Bikesrepublic

Berita Terkini

Aprilia RS660 telah pun dirasmikan di Malaysia oleh pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd.

Tampil dengan enjin parallel-twin 660cc generasi baharu yang berkemampuan menjana 100hp disamping menggabungkan rekaan sofistikated dan teknologi terkini, RS660 menandakan kebangkitan semula motosikal segmen pertengahan.

Enjin

Aprilia RS660 digerakkan dengan enjin dua silinder selari 660cc serba baharu yang diinspirasikan daripada enjin 1100cc V4 dan turut mencapai homologasi Euro 5.

Enjin ini menawarkan 100hp pada 10,500rpm dan 67Nm pada 8,500rpm dengan 80 peratus tork boleh dirasi seawal 4,000rpm dan mencapai 90 peratus ketika rpm mencapai paras 6,250.

Reka Bentuk

Bahagian depan dicorakkan dengan gabungan ‘triple’ LED penuh dan Daytime Running Light (DRL) bagi memastikan pencahayaan yang efisien.

Rekaan fairing dan keseluruhan jentera turut mencerminkan elemen sama yang terdapat pada RSV4 1100 Factory dan Tuono 1100 2021 sekaligus menghadirkan rupa yang agresif dan penuh gaya.

Menariknya, penggunaan kerangka dan ‘swingarm’ jenis aluminium turut menyumbang kepada berat yang rendah namun lebih tegar dan tahan lasak untuk kegunaan harian dan di litar pada hujung minggu.

Sistem elektronik

Seperti ‘abang besar’, RSV4 1100, RS660 turut tampil dengan ‘six-axis inertial platfrom’ yang mengawal Aprilia Performance Ride Control (APRC) yang turut menawarkan fungsi berikut:

  • Aprilia Traction Control (ATC)
  • Aprilia Wheelie Control (AWC)
  • Aprilia Cruise Control (ACC)
  • Aprilia Quick Shift (AQS)
  • Aprilia Engine Brake (AEB)
  • Aprilia Engine Map (AEM)
  • Cornering ABS

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • tangki 15L
  • paparan TFT dengan fungsi Aprilia MIA
  • lima mod tunggangan (Commute/Dynamic/Individual/Challenge/Time)
  • fork depan Kayaba 41mm boleh laras
  • kaliper brek Brembo berkembar depan dan tunggal di belakang

Aprilia RS660 ini ditawarkan pada harga pengenalan RM59,900.

Kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan hingga 14 April ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, meskipun angka penularan Covid-19 menampakan penurunan namun mengambil faktor kes di beberapa negeri masih lagi turun naik maka kerajaan memutuskan lanjutan PKPB.

“”Enam negeri masih dikekalkan status PKPB iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

“Pengekalan status PKPB di negeri Semenanjung berkuat kuasa mulai 1 April hingga 14 April kecuali Sarawak yang akan bermula hari ini hingga 12 April,” katanya dalam sidang media harian. hari ini.

Benelli dan Royal Enfield mengikut jejak Honda Motor Co. dalam menyertai EICMA 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 28 November ini.

EICMA sememangnya menjadi platform terbesar bagi pengeluar motosikal dunia memperkenalkan model baharu di samping memberi bayangan projek akan datang.

Bagaimanapun, ekoran pandemik Covid-19, EICMA edisi ke-78 yang sepatutnya berlangsung pada 2020 dibatalkan sekaligus membawa ke 2021.

Pada awalnya, perancangan EICMA seakan malap tatkala jenama besar, antaranya BMW Motorrad, mengumumkan keputusan untuk tidak terlibat dengan sebarang acara pameran besar-besaran tahun ini.

Namun, penyertaan Honda, Benelli serta Royal Enfield memberi bayangan bahawa acara tersebut akan kembali berjalan seperti biasa pada hujung tahun ini dengan norma baharu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti kebenaran rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri pada Mei.

Muhyiddin turut memberi bayangan bahawa pihak kerajaan sedang mengkaji sama ada untuk membenarkan solat Aidilfitri termasuk takbir raya dan ziarah rumah ke rumah.

“Dengan Aidilfitri semakin hampir, kami mungkin akan membenarkan solat Aidilfitri serta takbir raya dan kunjungan dari rumah ke rumah.

“Bagaimanapun, kebenaran untuk rentas negeri, saya belum boleh memberi jawapan. Jadi kami perlu teliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi,” jelasnya.

Setakat 29 Mac 2021, angka kes positif julung kalinya turun kepada tiga angka pada 941 kes. – NST

Hakim Danish berjaya menaiki podium dalam perlumbaan pertama dan kedua dalam pusingan pertama Asia Talent Cup 2021 di Qatar.

Pelumba berusia 14 tahun itu berjaya mengekalkan rentak konsisten dalam kedua-dua perlumbaan meskipun ini merupakan penampilan sulungnya di ATC 2021 setelah menjuarai SIC MiniGP tahun lalu.

Sewaktu perlumbaan pertama, keputusan perlumbaan terpaksa ditentukan menerusi ‘photo finish’ tatkala jarak Hakim bersama pemenang tempat kedua, Gun Mie hanya dipisahakn beberapa detik.

Sementara itu, dua lagi wakil negara, Sharul Sharil dan Danial Sharil mengisi tempat ke-5 dan ke-7.

Memasuki perlumbaan kedua, Hakim mengekalkan rentak konsisten untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di belakag Kanta Hamada manakala Taiyo Furusato yang muncul pemenang di perlumbaan pertama kekal menjuarai perlumbaan kedua.

Hakim pada suatu ketika mengekori rapat Furusato namun pelumba Jepun itu berjaya mejarakkan diri sebelum Hamada menggunakan pengalamannya untuk memecut dan sampai ke garisan penamat terlebih dahulu.

Pusingan kedua ATC 2021 bersambung di litar sama pada hujung minggu ini.

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Valentino Rossi dan Franco Morbidelli, seakan bergelut sepanjang perlumbaan berlangsung di Litar Antarabangsa Losail yang menyaksikan Maverick Vinales muncul pemenang selepas 20 lap.

Pelumba Pramac (Ducati), Johann Zarco serta pelumba factory Ducati, Francesco Bagnaia, melengkapkan podium kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, berbeza kisahnya buat pelumba Petronas SRT, Rossi dan Morbidelli, yang gagal pamer aksi memberangsangkan apabila sekadar menamatkan pusingan pertama di tempat ke-12 dan 18.

Meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-4 selepas aksi kelayakan yang mantap pada Sabtu, Rossi gagal menempatkan dirinya di kelompok depan apabila jatuh ke kedudukan ke-7.

Bagaimanapun, masalah tayar yang dihadapinya musim lalu kembali menghantui pada aksi pembukaan 2021 lalu menyaksikan pelumba 42 tahun itu jatuh ke kedudukan ke-12.

“Selepas aksi kelayakan semalam, kami jangkakan keputusan yang lebih baik tetapi sewaktu perlumbaan saya bergelut selepas beberapa lap ekoran masalah tayar.

“Perkara ini turut berlaku sewaktu ujian bebas pada Jumaat, kami cuba lakukan sesuatu namun masalah itu tidak berjaya diselesaikan.

“Entah kenapa tayar belakang hilang cengkaman jadi selepas beberapa lap saya tidak cukup pantas,” jelas Rossi.

Sementara itu, Morbidelli mengesahkan jentera ‘A-spec’ miliknya mengalami masalah teknikal membabitkan ‘suspension’ belakang.

“Masalah ini perlu disiasat kerana situasi ini telah pun berlaku sebelum ini tetapi sewaktu perlumbaan isu ini lebih ketara jadi saya tiada pilihan selain meneruskan perlumbaan.

“Ekoran tiada ‘damping’ dari ‘suspension’ belakang, sukar untuk saya mengambil selekoh maka terpaksalah berlumba satu saat lebih perlahan dari kelajuan perlumbaan,” kata Morbidelli.

Pusingan kedua GP Qatar akan berlangsung pada 4 April ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube