Sempena kejayaan pelumba Suzuki MotoGP, Joan Mir, dalam merangkul kejuaraan dunia musim 2020, Suzuki memperkenalkan Swift Sport Hybrid World Champion Edition.
Aspek paling unik tentang Suzuki Swift ini adalah pemilihan ‘livery’ sama yang diguna pakai pada jentera Suzuki GSX-RR pasukan Suzuki Ecstar musim lalu.
Gabungan warna biru metalik dengan kemasan perak tersebut juga diinspirasikan daripada pasukan Suzuki pertama yang beraksi di kejuaraan dunia pada 1960.
Sementara itu, ruang dalam diwarnai dengan kemasan kuning fluorescent terutamanya di bahagian pintu depan, dan dashboard.
Menariknya, setiap daripada bahagian ini menampilkan tandatangan Joan Mir sendiri.
Suzuki Swift Sport Hybrid World Champion Edition ini didatangkan dengan enjin 1.4 Boosterjet K14D yang dipadangkan dengan Suzuki Hybrid 48V Technology dan menawarkan 129Hp serta 235Nm pada 2,000 dan 3,000rpm.
Menurut Suzuki, Swift edisi khas ini hanya boleh ditempah menerusi laman atas talian Suzuki pada harga EUR20,900 (RM102,400).