UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengumumkan kempen servis khas menggantikan ‘fuel pump’ bagi model Toyota Avanza.
Menurut UMW Toyota dalam satu kenyataan hari ini, kempen tersebut melibatkan lebih 3,923 unit Avanza yang dihasilkan dari Oktober 2017 hingga Jun 2019.
Difahamkan, model yang terlibat mungkin akan mengalami kerosakan ‘fuel pump’ yang boleh menyebabkan enjin kehilangan kuasa lantas menyukarkan kereta untuk dihidupkan.
Semua pemilik yang terkesan akan dimaklumkan mengenai pertukaran ‘fuel pump’ ini yang akan dilaksanakan secara percuma.
Untuk maklumat lebih terperinci pemilik boleh menghubungi sebarang Pusat Servis Toyota atau hubungi 1800-8-TOYOTA.
Aprilia dengan rasminya memperkenalkan RSV4 2021 yang menawarkan rekaan serba baharu.
Rekaan baharu ini terhasil daripada pembangunan aerodinamik serba canggih dan diinspirasikan daripada RS660.
RSV4 baharu ini juga tampil dengan chasis lebih ringan dengan penggunaan swingarm baharu yang diinspirasikan daripada Aprilia RS-GP di MotoGP.
Aprilia juga integrasikan ‘winglet’ kepada fairing kiri dan kanan sekaligus meningkatkan kestabilan jentera ke tahap yang lebih efisien terutamanya sewaktu dalam kelajuan tinggi.
Model ini juga didatangkan dengan lampu LED penuh yang digabungkan bersama Daytime Running Lights (DRL).
Menurut Aprilia, ergonomik RSV4 2021 ini juga telah dinaik taraf dengan reka bentuk tangki dan tempat duduk baharu lantas mewujudkan posisi tempat duduk yang lebih selesa.
Sistem APRC (Aprilia Performance Ride Control) juga telah diperkemas hasil bantuan unit kawalan Marelli 11MP serta platform 6-axis inertial serba baharu yang boleh diselaraskan menerusi paparan TFT yang lebih besar.
Motosikal ini juga tampil dengan ciri berikut:
Ride-by-Wire
engine brake multilevel control
enam mod tunggangan (riding mode)
traction control
wheelie control
engine brake control
ABS
Sementara itu, naik taraf enjin 1,099cc V4 kepada standard Euro 5 turut menyaksikan peningkatan tork kepada 125Nm pada 10,500rpm serta 217hp pada 13,000rpm.
Model ini tampil dengan dua varian, RSV4 dan RSV4 Factory dan meskipun kedua-duanya dikuasakan dengan enjin sama namun versi Factory didatangkan dengan rim forged aluminium, Ohlins Smart EC 2.0 semi-active suspension serta kaliper Brembo Stylema.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah menahan 12 motosikal dalam Ops Ubah Suai Ekzos yang dijalankan sekitar daerah Kuala Selangor, Ahad lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, daripada jumlah tersebut, 10 motosikal didapati gagal ujian paras bunyi ekzos yang dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Kesemua 10 penunggang motosikal berusia 18 hingga 25 tahun termasuk seorang perempuan telah dikenakan saman minimum RM300 atas kesalahan ubah suai ekzos dibawah Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan) 1958 (L/N 170/1959).
Mereka turut dikenakan kompaun RM300 oleh JAS kerana tidak mematuhi had bunyi dibenarkan.
Kesemua remaja itu kemudiannya diminta membawa ekzos ‘standard’ untuk proses penukaran secara ‘layan diri’ di perkarangan IPD Kuala Selangor yang memakan masa lebih empat jam. – KOSMO
Honda sah akan kembalikan Transalp setelah memfailkan tanda dagangan (trademark) di Amerika Syarikat.
Transalp dijangka akan memberi saingan terhadap motosikal adventure segmen pertengahan (middleweight) yang ketika ini dibarisi BMW F 850 GS, KTM 790 Adventure dan Yamaha Tenere 700.
Nama Transalp kembali timbul apabila media Jepun, Young-Machine mendakwa Honda bakal menghidupkan semula motosikal itu tahun ini.
Difahamkan, Transalp merupakan satu daripada tiga motosikal yang akan diperkenalkan Honda dengan enjin parallel-twin NC750 manakala dua daripadanya membabitkan sebuah motosikal jenis scrambler dan naked.
Bagaimanapun, berbanding Honda CB500X dan NC750X, Transalp dijangka menawarkan ciri ADV setanding dengan pesaing lain dalam segmen tersebut.
Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali sedar peminat sukan permotoran tempatan mahu pasukan itu diwakili oleh pelumba negara.
Rata-rata berasakan Petronas SRT yang sentiasa menguar-uarkan usaha membangunkan bakat tempatan seharusnya mempunyai wakil negara di MotoGP.
Bagaimanapun, menurut Razlan pembangunan bakat muda perlukan masa dan kesabaran.
“Kami sentiasa membangunkan pelumba muda negara tetapi perkara itu mengambil masa.
“Tetapi kami enggan mengambil pelumba tempatan semata-mata hanya sebab perlunya ada wakil negara seperti desakan sesetengah peminat.
“Saya tahu ada yang tak kisah dengan pencapaian pelumba tempatan sehingga ada yang komen “duduk di belakang pun tak apa”.
“Kami tak mahukan senario sebegitu,” katanya sewaktu temu bual secara strim video semalam.
Bagi Razlan, adalah penting bakat muda negara sudah bersedia untuk beraksi penuh kompetitif.
“Kami mahu pastikan mereka kompetitif dan mampu mencapai sasaran kerana terdapat banyak data yang boleh dibandingkan dengan pelumba Eropah lain ketika mereka bertanding di CEV, sehinggalah ke Moto3 dan Moto2.
“Dengan cara ini, pelumba tempatan boleh kenal pasti apakah langkah seterusnya apabila mereka dinaikkan ke Moto3 dan Moto2.
“Tetapi jika kita tangkap muat sahaja tindakan ini boleh merosakkan karier pelumba dan merencatkan pembangunan bakat muda negara.
“Sebab itu kami mahukan pelumba tempatan yang kompetitif dan untuk mencapai perkara itu perlukan masa dan kesabaran,” tambah Razlan.
Pada masa sama, Razlan turut menjangkakan dua pelumba muda, Adam Norrodin serta Syarifuddin Azman akan diangkat ke Moto2 dan Moto3 musim depan.
“Insya’allah, tahun depan (2022), bergantung kepada pencapaian mereka musim ini di FIM CEV, ada tempat untuk mereka di Moto2 dan Moto3,” jelasnya.
Adam menamatkan musim 2020 di tempat ketujuh keseluruhan bersama pasukan LIQUI MOLY Intact SIC Junior Team di Moto2 FIM CEV.
Isu pelumba tempatan menjadi hangat sebaik berakhirnya musim 2020 apabila Petronas SRT membuat keputusan melepaskan Khairul Idham Pawi atas faktor prestasi.
Susulan kejayaan menjual 11,873 unit kenderaan pada Februari lalu, Proton merekodkan pegangan pasaran sebanyak 27.1 peratus.
Pegangan pasaran itu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan sejak 2013 manakala penjualan 11,873 unit merupakan paling tinggi bagi bulan Februari dalam tempoh 10 tahun.
Penjualan pada Februari juga naik lebih dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada Januari serta meningkat 19.9 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Bukan itu sahaja, Proton turut merekodkan penyerahan 3,345 unit X50 kepada pemilik baharu yang juga merupakan pencapaian tertinggi.
Meskipun terdapat kelewatan susulan menerima lebih 30,000 unit tempahan menjelang akhir tahun 2020 namun Proton menjelaskan lebih 8,141 unit telah pun sampai ke tangan pengguna.
Bagaimanapun, Proton Saga kekal menjadi model terlaris dengan 4,217 unit terjual diikuti Persona dengan 1,818 unit.
Berikut senarai jualan mengikut model pada Februari 2021: