Hakikatnya, terdapat banyak motosikal klasik dan lama yang boleh didapati dengan mudah antaranya secara atas talian.
Namun, tak semua menawarkan kondisi terbaik dan hampir pasti kesemua motosikal klasik ini telah pun merekodkan perbatuan yang tinggi.
Bagaimanapun, kes berbeza bagi sebuah motosikal Kawasaki ZX7-R 1996 ini yang masih lagi tidak mencatatkan sebarang perbatuan walaupun selepas 25 tahun!
Motosikal dalam keadaan ‘new old stock’ ini adalah untuk dijual di United Kingdom dan ditawarkan pada harga GBP39,995 (RM224,500)!
Selain berada dalam keadaan serba baharu dan perbatuan kosong, ZX7-RR merupakan keluaran khas edisi ‘homologation’ dengan hanya 500 unit dihasilkan untuk pasaran dunia.
Menurut laporan, motosikal ini pada awalnya dijual di Itali dan merupakan sebahagian daripada koleksi peribadi pembeli.
Difahamkan, pemilik motosikal ini juga mencari pembeli bagi yang berminat mendapatkan sebuah Ducati 1299 Superleggera serta Yamaha YZF-R7 OW02 (perbatuan kosong) yang dijual pada harga GBP69,995 (RM392,970) serta GBP59,995 (RM336,829).