Susulan kejayaan menjual 11,873 unit kenderaan pada Februari lalu, Proton merekodkan pegangan pasaran sebanyak 27.1 peratus.
Pegangan pasaran itu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan sejak 2013 manakala penjualan 11,873 unit merupakan paling tinggi bagi bulan Februari dalam tempoh 10 tahun.
Penjualan pada Februari juga naik lebih dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada Januari serta meningkat 19.9 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Bukan itu sahaja, Proton turut merekodkan penyerahan 3,345 unit X50 kepada pemilik baharu yang juga merupakan pencapaian tertinggi.
Meskipun terdapat kelewatan susulan menerima lebih 30,000 unit tempahan menjelang akhir tahun 2020 namun Proton menjelaskan lebih 8,141 unit telah pun sampai ke tangan pengguna.
Bagaimanapun, Proton Saga kekal menjadi model terlaris dengan 4,217 unit terjual diikuti Persona dengan 1,818 unit.
Berikut senarai jualan mengikut model pada Februari 2021:
- Saga – 4,217 unit
- X50 – 3,345 unit
- Persona – 1,818 unit
- X70 – 1,457 unit
- Iriz – 650 unit
- Exora – 361 unit