Bikesrepublic

Berita Terkini

Nama Massimo Tamburini pastinya terlintas dalam minda apabila terfikirkan pereka motosikal legenda. 

Sebagai penghargaan kepada ikon dunia dua roda itu, MV Agusta akan melancarkan MV Agusta Tamburini Corse F43 sempena ulang tahun ke-25 model F4.

Melihat kepada beberapa imej dikongsikan, model khas yang terhad kepada 25 unit itu menampakkan reka bentuk sama dengan jentera F4. 

Disebabkan syarikat Itali itu tidak lagi menghasilkan F4 ketika ini mungkin ramai yang menganggap bahawa model istimewa ini dibina berasaskan MV Agusta F3. 

Bagaimanapun, terdapat beberapa sebab yang membuktikan bahawa MV Agusta Tamburini Corse F43 ini dibangunkan dari model F4.

Pertamanya, empat ekzos yang dipaparkan sememangnya mirip dengan yang terdapat pada MV F4. Keduanya, bahagian kerangka juga  jelas diambil daripada model F4. 

Namun, klu terakhir melibatkan legasi Tamburini bersama MV Agusta sendiri kerana mendiang pernah menghasilkan sebuah jentera halo berasaskan F4. 

Jadi, pasti anaknya, Andrea Tamburini, mahu menyambung legasi dengan sebuah jentera yang mempunyai hubungan istimewa dengan ayahnya sekaligus menafikan dakwaan bahawa model tersebut adalah sebuah F3.

Ketika ini, tiada pengumuman rasmi mengenai ketersediaan model khas tersebut namun pihak yang berminat sudah boleh menghubungi MV Agusta untuk membuat permohonan. 

Sebelum ini, dunia ‘sneakers’ dan dua roda tidak pernah ada sebarang hubungan antara satu sama lain apatah lagi pemakaian ‘sneakers’ bukanlah pilihan yang selamat terutamanya sewaktu menunggang motosikal.

Bagaimanapun, jenama kasut seperti Vans mula sinonim dengan penunggang motosikal jenis Harley-Davidson, retro klasik seperti Triumph dan geng skuter.

Namun, Adidas mengorak langkah berbeza apabila menjalinkan kerjasama dengan pengeluar motosikal Jepun, Kawasaki bagi menghasilkan kasut model ZX khas. 

Berkolaborasi buat kali ketiga, Kawasaki dan Adidas memperkenalkan kasut Adidas ZX22 KAWASAKI selepas melancarkan ZX800 dan ZX 5K BOOST.

Kasut ZX22 KAWASAKI tersebut menggabungkan pilihan warna Silver Metallic/Core Black dengan hijau ikonik Kawasaki yang terdapat pada bahagian lidah, dan midsole. 

Pemakaian juga tambah selesa dengan kehadiran midsole BOOST. 

Menariknya, kasut ZX22 KAWASAKI ini dihasilkan dengan penggunaan bahan kitar semula sekaligus mesra alam sekitar. Selain itu, kasut tersebut juga menawarkan ciri reflektif (3M).

Di Jepun, Adidas ZX22 KAWASAKI ini dijual pada harga JPY20,900 (RM671). 

KTM mungkin melakar nama di pentas kejuaraan dunia MotoGP kebelakangan ini terutamanya bagi kategori Moto2 dan Moto3. 

Meskipun begitu, pengeluar motosikal dari Austria itu masih ketandusan motosikal jenis ‘sportsbike’ berkuasa tinggi untuk pasaran global selepas terhentinya pengeluaran KTM RC8 pada 2015.

Walaupun KTM memperkenalkan RC 8C yang meminjam teknologi jenama itu di pentas MotoGP namun model tersebut hanyalah untuk kegunaan di litar lumba sahaja. 

Bagaimanapun, situasi itu akan berakhir tidak lama lagi selepas KTM dilihat sedang menguji jentera yang disebut sebagai RC990 baru-baru ini.

Ketika ini KTM tidak mempunyai enjin berkapasiti 990cc namun meninjau laporan media Eropah, KTM telah mengguna pakai enjin parallel-twin LC8c 889cc – yang terdapat pada KTM 890 Duke – lalu membesarkan ‘bore’ dan ‘stroke’ untuk mencapai kapasiti tersebut.

Ini bukanlah kali pertama jentera akan datang ini didedahkan namun perkembangan terbaru ini memberitahu bahawa model itu kini berada dalam keadaan siap berbanding sebelum ini. 

Melihat kepada reka bentuk keseluruhan model prototaip RC990 ini jelas menampakkan rekaan yang diilhamkan daripada KTM RC 8C. 

Selain itu, model prototaip itu juga menampakkan kerangka serba baharu seperti yang terdapat pada prototaip 990 Duke sebelum ini dan suspensi dari WP serta brek Brembo. 

Meskipun info lebih terperinci belum didedahkan setakat ini namun kami menjangkakan KTM RC990 ini mungkin akan membuat penampilan sekitar lewat tahun 2023. 

Apatah lagi melihat kepada kejayaan KTM menjual kesemua 200 unit KTM RC 8C 2023 dalam tempoh dua minit baru-baru ini, kedatangan RC990 pastinya akan mencipta impak sama. 

Budak Kimia BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 (B2H) akan berlangsung 11 Disember ini di Litar Antarabangsa (Litar Selatan) sebagai perlumbaan endurance dua jam pertama yang berlangsung di sebelah malam.

Lebih menarik, B2H akan turut dihangatkan dengan penyertaan pelumba negara, Hafizh Syahrin yang akan terlibat dalam kategori MP150 Elite.

Hafizh pastinya akan beri saingan sengit apatah lagi bakal turun dengan semangat tinggi selepas kontraknya bersama MIE Racing di WorldSBK disambung lagi bagi musim 2023.

Turut dijangka memberi saingan termasuk beberapa pelumba tempatan lain serta pelumba jemputan antarabangsa. 

Sementara itu, orang ramai dijemput hadir memeriahkan B2H dan menyaksikan perlumbaan di Grandstand Utama (masuk adalah percuma).

Menurut penganjur, perlumbaan kali ini menyaksikan penyertaan dari empat negara lain selain Malaysia termasuk Thailand, Taiwan, Indonesia dan Singapura dengan kesemuanya membabitkan penglibatan 77 pasukan dan 120 peserta.

Menariknya, pihak penganjur B2H berharap acara itu akan dapat diadakan secara bersiri di setiap negeri selepas ini. 

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Aprilia Tuono 660 Factory untuk pasaran tempatan. 

Berbanding (model standard) Tuono 660 yang menawarkan 95hp daripada enjin 659cc parallel-twin, versi Factory pula menawarkan kuasa yang lebih tinggi, 100hp dan 67Nm.

Selain daripada kuasa yang lebih tinggi, Tuono 660 Factory ini juga hanya datang dengan pilihan warna Factory Black di samping memaparkan nama ‘factory’ di bahagian sisi fairing depan.

Bagaimanapun, ciri lain yang terdapat pada model standard masih dikekalkan pada model ini antaranya gear lebih pendek serta pakej APRC sama seperti RS660 yang merangkumi:

  • traction control
  • wheelie control
  • cornering ABS
  • mod menunggang
  • quickshifter
  • auto-blipper


Selain itu, varian Factory ini juga lebih ringan dibantu dengan penggunaan bateri lithium yang berjaya mengurangkan berat sekitar 2kg.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk cakera brek berkembar (depan) 320mm, cakera berk tunggal (belakang) 222mm, kaliper brek Brembo dan lampu LED penuh. 

Menariknya, Aprilia Tuono 660 Factory ini juga datang dengan harga lebih murah berbanding versi standard yang diperkenalkan tahun lalu (2021).

Menurut Didi Group, Tuono 660 Factory ini dijual pada harga RM73,900.

Berita gembira untuk peminat YSuku apabila Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengemas kini kapcai popular itu bagi tahun 2023.

Menurut HLYM, Yamaha Y15ZR kini datang dengan pilihan warna; Yellow, Silver, Matte Green dan Orange.

Kesemua model baharu ini sudah mula dipasarkan di pengedar rasmi Yamaha seluruh negara bermula hari ini (7 Disember) dengan harga baharu, RM8,998. 

Seperti biasa, setiap pembelian produk Yamaha akan disertakan dengan Yamaha ‘safety disc lock’ bernilai RM100 secara percuma.

Bagaimanapun, kemas kini terbaru itu tidak melibatkan spesifikasi enjin yang kekal dikuasakan enjin satu silinder 150cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 15.4hp dan 14.4Nm. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube