Bikesrepublic

Berita Terkini

Suzuki Motorcycle akhirnya melancarkan Hayabusa 2021 secara rasmi menerusi Suzuki Motorcyle Global Salon, hari ini.

Bagi tahun 2021, generasi ketiga Hayabusa ini tampil dengan penggunaan lampu LED penuh (depan dan belakang).

Suzuki turut menaik taraf enjin 4-inline 1,340cc Hayabusa bagi mencapai standard Euro 5 yang kini menawarkan 187.4hp pada 9,700rpm dan 150Nm pada 7,000rpm.

Angka tersebut sedikit menurun berbanding Hayabusa generasi kedua yang menawarkan 194hp dan 155Nm.

Bagaimanapun, enjin 16 Valve DOHC dengan penyejukan cecair itu kini lebih tahan lasak serta menawarkan pembakaran minyak lebih efisien dan mampu merekodkan kelajuan maksima (nominal) 299km/j.

Antara langkah pembaharuan diambil adalah dengan mengurangkan 1mm diameter dalam throttle body dan memanjangkan panjang paip intake kepada 12mm.

Menurut Suzuki, langkah ini melancarkan aliran kuasa enjin pada kelajuan rendah dan pertengahan.

Penggunaan Suzuki Side Feed Injector (S-SFI) juga menyumbang kepada peningkatan output kuasa serta tork.

Hayabusa 2021 ini turut didatangkan dengan sistem Ride-by-Wire Electronic Throttle dan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang membantu meningkatkan respon enjin serta menjamin pertukaran gear yang lebih efisien.

Menariknya, Suzuki mengekalkan penggunaan kerangka twin-spar dan swingarm jenis aluminium.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • fork depan KYB (upside down) dengan salutan Diamond-Like-Carbon
  • monoshock belakang KYB
  • tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22
  • gabungan meter jenis analog dan skrin TFT berwarna
  • Suzuki Intelligent Ride System (SIRS)
  • Bosch IMU 6-axis
  • Launch Control
  • Cruise Control (antara 31km/j hingga 200km/j)
  • Combined Brake System
  • Slope Dependent Control System
  • Hill Hold Control System
  • Emergency Stop Signal

Model ini juga tampil dengan Suzuki Drive Mode Selector Alpha (SDMS-a) yang membolehkan penunggang membuat tetapan berikut:

  • Motion Track Traction Control System
  • Bi-directional Quick Shift System
  • Engine Brake Control System
  • Anti-lift Control System
  • Power Mode Selector

Lebih mengujakan, Suzuki Hayabusa 2021 ini juga muncul sebagai motosikal pertama di dunia yang dilengkapi Active Speed Limiter yang membolehkan penunggang menetapkan kelajuan maksima motosikal mengikut kesesuaian.

Sistem brek pula dikendalikan kaliper brek Brembo Stylema yang dipadankan dengan cakera brek depan (jenis floating) 320mm serta teknologi ABS terkini.

Belum sempat Ducati Multistrada V4 mendarat di Malaysia, pengeluar motosikal Itali itu dikhabarkan bakal memperkenalkan edisi Pikes Peak.

Senario ini sekaligus menyaksikan Ducati meneruskan tradisi Multistrada Edisi Pikes Peak sepertimana yang dilakukan pada model 1260 dan 1200 sebelum ini.

Pikes Peak Hill Climb merupakan antara kejohanan perlumbaan jalan raya paling ikonik bagi Ducati yang sebelum ini mempertaruhkan Multistrada bersama pelumba Carlin Dunne.

Ducati kemudiannya beralih kepada jentera (prototaip) Streetfighter V4 pada tahun 2019 yang turut menyaksikan Dunne menemui ajal selepas terlibat kemalangan.

Kejadian itu turut menyaksikan penganjur Pikes Peak mengharamkan kategori dua roda namun itu tidak menyekat Ducati untuk memperkenalkan Multistrada V4 edisi khas tersebut.

Bagaimanapun, tiada info terperinci mengenai varian baharu ini kecuali penggunaan warna dan livery unik serta sistem ‘suspension’ oleh Ohlins seperti model sebelumnya.

Pengarah Akademi VR46 dan Sky Racing Team VR46, Alessio ‘Uccio’ Salucci, mendedahkan bahawa Valentino Rossi akan membuat keputusan mengenai masa depannya musim ini.

Menurut Salucci, Rossi memerlukan antara 6-7 perlumbaan bagi menentukan sama akan meneruskan kariernya di MotoGP.

Ini kerana pelumba berusia 41 tahun itu hanya menandatangani kontrak setahun bersama pasukan satelit Yamaha, Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pada masa sama, Rossi juga perlu membuat keputusan sama ada pasukan VR46 akan bertanding di kelas premier MotoGP pada 2022 tatkala pelumba, Luca Marini, akan beraksi bersama Avintia Ducati dengan kerjasama VR46 musim ini.

Marini merupakan pelumba akademi VR46 ketiga beraksi di MotoGP selepas Franco Morbidelli dan Peco Bagnaia.

Pelumba Moto2, Marco Bezzechi dan Celestino Vietti dijangka akan diangkat ke kelas premier pada 2022.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan telah menahan lima individu termasuk seorang ayah bersama anaknya berusia 18 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah.

Penahanan itu sekaligus membongkar kehidupan ‘mewah’ remaja terbabit antaranya memiliki sebuah kereta jenis BMW 630i M-Sport.

Menurut laporan akhbar tempatan, ayah remaja tersebut bekerja sebagai penjual besi buruk di Tanah Merah.

Ketua JSJN Kelanta, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar menjelaskan penangkapan anak beranak tersebut berlaku sejam selepas pihaknya menahan tiga individu lain berusia 22, 25 dan 28 tahun.

Dalam serbuan itu, polis turut menemukan 800 pil kuda bernilai RM8,000 sebelum pasangan anak beranak itu membawa pihak polis ke kawasan semak yang merupakan tempat penyembunyian dadah jenis pil kuda, syabu dan heroin yang dianggarkan lebih RM112,000.

Polis turut menyita lima motosikal pelbagai jenis serta dua kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Satria.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi memperkembang rangkaian pelanggan termasuk penunggang baharu, Husqvarna memperkenalkan Svartpilen 125 2021.

Husqvarna Svartpilen 125 merupakan usaha baharu jenama Sweden itu dalam menawarkan jentera yang ringan (146 kilogram) dan mudah dikendalikan bagi penunggang baharu.

Husqvarna Svartpilen 125 ini tampil dengan enjin 125cc satu silinder (Euro 5) yang menawarkan 15hp pada 9,500rpm dan 12Nm dan dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.

Menurut Husqvarna, motosikal ini berkongsi ciri sama seperti abang besar, 250 dan 401 Svartpilen antaranya fork depan 43mm WP Apex, mono-shock WP Apex, penggunaan lampu LED penuh serta ABS.

Mengekalkan rekaan keseluruhan yang sama seperti model 250 dan 401 juga satu keputusan bijak kerana hakikatnya Svartpilen sebuah motosikal ‘urban’ yang penuh gaya.

Persoalannya, adakah pasaran Malaysia akan turut ditawarkan model 125 ini setelah Husqvarna Motorcycle Malaysia telah pun melancarkan Svartpilen 250 dan 401 baru-baru ini.

Harley-Davidson seperti di ambang kejatuhan.

Tahun 2020 ternyata sukar bagi semua pihak termasuklah Harley-Davidson.

*Bekas CEO Harley-Davidson, Matt Levatich.

Bermula dengan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Matt Levatich pada Mac 2020, Harley-Davidson kemudiannya membuat keputusan menutup operasi kilang di Bawal, India.

Kemudian pada November tahun lalu, Harley-Davidson memutuskan kerjasama 20 tahun bersama Vance & Hines dalam perlumbaan American Flat Track serta NHRA Pro Stock Motorcycle.

*Pembangunan Harley-Davidson Bronx dihentikan.

Harley turut batalkan pembinaan model jenis ‘streetfighter’ Bronx serta disyaki menamatkan kerjasama dengan pengeluar China, Qianjiang Motorcycle, bagi motosikal bersesaran kecil, Harley-Davidson 338R meskipun model itu berpeluang menarik pembeli muda dengan harga lebih mampu milik berbanding tawaran sedia ada.

Segala keputusan ini lahir dari buah fikiran CEO baharu, Jochen Zeitz, yang mahu syarikat itu kembali memfokuskan perniagaan ke akar umbi, jual motosikal kepada mereka yang berkemampuan.

*CEO Harley-Davidson baharu, Jochen Zeitz.

Bagaimanapun, segalanya seakan tidak menjadi apabila Harley-Davidson merekodkan kejatuhan jualan lebih 39 peratus pada suku terakhir tahun 2020 dengan hanya 145,200 unit motosikal diserahkan pada tahun lalu berbanding 214,900 unit pada 2019.

Bagi memastikan jenama itu tidak terus catat kejatuhan pada tahun ini, Zeitz mengumumkan pelan lima tahun dikenali sebagai Hardwire.

“Kami melancarkan Hardiwre dengan kemampuan, aset serta legasi yang tidak mampu ditandingi pesaing lain. Harley-Davidson adalah jenama paling diminati di dunia.

“Pelan strategik ini akan membuka potensi yang lebih luas seterusnya meningkatkan permintaan terhadap Harley-Davidson,” jelas Zeitz.

Sejauh mana kebenaran itu segalanya bergantung pada pelan Hardwire yang akan berjalan dari 2021 hingga 2025.

*Harley-Davidson Pan America

Antara langkah utama pelan tersebut adalah membelanjakan di antara USD190 juta hingga USD250 juta setiap tahun ke dalam mengukuhkan posisi jenama itu dalam segmen touring, cruiser serta trike dengan model baharu, Pan America menjadi fokus.

Harley juga merancang memperkenalkan program pra-pemilikan motosikal di samping mewujudkan divisyen khas dalam pembangunan motosikal elektrik.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube