Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan lapan lelaki dalam Ops Samseng Jalanan yang dilaksanakan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, mendedahkan lapan lelaki berusia 14 hingga 23 tahun termasuk dua yang masih bersekolah telah ditahan dalam dua operasi berasingan.
“Siasatan mendapati dua daripada lelaki itu masih bersekolah, manakala seorang lagi bekerja di sebuah restoran makanan segera,” jelasnya.
Pemeriksaan pada motosikal juga mendapati beberapa kesalahan telah dilakukan antaranya menggunakan nombor plat fancy, ekzos bising serta tayar kecil di samping tiada lampu depan dan belakang.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – HM
SHARK Helmet Malaysia kini menawarkan model terbaru bagi tahun 2021, dikenali sebagai EvoJet.
SHARK EvoJet merupakan helmet jenis modular yang menawarkan ciri praktikal untuk tunggangan bandar serta jarak jauh hasil daripada rekaan inovatif.
Menariknya, SHARK EvoJet menggabungkan ciri helmet jenis jet dan modular sesuai untuk apa sahaja jenis motosikal.
Konsep rekaan futuristik ini menyaksikan EvoJet tampil dengan visor yang dipadankan bersama pelindung dagu (chin guard) sekaligus menawarkan aspek keselamatan terbaik di samping pemakai boleh menikmati tahap penghilatan luas.
Bukan itu sahaja, sewaktu visor dibuka, bahagian sisi kepala juga terus mendapat perlindungan terbaik dengan panel yang lebih panjang.
Menurut pengeluar helmet dari Perancis itu, EvoJet dibangunkan dengan ciri moden, berteknologi, urban dan elegan.
Antara ciri menarik ditawarkan:
cangkerang diperbuat daripada resin thermoplastic
sistem micro-lock buckle
multi-density EPS
Seperti helmet SHARK yang lain, visor EvoJet adalah jenis Optical Class-1 dan menawarkan ciri anti-calar serta anti-kabus manakala sun-visor UV380 juga turut dirawat dengan fungsi anti-calar.
SHARK EvoJet ini didatangkan dengan fabrik AEGIS® MICROTECH yang diperbuat dari bahan kitar semula dan menawarkan ciri antibakteria.
Pad dalam juga boleh ditanggalkan dan dibasuh dengan mudah.
Terdapat juga slot khas bagi intercom SHARKtooth.
SHARK EvoJet ini boleh didapati di semua pengedar rasmi SHARK Helmet Malaysia pada harga RM1,600!
Suzuki berkongsi gambar rasmi dua pilihan warna baharu bagi V-Strom 1050 XT yang ditawarkan bagi tahun 2021.
Corak pertama menggabungkan pilihan warna hitam dengan rim berwarna emas serta grafik berwarna kelabu.
Sementara model kedua menawarkan warna kelabu yang dipadankan dengan rim berwarna biru gelap.
Selain daripada pilihan warna baharu, V-Strom 1050 XT ini kekal dengan enjin silinder berkembar (Euro 5) yang menawarkan 107.4hp yang dipadankan dengan Suzuki Intelligent Ride System (SIRS).
SIRS merupakan sistem kawalan elektronik terkini yang mengawal IMU 6-axis oleh Bosch yang berfungsi meningkatkan tunggangan serta keselamatan dalam apa jua keadaan.
Pakej SIRS merangkumi ciri berikut:
ride-by-wire
cruise control
electronic traction control boleh laras
Suzuki Drive Mode Selector
hill start assist
Anti-lock Braking System (ABS)
Slope Dependent Control System
Load Dependent Control System
Ketika ini model adventure dari Suzuki ini masih belum diperkenalkan di Malaysia tatkala masih menanti status rasmi mengenai Suzuki Malaysia.
Valentino Rossi mengakui sukar untuk memaafkan pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, atas kejadian yang berlaku pada 2015.
Rossi bertegas Marquez telah berkomplot dengan rakan sepasukan di Monster Yamaha, Jorge Lorenzo, bagi memastikan dirinya terlepas kejuaraan 2015.
*Valentino Rossi
“Saya tidak dapat memaafkan apa yang telah dia lakukan pada saya.
“Apabila saya teringat balik tahun itu, saya masih merasakan benda yang sama meskipun enam tahun telah berlalu.
“Ini kerana saya sedar sukar untuk mereka berubah,” jelas Rossi.
Musim 2015 dipalit dengan persaingan penuh kontroversi di antara Rossi dan Marquez dengan kedua-duanya beberapa kali berlanggar antara satu sama lain bermula di Argentina dan kemudiannya di Assen.
Ketika di Misano, Rossi dikenakan denda kerana menghimpit Lorenzo sewaktu pusingan kelayakan.
Senario itu menyebabkan Rossi menuduh Marquez cuba membantu Lorenzo memenangi kejuaraan dunia sewaktu di Philip Island sebelum Marquez menafikan dakwaan itu di Sepang.
Ketegangan Rossi dan Marquez memuncak di pusingan 17 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kedua-dua berlanggar buat kali ketiga musim itu.
Meskipun Rossi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sementara Marquez terpaksa bersara awal, pegawai perlumbaan mendapati Rossi harus dipersalahkan lalu dikenakan tindakan tiga mata penalti.
Dia juga terpaksa memulakan perlumbaan terakhir di Valencia di grid belakang.
Meskipun, Rossi membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), keputusan denda itu tidak dapat ditarik balik.
Rossi kemudiannya terpaksa akur menamatkan musim 2015 dipisahkan lima mata dibelakang juara, Jorge Lorenzo, sementara Marquez ketiga dengan 242 mata.
Rossi bakal memulakan musim 2021 dengan pasukan satelit Yamaha, Petronas Sepang Racing Team( SRT) bergandingan dengan Franco Morbidelli.
Pengusaha pasar raya, Abdul Rahman Mat Isa telah menderma sebanyak RM78,000 kepada sebuah pusat tahfiz di Lanchang hasil jualan kereta kesayangan, Honda EK9 VTEC Turbo.
Menerusi pendedahan di laman sosial, Abdul Rahman telah mengeluar belanja tinggi untuk lakukan pengubahsuaian kereta tersebut namun tetap berhasrat untuk menjualnya pada harga RM75,0000 dan menyalurkan keseluruhan penjualan kereta itu kepada pusat tahfiz yang terleta di Kampung Dala, Lanchang.
Bagaimanapun, pembeli kereta tersebut telah menambah lagi RM3,000 untuk mencukupkan jumlah RM78,000.
Difahamkan, kereta tersebut telah dijual kepada pemilik perniagaan kereta terpakai dari Shah Alam.
Menurut penjelasan rakan baik Abdul Rahman, Mohd Nizam Hashim, sumbangan tersebut bertujuan membantu pusat tahfiz itu yang musnah teruk ekoran dilanda banjir baru-baru ini. –SH
Baru-baru ini, Suzuki telah pun melancarkan Hayabusa 2021 yang telah dikemas kini dengan pelbagai ciri baharu.
Bagaimanapun, pada masa sama Suzuki turut memperkenalkan 10 unit edisi terhad khas untuk pasaran Itali.
Difahamkan, tarikh tutup pembelian 10 unit tersebut adalah 15 Mac ini namun kesemua model tersebut telah pun habis terjual dalam masa tiga hari.
Varian edisi terhad itu didatangkan dengan ciri tambahan antaranya pelindung cermin sisi jenis gentian karbon, pad tangki, jalur khas di rim serta lever khas yang telah di ‘anodized’ dengan logo Suzuki.
Model ini turut lengkap dengan pelindung tempat duduk belakang serta ekzos Akrapovic.
Suzuki Hayabusa 2021 didatangkan dengan enjin 4-inline 1,340c (kini Euro 5) yang menjana 187.7hp pada 9,700rpm dan 150Nm pada 7,000rpm.