Bikesrepublic

Berita Terkini

Royal Enfield sememangnya sedang meningkat naik sejak memperkenalkan beberapa model baharu kebelakangan ini. 

Meskipun pada satu ketika jenama motosikal India itu dicemuh kerana berpaksikan teknologi lama, Royal Enfield mula mengorak langkah ke arah moden dengan beberapa model baharu antaranya Meteor 350, Hunter 350 dan Himalayan Scram 411.

Terbaru, Royal Enfield dilaporkan akan memperkenalkan lima model baharu mengguna pakai enjin silinder tunggal 450cc DOHC. 

Salah satu daripadanya telah dirakam menjalani ujian di Sepanyol baru-baru ini berdekatan dengan fasiliti ujian selatan Barcelona yang sememangnya terkenal sebagai tapak ujian bagi jenama terkemuka termasuk Triumph dan KTM. 

Menariknya, tanpa sebarang logo atau jenama dipaparkan, kami sendiri sukar percaya gambar tersebut memaparkan sebuah jentera Royal Enfield. 

Ini kerana rekaanya, meskipun tampak retro namu masih kelihatan moden. Kedua, ketiadaan sistem penyejukan udara juga menyukarkan kami untuk mengenal pasti ia merupakan model Royal Enfield. 

Difahamkan, model dipamerkan itu mengguna pakai enjin sama yang terdapat pada Himalayan 450 yang akan turut diperkenalkan tidak lama lagi. 

Menariknya, meskipun bercirikan ‘scrambler’ namun model tersebut dilengkapi tayar 17-inci depan berbanding 19-inci pada Scram 411. Ini secara tidak langsung memberi bayangan sebagai model yang lebih sesuai untuk kegunaan jalan raya sepenuhnya.

Sementara itu, terdapat dakwaan bahawa enjin terbabit akan menghasilkan antara 40 hingga 45hp, dan itu adalah satu langkah besar ekoran Scram 411 hanya menawarkan 24.3hp daripada enjin 411cc, SOCH dengan penyejukan udara. 

Apa yang pasti model yang ditonjolkan ini kelihatan sudah berada dalam keadaan produk akhir kecuali beberapa komponen yang masih berada dalam peringkat prototaip. 

Mengambil kira faktor itu, model ini mungkin akan diperkenalkan pada lewat 2023 sebagai model 2024. 

Pasaran skuter di Taiwan merupakan antara terbesar di dunia ekoran terdapat permintaan tinggi terhadap segmen tersebut.

Jadi tidak hairanlah terdapat pelbagai jenis model dan jenama yang di tawarkan di pasaran negara itu ketika ini. 

Terbaru, Yamaha memperkenalkan skuter Augur 155 yang tampil dengan spesifikasi serba canggih dan moden.

Pertamanya, Yamaha Augur 155 ini datang dengan lampu LED penuh di bahagian depan dan belakang termasuk fungsi DRL (daytime running light).

Lampu utama di bahagian depan juga akan menyuluh bahagian tepi sewaktu membelok sekaligus menghadirkan kadar penghilatan yang lebih baik. 

Lebih menarik, pengguna juga boleh menukar pilihan warna lampu dari putih ke kuning. Fungsi tersebut membantu ketika menunggang dalam keadaan berkabus atau hujan.

Untuk rekod, Yamaha Augur 155 ini dikuasakan enjin satu silinder 155cc dengan VVA dan suntikan bahan api yang menghasilkan 14.7hp pada 8,000rpm dan 13.8Nm. 

Seperti model skuter Yamaha lain, Augur 155 juga menggunakan sistem penghidup ‘keyless’ dan dilengkapi dengan fungsi ‘start/stop’. 

Aspek keselamatan juga menarik dengan kehadiran ABS dan traction control manakala pakej suspensi pula datang dalam bentuk fork teleskopik depan dan monshock berkembar belakang. 

Antara ciri lain ditawarkan:

  • tangki 6L
  • panel meter TFT 4.3-inci
  • Bluetooth

Susulan kejadian tanah runtuh yang telah meragut beberapa nyawa di Laluan B66, seksyen 14, pihak Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor telah melaksanakan penutupan jalan di laluan berkenaan. 

Berdasarkan perkongsian di Facebook, notis penutupan jalan tersebut adalah di Laluan B66 (Jalan Batang Kali-Genting).

Sehubungan itu, orang awam yang mahu ke Genting Highland perlu menggunakan laluan alternatif lain antaranya Jalan Batang Kali-Ulu Yam hingga ke Jalan Ulu Yam-Batu Caves atau menggunakan laluan utama Jalan Kuala Lumpur-Ipoh. 

Sementara itu, setakat jam 1 tengah hari tadi, seramai 16 mangsa disahkan meninggal dunia. 

MV Agusta menyepi sementara sebaik mengumumkan projek Lucky Explorer pada pameran motosikal EICMA tahun lalu. 

*MV Agusta Lucky Explorer 9.5

Projek tersebut menyaksikan MV Agusta bakal membangunkan dua motosikal segmen ‘adventure’ menerusi Lucky Explorer 9.5 dan Lucky Explorer 5.5.

Meskipun kedua-dua model ini cukup mengujakan namun tumpuan kami terarah pada Lucky Explorer 5.5.

*MV Agusta Lucky Explorer 5.5

Ini kerana model tersebut dibangunkan dengan kerjasama QJMotor yang merupakan syarikat pemilik kepada jenama Benelli. 

Signifikannya kerjasama itu kerana Lucky Explorer 5.5 dikuasakan enjin sama yang terdapat pada Benelli TRK502 namun dengan ‘bore’ dan stroke’ yang telah diperbesarkan. 

Sayangnya selepas pengumuman di EICMA tahun lalu, tiada perkembangan terbaru mengenai model itu sehingga kini.

Namun, MV Agusta akhirnya mendedahkan spesifikasi Lucky Explorer 5.5 di laman web rasmi syarikat itu yang sekaligus beri bayangan model tersebut akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Berdasarkan info yang disiarkan, MV Agusta Lucky Explorer 5.5 dikuasakan enjin parallel-twin 554cc 8-valve DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 47hp pada 7,500rpm dan 51Nm pada 5,500rpm. 

Kapasiti enjin lebih besar itu dicapai dengan membesarkan bore dan stroke dari 69mm x 66.8mm (dari TRK502) kepada 70.5mm x 71mm sekaligus menyumbang kepada tork yang lebih tinggi. 

Kuasa pula disalurkan kepada tayar menerusi transmisi 6-kelajuan.

Meskipun begitu, Lucky Explorer 5.5 mendapat beberapa komponen premium antaranya fork depan USD dari Kayaba (boleh laras) dengan jarak pergerakan 135mm manakala bahagian belakang pula menempatkan monoshock Kayaba (boleh laras). 

Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek Brembo 4-piston (depan) dengan cakera brek berkembar 320mm dan kaliper brek Brembo 2-piston (belakang) yang dipadankan bersama cakera brek 260mm. 

Sementara itu, tayar pula terdiri daripada rim 19-inci depan dan 17-inci belakang.

Menariknya, dengan tangki sebesar 20L, Lucky Explorer 5.5 ini mampu pergi lebih jauh berbanding varian 9.5. Selain itu, MV Agusta juga mendakwa model ini mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 160km/j.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk skrin TFT 5-inci dengan sambungan Bluetooth, sensor GPS dan sistem navigasi dengan fungsi ‘Turn-by-Turn’. 

Untuk rekod, Lucky Explorer 5.5 akan dipasang sepenuhnya oleh QJMotor di China sekaligus bakal menjadi model MV Agusta yang paling mampu milik sebaik dilancarkan.

Enjin dua-lejang sudah semakin pupus dan ketika ini penggunaannya hanya dihadkan pada kegunaa ‘off-road’.

Ini kerana enjin dua-lejang bukan sahaja menghasilkan bau yang kurang disenangi malah berasap dan bising sekaligus hampir mustahil untuk mencapai peraturan emisi semasa. 

Bagaimanapun, senario itu tidak menyekat pengeluar untuk merevolusikan pembangunan enjin dua-lejang. 

Terbaru, Minarelli memperkenalkan sebuah enjin dua-lejang serba baharu yang dibangunkan daripada enjin Yamaha 250cc. 

Menurut laporan enjin tersebut akan diguna pakai pada motosikal enduro Fantic XE300 yang akan dipasarkan di Eropah. 

Meskipun fokus utama pembangunan enjin itu adalah untuk kegunaan ‘off-road’ namun terdapat kemungkinan platform baharu itu boleh diguna pakai di jalan raya. 

Ini kerana enjin 300cc dua-lejang baharu itu berjaya mencapai standard emisi Euro5. 

Persoalannya, bagaimana Minarelli menghasilkan sebuah enjin dua-lejang yang berjaya capai standard Euro5?

Difahamkan, Minarelli telah melakukan beberapa penambahbaikan drastik dalam pembangunan enjin 300cc dua-lejang itu. 

Menurut laporan Motorrad Online, enjin tersebut mempunyai ‘exhaust outlet controller’ yang juga bertindak sebagai ‘decompression system’ bagi ‘starter’ elektrik. 

Difahamkan, enjin tersebut juga telah ditala secara besar-besaran agar menghasilkan ciri yang lebih sesuai di jalan raya. Kemungkinan besar, enjin dua-lejang tersebut tidak menghasilkan lebih daripada 50hp berbanding enjin dua-lejang lain dalam pasaran. 

Meskipun begitu, Minarelli mendakwa enjin tersebut masih lagi menghasilkan prestasi tinggi. 

Selain daripada sistem suntikan bahan api yang lebih kompleks, enjin tersebut juga dijangka dipadankan bersama sistem ekzos yang ditala semula bagi menghasilkan bunyi yang kurang bingit. 

Kejayaan Motori Minarelli membangunkan enjin dua-lejang yang mencapai standard Euro5 pastinya satu kejayaan besar bagi sebarang pengilang motosikal. 

Manakan tidak, ia secara tidak langsung memberi bayangan era enjin dua-lejang berpeluang hidup semula pada masa akan datang. 

Pengeluar motosikal China, Kove dengan rasminya memperkenalkan Kove 400RR, sebuah jentera 4-silinder dengan kapasiti enjin 400cc.

Berdasarkan info yang diperolehi, Kove bukan sahaja akan memasarkan 400RR di China malah akan turut mengorak langkah menembusi pasaran antarabangsa dengan model tersebut. 

Kove 400RR akan mengekalkan sebahagian besar ciri yang ada pada model konsep yang didedahkan sebelum ini kecuali bahagian swingarm yang digantikan dengan swingarm konvensional berbanding ‘single-sided’ sebelum ini. 

Lebih menarik, reka bentuk Kove 400RR ini tampak luar biasa terutamanya di bahagian depan yang menempatkan lampu LED yang berbentuk seakan ‘winglet’. Terletak di antara dua lampu hadapan itu adalah corong udara (air intake) yang menyerlahkan lagi rupa motosikal tersebut. 

Bagaimanapun, Kove 400RR ini masih juga didatangkan dengan ‘winglet’ aerodinamik di panel sisi. 

Namun, ciri paling mencuri tumpuan terarah kepada bahagian enjin, dengan Kove 400RR ini dikuasakan enjin empat silinder 400cc DOHC dengan penyejukan cecair yang dibangunkan sendiri oleh Kove. 

Menurut spesifikasi yang didedahkan, enjin tersebut menghasilkan 67hp pada 13,500rpm dan 29.3Nm pada 12,000rpm. Angka kuasa itu cukup mengagumkan bagi enjin dengan kapasiti 400cc. 

Lebih menarik, Kove mendakwa 400RR ini hanya seberat 158kg dan mampu merekodkan kelajuan maksima 220km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 15L
  • berat 160kg
  • cakera brek berkembar 300mm depan
  • cakera brek tunggal 200mm belakang
  • lampu LED penuh
  • paparan digital LCD dengan fungsi Bluetooth

Info lebih terperinci dijangka akan dikongsikan sebaik Kove mendedahkan jentera ini di EICMA, minggu ini. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube