Sempena meraikan ulang tahun ke-40 Mattel Inc di Malaysia, syarikat itu telah menjalinkan kerjasama dengan Proton bagi mengembalikan Saga dalam bentuk Hot Wheels berskala 1:64!
Mengesahkan perkata itu adalah Presiden dan Ketua Pegawai Komersil Mattel Inc, Steve Totzke.
“Ini adalah kerjasama yang mengujakan bagi membangunkan sebuah kereta Hot Wheels yang berupa sebuah Proton Saga, kereta pertama yang dihasilkan Proton.
“Objektif utama kerjasama ini adalah menegakkan legasi Mattel dan Proton dalam terus menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi untuk peminat pelbagai umur seluruh dunia,” jelasnya.
Lebih menarik, model Hot Wheels Proton Saga itu akan turut dipasarkan secara global bermula penghujung tahun 2023.
Proton Saga sememangya cukup ikonik di Malaysia kerana memegang takhta sebagai kereta nasional pertama negara ini yang diperkenalkan pada tahun 1985 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.