Bikesrepublic

Berita Terkini

Setelah memperkenalkan Hayabusa serba baharu dan Burgman 400, Suzuki bakal melancarkan GSX-1000 2021 pada 26 April ini.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi pekongsian video ‘teaser’ yang dimuat naik ke laman YouTube Suzuki Global.

Meskipun video berdurasi 17 saat itu tidak mendedahkan rupa jentera terbabit namun jelas memaparkan rekaan lampu depan serba baharu yang menempatkan tiga lampu LED.

Bagaimanapun, GSX-1000 baharu ini dijangka mengekalkan enjin 999cc 4-inline namun telah dinaik taraf kepada Euro 5 maka dijangka akan menawarkan kuasa yang berbeza berbanding 145hp dan 106Nm yang terdapat pada model terakhir yang dilancarkan enam tahun lalu.

Suzuki GSX-1000 baharu ini akan dilancarkan secara atas talian pada 26 April ini.

MODENAS telah mengemas kini varian Pulsar RS200 dengan pilihan warna dan grafik baharu yang tampak lebih segar.

Bagi tahun 2021, Pulsar RS200 tampil dengan tiga pilihan warna, Pearl Metallic White, Pewter Gray serta Burnt Red.

RS200 merupakan keluarga Pulsar dengan fairing penuh sementara NS200 merupakan model gaya ‘naked’ namun kedua-duanya digerakan dengan enjin satu silinder 199cc SOCH.

Ketika NS200 popular dikalangan peminat motosikal tempatan dan sering kelihatan di jalan raya, lain kisahnya bagi RS200.

Berdasarkan maklum balas di laman sosial, rata-rata menyukai reka bentuk dan gaya ditawarkan kecuali beberapa aspek, antaranya bentuk lampu LED belakang dan tahap ‘capang’ cermin sisi.

Perkara itu turut dibangkitkan pemilik motosikal itu sewaktu acara Let’s Talk anjuran MODENAS yang diadakan di sekitar ibu negara sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas diberi peluang menguji Pulsar RS200 di Litar Rakyat Kuala Selangor, kami berasakan sudah tiba masa RS200 2021 diberi perhatian berbanding sebelum ini.

Enjin dan prestasi

Pulsar RS200 dikuasakan dengan enjin satu siinder 199cc SOHC DTS-i dengan penyejukan cecair yang menjana 24hp pada 9,750rpm dan 18.6Nm pada 8,000rpm.

Perlu diingatkan ini adalah enjin sama yang terdapat pada KTM 200 Duke (kecuali bahagian head yang telah ditukar bagi memuatkan tiga spark plug) yang menawarkan 26hp dan 19.5Nm.

Berdasarkan perbandingan itu, kuasa yang ditawarkan RS200 dan 200 Duke tidak membawa perbezaan yang ketara.

Bahkan, 24hp dan 18.6Nm merupakan kuasa yang mencukupi untuk kegunaan harian dan memadai untuk melayan selekoh di litar lumba di hujung minggu.

Pemilik motosikal ini juga tidak akan berdepan masalah alat-ganti yang mudah didapati serta tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk servis dan penyelenggaraan.

Reka bentuk

Secara keseluruhan, rekaan RS200 tampak selari dengan rekaan semasa motosikal moden bawah 250cc dan sememangnya mensasarkan penunggang muda dan yang baru mula menjinak dengan motosikal besar.

Tempat duduk juga selesa dan memudahkan penunggang meletakkan kaki atas permukaan jalan dengan lebih senang.

Bahagian tangki juga menempatkan tank pad yang agak tebal bagi memastikan gegaran jentera kurang dirasai.

Meskipun menawarkan ciri seakan motosikal ala sportsbike namun dengan handlebar yang tinggi, motosikal ini ditunggang dengan kedudukan yang menegak lantas menghadirkan keselesaan untuk perjalanan dekat dan jauh.

Jika anda bukan jenis bergegas ke sana sini, RS200 tiada masalah untuk menunggang pada kelajuan 120km/j di lebuh raya.

Bahagian lampu depan menampilkan rekaan yang moden dengan penggunaan lampu jenis projektor 55W low beam dan 65W high beam dan menawarkan pencahayaan yang baik.

Berbalik tentang rekaan lampu belakang, alangkah bagusnya kalau rekaan sama pada NS200 dipinjamkan juga pada RS200 kerana rekaan sedia ada sukar untuk diungkap.

Sebelum ada yang mencadangkan MODENAS perlu membuat beberapa perubahan terutamanya bahagian lampu belakang, perlu diingatkan MODENAS hanya melaksankana pemasangan tempatan (CKD) dan segala rekaan dibuat Bajaj Auto Ltd di Pune, India.

Spesifikasi jentera

Apa yang kami suka tentang motosikal 200cc ini adalah sistem ABS satu saluran oleh Bosch yang didatangkan secara standard.

Ini kerana selain daripada moped, SYM VF3i 185, tiada motosikal bawah RM10,000 yang menawarkan ciri keselamatan ini.

Penggunaan cakera brek 300mm depan dan 230mm belakang yang dipadankan bersama kaliper axial dari ByBre juga menawarkan brek yang efisien sementara penyerap hentakan jenis Nitrox dengan enam pelarasan menjaminkan tunggangan yang lebih lancar terutamanya di selekoh.

Penggunaan tayar medium compound (berbanding hard compound pada model pertama) dari MRF memadai untuk memberi cengkaman secukupnya namun dinasihatkan untuk tukar ke pilihan yang lebih baik bagi yang mahukan cengkaman lebih baik terutamanya sewaktu hujan.

Rumusan

Secara peribadi, selepas menunggang di Litar Rakyat Kuala Selangor, kami berasakan Pulsar RS200 sememangnya sebuah motosikal yang menawarkan segala ciri yang wajib ada pada sebuah motosikal 200cc. Walaupun terdapat beberapa aspek yang boleh diperbaiki namun dengan harga RM9,900 (sebelum cukai jalan dan insurans) dan lengkap dengan ciri ABS, RS200 sememangnya motosikal yang berbaloi (value for money).

Suzuki kembali memasuki pasaran Malaysia degan Naza Eastern Motors Sdn Bhd dilantik pengedar rasmi baharu jenama Jepun itu.

Perkara itu disahkan sendiri Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corp Holdings Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin yang menyuarakan komitmen untuk menyediakan servis terbaik mengukuhkan jenama itu.

“Adalah satu penghormatan buat kami untuk bekerja dengan gergasi automotif Jepun yang memikat hati pengguna rakyat Malaysia sepanjang bertahun-tahun di pasaran tempatan,” katanya.

Turut berkongsi nada sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan.

“Kami ingin memulakan pengenalan semula Suzuki di Malaysia dengan melancarkan dua modelnya yang paling kerap dibincangkan dan diminati tahun ini.

“Peminat setia Suzuki juga boleh menjangkakan barisan produk yang menarik pada tahun-tahun berikutnya,” jelasnya.

Sementara itu, pusat 3S Suzuki berkeluasan 3,000 kaki persegi akan ditempatkan di Naza Automall, Petaling Jaya.

Disebalik kemenangan Fabio Quartararo di GP Doha, insiden membabitkan Jack Miller-Joan Mir turut mencuri perhatian.

Telah berlaku persentuhan di antara pelumba Suzuki itu dan Miller di Turn 10 ketika sedang rancak merebut kedudukan ke-5.

Akibat pelanggaran itu, pelumba Ducati itu tersasar dari garisan perlumbaan namun Mir bertindak mengangkat kaki kanan sebagai tanda permohonan maaf.

Bagaimanapun, seakan tidak puas hati, Miller bertindak memecut laju menghampiri selekoh terakhir dan melanggar bahu dengan Mir sehinggakan menolak juara dunia musim lalu itu di luar landasan litar.

Mir bingkas meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pelumba Australia itu.

“Turn 10 merupakan satu-satunya tempat yang saya boleh membuat pintasan. Saya mengambil posisi di sebelah kanan dan dia (Miller) mengekalkan kedudukan lalu kami bersentuhan.

“Saya faham tindakan saya sedikit berisiko tetapi bukanlah melampaui batas. Jadi saya terus menggerakan kaki sebagai tanda mohon maaf.

“Tetapi sewaktu di selekoh terakhir, ketika saya telah pun tersasarr jauh dari garisan pelumbaan, saya nampak Jack (Miller). Dia memandang saya lalu melanggar saya dan kami hampir kemalangan. Tindakan itu sangat berisiko dan cukup bahaya,” tegasnya.

Meskipun Race Direction mendapati tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap insiden itu, namun Mir berasarkan kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku.

“Saya rasa tindakan Miller disengajakan. Perkara ini perlu disiasat. Jika disengajakan, dia harus dikenakan tindakan penalti,” tambahnya.

Sementara itu, menurut laporan terkini, Suzuki membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang tindakan lanjut setelah meneliti insiden pelanggarran di antara kedua-dua pelumba.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, bakal memulakan aksi pusingan kedua GP Qatar di petak ke-27 selepas sekali lagi bergelut sewaktu sesi kelayakan.

Pelumba NTS RW Racing itu mengharapkan pusingan kedua di litar sama menghadirkan keputusan yang lebih baik selepas gagal menamatkan aksi perlumbaan minggu lalu.

Dia terpaksa bersara awal selepas jenteranya mengalami masalah teknikal selepas 11 lap.

Bagaimanapun, Hafizh terus bergelut untuk memperbaiki catatan kali ini selepas merekodkan 2 minit 01.466s sewaktu Q1.

“Sesi kelayakan hari ini (malam tadi) cukup sukar kerana cuaca sangat berbeza berbanding semalam (ujian bebas) jadi saya tidak mampu memperbaiki tunggangan.

“Disebabkan keadaan yang sukar ini, saya tidak dapat menggunakan keseluruhan kuasa jentera. Esok (hari ini) kami akan cuba memperbaiki sewaktu sesi pemanas badan dan harapnya dapat menunggang dengan kumpulan depan sewaktu perlumbaan,” jelas pelumba berusia 26 tahun itu.

Sementara itu, pelumba Marc VDS Racing Team dan juara minggu lalu, Sam Lowes, bakal memulakan aksi di P1 diikuti Remy Gardner (KTM Ajo) di P2 dengan Marco Bezzecchi (SKY Racing Team VR46) di P3.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan kebenaran rentas negeri bagi individu yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Menurutnya, perkara itu telah pun dibawakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas keputusan kajian terbaru mendapati individu yang menerima dua dos vaksin didapati selamat untuk bergerak kesana sini.

“Pada awalnya, timbul pendapat bahawa penerima vaksin selamat dari jangkitan namun berpotensi untuk menjadi pembawa. Namun, perkata itu didapati tidak betul,” jelasnya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjelaskan bahawa perjalanan antarabangsa juga akan dibenarkan bagi individu yang telah menerima dua dos vaksin di samping mendedahkan perbincangan dengan beberapa negara bagi membenarkan rakyat Malaysia yang telah divaksin untuk bertandang juga telah dimulakan.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Immunisasi Kebangsaan Covid-19, Khairy Jamaluddin mendedahkan setakat ini 7.5 juta rakyat Malaysia telah pun mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube