Bikesrepublic

Berita Terkini

Harley-Davidson telah pun melancarkan beberapa model baharu bagi 2021 antaranya Street Bob 114 yang sertai barisan Softail.

*Harley-Davidson Street Bob 114

Bagi 2021, Street Bob mendapat sentuhan enjin yang lebih besar, 1,868cc berbanding 1,753cc.

Unit baharu ini menawarkan 92hp dan 161Nm dan 9 peratus lebih pantas dari 0-100km/j berbanding model sebelumnya.

Bukan itu sahaja, Street Bob 114 ini juga didatangkan dengan kerusi pillion secara standard.

Antara ciri baharu lain yang telah dikemas kini adalah gabungan rekaan bobber dengan handlebar mini, tangki 13.2L, monoshock boleh laras (preload), ‘suspension’ depan dual-bending valve, keyless, instrumen digital serta pilihan warna eksklusif, Vivid Black, Stone Washed White Pearl, Baja Orange, dan Deadwood Green.

*Harley-Davidson Fat Boy 2021

Pada masa sama, Harley-Davidson telah menaik taraf Fat Boy untuk 2021 namun kemas kini tersebut hanyalah kecil berbanding Street Bob 114 yang hanya membabitkan lampu LED serta panel krom.

Kebiasannya ‘rear fender’ bukan sahaja bertindak sebagai mudguard tambahan motosikal malah sebagai pemegang nombor plat.

Meskipun bukan semua motosikal dilengkapi dengan ‘rear fender’ namun penggunaan alat itu semakin mendapat tempatn.

Bagaimanapun, pengeluar tayar, Michelin, melihat ‘rear fender’ mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai penggerak tayar belakang tambahan yang boleh membantu sewaktu motosikal sedang bergerak perlahan termasuk sewaktu mengundur.

Berdasarkan dokumen yang dipatenkan, ‘rear fender’ tersebut mempunyai beberapa ‘roller’ tersembunyi di bahagian dalam dan dikuasakan dengan motor kecil.

Komponen tersebut boleh diaktifkan dengan menghidupakan butang yang terletak di handlebar yang akan memutarkan tayar kedepan mahupun kebelakang.

Paten itu merujuk komponen tersebut sebagai motor 3.6V DC yang mampu menjana 2 hingga 4Nm dengan Michelin mendakwa kuasa itu cukup untuk menggerakan motosikal dengan kelajuan 1km/j.

Apa yang pasti, ciri ini sangat membantu ketika jentera (terutamanya yang berat) berada di kawasan berbukit atau di ruang sempit.

Pada masa sama, ‘rear fender’ oleh Michelin ini juga boleh dipasang hampir pada semua model yang mengguna pakai swingarm konvensional.

Walaupun paten ini tidak semestinya membawa kepada peringkat pengeluaran namun menarik untuk mengetahui para jurutera di Michelin bukan sekadar memfokuskan pada pembangunan tayar semata-mata.

Ducati akan kekal terlibat dengan saingan MotoGP setelah menandatangani kontrak lanjutan lima tahun dengan Dorna Sports.

Kedua-dua mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan yang menyaksikan pengeluar motosikal berpangkalan di Bologna, Itali itu terlibat dengan Kejuaraan Dunia MotoGP dari 2022 hingga 2026.

*CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta dan CEO Ducati, Claudio Domenicali

“Perlumbaan merupakan aspek paling penting bagi jenama Ducati malah menjadi medan kami menguji bahan paling canggih dan rekaan paling inovatif.

“MotoGP juga menjadi tapak latihan para jurutera muda kami berkembang bagi menghasilkan motosikal paling canggih dan terkini untuk pelanggan sepertimana yang telah ditonjolkan Superleggera V4 dan Multistrada V4,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.

*Loris Capirossi

Sejak membuat penampilan sulung pada 2003, Ducati kini muncul sebagai antara pasukan utama di kelas premier apabila hanya memerlukan enam pusingan untuk merekodkan kemenangan pertama di GP Catalan oleh pelumba, Loris Capirossi.

*Casey Stoner

Ducati kemudiannya memenangi kejuaraan dunia bersama Casey Stoner pada 2007 termasuk kejuaraan dunia pasukan dan konstruktor pada tahun sama.

Tahun 2020 turut menyaksikan Desmosedici GP antara jentera paling kompetitif dengan bantuan Andrea Dovizioso, Danilo Petrucci, Jack Miller, Peco Bagnaia dan Johann Zarco termasuk merekodkan sembilan podium.

Selepas 18 musim di MotoGP setakat ini, Ducati telah pun melakar 160 podium termasuk 51 kemenangan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa penghantar makanan persendirian perlu menunjukkan surat majikan ketika melalui sekatan jalan raya.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengadakan perbincangan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita tahu tidak semua penghantar makanan bekerja dengan syarikat popular yang besar.

“Di bandar kecil, banyak juga yang melantik individu atau syarikat buat penghantaran makanan.

“Kalau ada majikan, kena keluarkan surat mengesahkan individu itu bekerja sebagai penghantar makanan, manakala secara individu boleh memohon dengan polis,” jelasnya pada sidang media semalam.

KTM dengan rasminya memperkenalkan 890 Duke 2021 menggantikan 790 Duke yang telah dilancarkan secara global pada penghujung 2017 di EICMA.

KTM 790 Duke sememangnya antara jentera yang berjaya mencuri tumpuan, dengan rekaan agresif dan sporty di samping menawarkan berat yang ringan dan enjin berprestasi tinggi.

Bagaimanapun, beberapa tahun kemudian, KTM membuat keputusan untuk memberikan enjin yang lebih besar dengan pengeluar motosikal Austria itu mendakwa demikian adalah permintaan pelanggan.

Hasilnya, KTM 890 Duke disuntik enjin LC8 parallel-twin 899cc (Euro 5) yang kini menjana 115hp dan 92Nm, naik 10hp dan 5Nm berbanding 790 Duke.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • tangki 14L dengan penggunaan minyak 4.8L/100km
  • paparan TFT dengan keterhubungan MYRIDE
  • empat mod tunggangan; RAIN, STREET, SPORT, TRACK
  • traction control dengan sembilan tahap pelarasan
  • anti-wheelie control boleh ditutup
  • launch control
  • fork depan (USD) WP Apex 43mm
  • monoshock dengan preload boleh laras
  • tayar Continental ContiRoad

Sistem brek depan dikendalikan cakera brek 300mm dengan dua kaliper radial empat piston termasuk ABS sementara brek belakang dikendalikan cakera brek 240mm dengan kaliper dua piston.

Sementara itu, berbanding 790 Duke, lever gear pada 890 Duke ini lebih pendek susulan penggunaan spring yang lebih ringan.

Pada masa sama, KTM turut menawarkan sistem Quickshifter secara ‘optional’ bagi yang mahukan pertukaran gear lebih lancar.

Menurut KTM pengendalian 890 Duke juga lebih baik dengan gabungan kerangka tubular jenis chromium-molybdenum, frame belakang jenis die-cast aluminium yang kekal menawarakan berat sama seperti 790 Duke (169kg) meskipun dengan enjin lebih besar.

Muzium Top Mountain Crosspoint yang merupakan muzium tertinggi di dunia susulan berada 2,175m di atas aras laut telah hangus dijilat api.

Menempatkan lebih 230 koleksi motosikal dan kereta, muzium yang terletak Timmelsjoch High Alpine Road di Austria itu gagal diselamatkan meskipun pihak bomba telah berusaha memadam kebakaran.

Difahamkan, kebakaran tersebut tercetus sekitar jam 4 pagi namun punca kebakaran masih tidak dapat dikenal pasti.

Ditubuhkan pada 2016, muzium itu menempatkan koleksi motosikal milik dua beradik, Alban dan Attila Scheiber yang turut pernah dirasmikan oleh legenda perlumbaan, Giacomo Agostini.

Selain menempatkan motosikal klasik antaranya Laurin & Klement 105 1905 , Brough Superior 1939 , Indian Scout 1926 , dan BMW R4 1932 muzium itu juga mempamerkan beberapa kereta klasik dari Porsche 911 hinggalah ke Aston Martin DB5.

Muzium Top Mountain Crosspoint juga popular sebagai tempat perjumpaan bagi penunggang motosikal susulan menawarkan pemandangan menarik Otztal Alps.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube