporan, Dorna telah pun menerima 25 unit Yamaha NMAX 125 ketika di GP Portugal baru-baru ini.

Pada masa sama, Pengarah Urusan Dorna Sports, Pau Serracanta, turut berkongsi keterujaan sama mengenai kerjasama ini.

“Kami sangat gembira kerana dapat meneruskan kerjasama dengan Yamaha sebagai pembekal skuter di MotoGP.

“Yamaha membekalkan skuter yang cukup berkualiti dan mudah dikendalikan oleh kakitangan Dorna sekitar paddock MotoGP,” jelasnya.

Yamaha NMAX merupakan antara skuter terlaris di Malaysia namun hanya didapati dengan varian 155cc.

Zontes merupakan antara barisan jenama baharu yang telah diperkenalkan di Malaysia secara rasmi pada 2019.

Jenama dari tanah besar China itu membuat penampilan sulung pada Februari 2019 menerusi empat model, ZT310T, ZT310-R, ZT310-X dan ZT310-X GP.

Dalam perkembangan terkini, Zontes Malaysia difahamkan akan memperkenalkan sebuah model 150cc menerusi ZT155-U1.

Berkonsepkan motosikal ‘adventure’, Zontes ZT155-U1 digerakan enjin 155cc satu silinder dengan penyejukan cecair yang menawarkan 18.8hp pada 9,250rpm dan 16Nm pada 7,500rpm dan dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Bagi menjaminkan pertukaran gear yang lancar, ZT155-U1 ini turut mengguna pakai slipper klac.

Seiring dengan imej ADV, model ini juga dilengkapi tangki 12.5L, rim jenis spoke di samping menawarkan jarak kelegaan tanah 215mm dan ketinggian tempat duduk berada pada 800mm.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • fork upside/down (USD)
  • monoshock
  • rim 17″ – 110/70 depan, 130/70 belakang
  • ABS dwi-saluran

Januari lalu, pengeluar motosikal China, CFMoto telah berkongsi imej rasmi 800MT, model baharu yang dibangunkan dengan kerjasama KTM.

Dalam perkembangan terkini, kami difahamkan motosikal adventure tersebut disahkan akan masuk pasaran tempatan sekitar 2022.

Meskipun tiada tarikh rasmi didedahkan namun pengesahan kemasukan model itu sudah cukup mengujakan apatah lagi dijangka menawarkan harga yang lebih mampu milik berbanding motosikal ADV lain yang ditawarkan di Malaysia ketika ini.

CFMoto 800MT (yang pada awalnya dinamakan MT800) merupakan motosikal jenis ADV konvensional dan bukannya bercirikan ‘off-road’sepenuhnya.

*KTM 790 Adventure

Model ini bukan sahaja mengguna pakai chasis malah enjin parallel-twin 799cc LC8 yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure.

Berdasarkan laporan sebelum ini, CFMoto 800MT menawarkan berat sekitar 231 kilogram, 16kg lebih berat berbanding KTM 890 Adventure (model terkini).

CFMoto merupakan rakan kerjasama rasmi KTM yang turut bertanggungjawab menghasilkan Duke 125, 250, 390 untuk pasaran China.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube