Bikesrepublic

Berita Terkini

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, bakal memulakan aksi pusingan kedua GP Qatar di petak ke-27 selepas sekali lagi bergelut sewaktu sesi kelayakan.

Pelumba NTS RW Racing itu mengharapkan pusingan kedua di litar sama menghadirkan keputusan yang lebih baik selepas gagal menamatkan aksi perlumbaan minggu lalu.

Dia terpaksa bersara awal selepas jenteranya mengalami masalah teknikal selepas 11 lap.

Bagaimanapun, Hafizh terus bergelut untuk memperbaiki catatan kali ini selepas merekodkan 2 minit 01.466s sewaktu Q1.

“Sesi kelayakan hari ini (malam tadi) cukup sukar kerana cuaca sangat berbeza berbanding semalam (ujian bebas) jadi saya tidak mampu memperbaiki tunggangan.

“Disebabkan keadaan yang sukar ini, saya tidak dapat menggunakan keseluruhan kuasa jentera. Esok (hari ini) kami akan cuba memperbaiki sewaktu sesi pemanas badan dan harapnya dapat menunggang dengan kumpulan depan sewaktu perlumbaan,” jelas pelumba berusia 26 tahun itu.

Sementara itu, pelumba Marc VDS Racing Team dan juara minggu lalu, Sam Lowes, bakal memulakan aksi di P1 diikuti Remy Gardner (KTM Ajo) di P2 dengan Marco Bezzecchi (SKY Racing Team VR46) di P3.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan kebenaran rentas negeri bagi individu yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Menurutnya, perkara itu telah pun dibawakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas keputusan kajian terbaru mendapati individu yang menerima dua dos vaksin didapati selamat untuk bergerak kesana sini.

“Pada awalnya, timbul pendapat bahawa penerima vaksin selamat dari jangkitan namun berpotensi untuk menjadi pembawa. Namun, perkata itu didapati tidak betul,” jelasnya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjelaskan bahawa perjalanan antarabangsa juga akan dibenarkan bagi individu yang telah menerima dua dos vaksin di samping mendedahkan perbincangan dengan beberapa negara bagi membenarkan rakyat Malaysia yang telah divaksin untuk bertandang juga telah dimulakan.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Immunisasi Kebangsaan Covid-19, Khairy Jamaluddin mendedahkan setakat ini 7.5 juta rakyat Malaysia telah pun mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin, mendedahkan masih memerlukan masa untuk mencapai keserasian dengan jentera baharu menjelang pusingan kedua di Litar Antarabangsa Losail, hujung minggu ini.

Pelumba NTS RW Racing GP itu gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembukaan minggu lalu selepas hanya menyempurnakan 11 lap.

“Saya masih cuba memahami jentera baharu ini secepat mungkin, walaupun masih belum terima banyak maklumat tetapi saya akan cuba sebaik mungkin minggu ini.’

“Saya akui agar sukar, tetapi masih bersemangat untuk teruskan bersaing dan memahami jentera dengan lebih baik,” jelasnya.

Minggu lalu, Hafizh mendedahkan jenteranya mengalami masalah teknikal membabitkan bahagian ‘rectifier’ sehingga menyebabkan enjin jentera terhenti.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan 71,127 saman sepanjang tempoh Operasi Khas Ubahsuai Ekzos dari 1 hingga 31 Mac lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, daripada jumlah tersebut, 6,954 saman membabitkan kesalahan ekzos bising melibatkan 4,926 motosikal, 1,627 kereta dan 401 bagi kenderaan lain.

Azisman turut mendedahkan sejumlah 2,696 motosikal, 66 kereta dan 19 kenderaan lain telah disita bagi pemeriksaan lanjut namun diserahkan semula setelah ekzos dikembalikan dalam keadaan asal.

“Operasi dilancarkan bertujuan menguatkuasakan undang-undang kepada pengguna jalan raya terutama pemilik serta penunggang motosikal yang melakukan ubahsuai ekzos sehingga mendatangkan bunyi bising,” jelasnya. – BH

SYM VF3i 185 varian Limited Edition dan Pro telah diberi pengiktirafan sebagai motosikal paling selamat dengan penarafan lima bintang menerusi Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP).

Motosikal tersebut diiktiraf Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Difahamkan, aspek penilaian tersebut mengambil kira empat ciri utama membabitkan pematuhan peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah, Pematuhan Pengeluaran
(COP), ciri keselamatan dan program sokongan keselamatan pengguna.

Pada masa sama, SYM VF3i 185 merupakan satu-satunya motosikal jenis moped yang ketika ini menawarkan ciri keselamatan Anti-lock Braking System (ABS).

Dengan adanya ABS, sistem membrek motosikal bertambah efisien di samping mengelakkan daripada berlakunya tayar terkunci lalu tergelincir ketika membrek secara mengejut mahupun agresif.

Menurut Ketua Pengarah MIROS, Dr. Khairil Anwar bin Abu Kassim, fungsi ABS pada model VF3i 185 telah diuji sendiri oleh pihak MIROS pada 17 Mac lalu.

“Dengan bantuan ABS, kita dapat mengurangkan jumlah kematian yang melibatkan penunggang motosikal,” jelasnya.

Populariti Perodua selaku jenama kenderaan tempatan terus diperkukuh apabila lebih 57,911 unit model telah pun dijual bagi suku pertama 2021.

Angka itu menyumbang kepada peningkatan jualan 29 peratus berbanding 44,977 unit terjual bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad, kejayaan itu antaranya disumbang model baharu, Ativa yang baru dilancarkan.

“Bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan kami kepada 24,433 unit, didorong permintaan yang tinggi, terutamanya bagi Ativa, yang telah menerima sebanyak 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19hb Februari lalu,” jelasnya.

Daripada jumlah tempahan Ativa yang diterima setakat ini, 4,345 unit telah pun diserahkan kepada pelanggan bermula 3 Mac lalu dengan 67 peratus membabitkan varian AV (varian tertinggi).

“Ini menjadikan Perodua Ativa SUV kompak terlaris di negara ini pada bulan Mac. Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama,” tambah Zainal lagi.

Bagi tahun 2021, Perodua mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit, pertambahan 23 peratus berbanding 220,986 unit pada 2020.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube