Bikesrepublic

Berita Terkini

SYM VF3i 185 varian Limited Edition dan Pro telah diberi pengiktirafan sebagai motosikal paling selamat dengan penarafan lima bintang menerusi Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP).

Motosikal tersebut diiktiraf Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Difahamkan, aspek penilaian tersebut mengambil kira empat ciri utama membabitkan pematuhan peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Eropah, Pematuhan Pengeluaran
(COP), ciri keselamatan dan program sokongan keselamatan pengguna.

Pada masa sama, SYM VF3i 185 merupakan satu-satunya motosikal jenis moped yang ketika ini menawarkan ciri keselamatan Anti-lock Braking System (ABS).

Dengan adanya ABS, sistem membrek motosikal bertambah efisien di samping mengelakkan daripada berlakunya tayar terkunci lalu tergelincir ketika membrek secara mengejut mahupun agresif.

Menurut Ketua Pengarah MIROS, Dr. Khairil Anwar bin Abu Kassim, fungsi ABS pada model VF3i 185 telah diuji sendiri oleh pihak MIROS pada 17 Mac lalu.

“Dengan bantuan ABS, kita dapat mengurangkan jumlah kematian yang melibatkan penunggang motosikal,” jelasnya.

Populariti Perodua selaku jenama kenderaan tempatan terus diperkukuh apabila lebih 57,911 unit model telah pun dijual bagi suku pertama 2021.

Angka itu menyumbang kepada peningkatan jualan 29 peratus berbanding 44,977 unit terjual bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad, kejayaan itu antaranya disumbang model baharu, Ativa yang baru dilancarkan.

“Bulan Mac menyaksikan peningkatan jumlah jualan kami kepada 24,433 unit, didorong permintaan yang tinggi, terutamanya bagi Ativa, yang telah menerima sebanyak 14,574 tempahan sejak dibuka untuk pesanan pada 19hb Februari lalu,” jelasnya.

Daripada jumlah tempahan Ativa yang diterima setakat ini, 4,345 unit telah pun diserahkan kepada pelanggan bermula 3 Mac lalu dengan 67 peratus membabitkan varian AV (varian tertinggi).

“Ini menjadikan Perodua Ativa SUV kompak terlaris di negara ini pada bulan Mac. Kami amat bersyukur, Perodua Ativa telah mencapai permulaan yang begitu kukuh dan kami telah berjaya mengatasi sasaran penghantaran bulanan sebanyak 3,000 unit pada bulan pertama,” tambah Zainal lagi.

Bagi tahun 2021, Perodua mensasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit, pertambahan 23 peratus berbanding 220,986 unit pada 2020.

Isuzu D-Max serba baharu bakal dilancarkan dalam masa terdekat sekaligus melangkaui jangkaan kami yang sebelum ini dicanang akan diperkenalkan awal 2022.

Ini menjadikan D-Max baharu ini akan mendarat di Malaysia selepas hanya 17 bulan dilancarkan di negara jiran, Thailand.

Sempena pelancaran bulan ini, Isuzu Malaysia kini membuka pra-tempahan bermula hari ini di semua pengedar Isuzu seluruh negara.

Menurut Isuzu Malaysia, D-MAX serba baharu ini telah dibangunkan secara menyeluruh dengan fokus mendatangkan imej lebih menonjol dan bergaya serta maskulin.

Hasilnya, D-Max baharu ini menawarkan dimensi lebih besar sekaligus menyaksikan ruang kabin dan ruang kargo yang lebih luas dan praktikal. Ciri baharu ini secara tidak langsung menawarkan tahap keselesaan yang lebih baik.

Bagi pasaran tempatan, D-Max baharu ini tampil dengan dua varian, single-cab dan double-cab termasuk dua pilihan enjin, 1.9L RZ-4E dan 3L 4JJ-3TCX.

Pada masa sama, model baharu ini juga menawarkan ciri keselamatan terbaik terutamanya menerusi Advanced Driver Assist Systems (ADAS) yang turut menyaksikan D-Max baharu ini mendapat penarafan ASEAN NCAP 2020 5 bintang.

Isuzu D-Max serba baharu ini akan ditawarkan pada harga (jangkaan) sekitar RM89,900 hingga RM145,000.

CFMOTO merupakan antara jenama yang telah mencapai populariti di sekitar Asia, Eropah dan Australia susulan menawarkan motosikal berkuasa tinggi namun dengan lingkungan harga mampu milik.

Maka tidak hairanlah, CFMOTO menjadi pilihan peminat motosikal terutamanya di Australia.

Sebagai penghargaan terhadap sokongan di pasaran negara itu, CFMOTO telah memperkenalkan 650NK SP Edition, yang telah dinaik taraf dengan beberapa ciri menarik antaranya:

  • suspension Kayaba
  • tayar Pirelli Angel ST
  • klac slipper baharu
  • transmisi 6-kelajuan yang telah dinaik taraf
  • paparan TFT 5″
  • Bosch EFI (bertaraf Euro5)
  • rim baharu
  • warna dan grafik baharu rekaan KISKA

Meskipun dengan semua ‘naik taraf’ ini, CFMOTO 650NK SP Edition ditawarkan pada harga AUD7,790 (RM24,400). *tukaran langsung

BMW Motorrad Malaysia telah pun melancarkan BMW R 1250 RT serba baharu bagi pasaran tempatan.

Generasi baharu R 1250 RT ini tampil dengan pelbagai inovasi terkini yang menjaminkan tunggangan lebih selesa di samping menawarkan pengalaman menunggang berbeza.

Model baharu ini tampil dengan rekaan fairing depan yang serba baharu dengan perincian terarah kepada aspek aerodinamik di samping rekaan lampu ‘adaptive LED’.

Menurut BMW Motorrad Malaysia, R 1250 RT juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan yang kini didatangkan secara standard, antaranya luggage rack, tongkat tengah (centre stand), ‘pannier’ kiri dan kanan, penghadang angin boleh laras dan heated grips.

Bagaimanapun, R 1250 RT 2021 ini masih lagi dikuasakan enjin boxer ikonik yang kini Euro 5, 1,254cc yang menawarkan 136hp pada 7,750rpm dan 143Nm pada 6,250rpm.

Dibantu dengan teknologi ShiftCam baharu dari BMW, R 1250 RT kini menawarkan prestasi enjin yang lebih efisien dan dinamik semasa berada di rpm rendah dan tinggi.

Pada masa sama, BMW Motorrad Telelever di suspension depan meningkatkan tahap keselesaan menunggang manakala BMW Motorrad Paralever di bahagian belakang menampilkan repson tunggangan yang lebih sensitif.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • Dynamic Traction Control (DTC)
  • Tiga mod tunggangan (Dynamic Riding Mode)
  • Engine Brake Control (MSR)
  • BMW Motorrad Full Integral ABS Pro
  • Active Cruise Contro (didatangkan secara standard dengan Dynamic Package)
  • BMW Motorrad Connectivity
  • skrin TFT 10.25″
  • Gear Shift Assistant Pro
  • Keyless Ride

BMW R 1250 RT serba baharu ini ditawarkan pada harga RM142,500 dan boleh dimiliki hanya dari RM1,738 sebulan dengan Pelan Kewangan oleh BMW Group Financial Services Malaysia (*berdasarkan pinjaman 80 peratus bagi tempoh 4 tahun).

Yamaha Motor Co Ltd, dilaporkan telah memfailkan beberapa tanda dagangan (trademark) baharu di Jepun membabitkan barisan model YZF.

Menurut laporan, Yamaha telah memfailkan nama YZF-R1, R2, R3, R4, R5, R6, R7, R8, R9, R15, R20 dan R25.

Bagimanapun, di antara kesemua nama yang difailkan, paling mencuri tumpuan adalah R9 dan R5 dan R20.

Ini kerana, Yamaha telah pun disahkan bakal memperkenalkan YZF-R7, motosikal dengan fairing penuh yang digerakan dengan enjin CP2 silinder berkembar 689cc yang terdapat pada MT-07.

Mengambil kira aspek itu, maka YZF-R9 dijangka akan dikuasakan enjin CP3 tiga-silinder 890cc yang sama terdapat pada model naked, MT-09.

Sementara itu, R5 mungkin merupakan jawapan Yamaha bagi mencabar Honda CBR500R sementara R20 didakwa bernadikan enjin 200cc yang ketika ini popular dikalangan penunggang muda dan kurang berpengalaman di seluruh dunia.

Yamaha R7 dijangka akan menjadi model baharu dari barisan model YZF serba baharu yang akan diperkenalkan terlebih dahulu selepas Yamaha telah pun menghantar permohonan iCARB di Amerika Syarikat, Mac lalu.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube