Bikesrepublic

Berita Terkini

Honda mencuri tumpuan apabila memperkenalkan motosikal gaya ‘scrambler’ menerusi CL500 di EICMA pada November lalu. 

Bagaimanapun, pengaruh ‘scrambler’ itu tidak berhenti disitu apabila jenama motosikal Jepun itu turut memperkenalkan varian lebih kecil menerusi CL300 di China, baru-baru ini. 

Bagaimanapun, pengenalan CL300 bukanlah satu kejutan. 

Ini kerana CL500 dibangunkan dari model Rebel 500 maka kewujudan Rebel 300 di beberapa pasaran dunia secara tidak langsung beri bayangan langkah sama akan turut berlaku bagi memperkenalkan CL300. 

Pada masa sama Honda juga telah memfailkan tanda dagangan bagi nama CL300 awal tahun ini jadi pelancaran model itu China sudah pun dijangka.

Menurut laporan, CL300 datang dengan dua varian di China, Standard dan Premium dengan kedua-duanya dibezakan dengan kemasan dan estetik berbeza. 

Honda CL300 menawarkan 25.7hp dan bernadikan enjin satu silinder 286cc. Honda mendakwa model tersebut mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 125km/j dan datang dengan berat sekitar 171kg. 

Meskipun berkongsi platform dengan Rebel 300 namun beberapa ciri telah diubah mengikut kesesuaian antaranya penggunaan tayar 19-inci depan dan 17-belakang. 

Untuk rekod, model scrambler tersebut turut dipasarkan di Jepun namun dengan kapasiti enjin 250cc. 

Baru-baru Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat melawat kawasan terjejas banjir yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini.

Berdasarkan perkongsian oleh anaknya, Nurul Zahid, TPM dilihat menunggang sebuah motosikal jenis Honda RS150R sambil meredah banjir disatu lokasi yang tidak diberitahu. 

Bagaimanapun, keupayaan Honda RS150R untuk meredah banjir sememangnya tidak boleh dinafikan. 

Ini kerana Honda RS150R mempunyai jarak kelegaan tanah yang agak tinggi, 150mm berbanding 135mm pada Yamaha Y15ZR.

Selain RS150R, SYM VF31i juga berkongsi jarak kelegaan tanah yang sama sekaligus sesuai untuk meredah banjir yang cetek. 

Untuk rekod, Honda RS150R masih lagi ditawarkan di Malaysia pada harga jualan RM7,399.

Dalam usaha memperkembangkan lagi jenama QJMotor, pengeluar motosikal China itu akan turut memasarkan motosikal mereka di Amerika Syarikat.

QJMotor sememangnya antara jenama yang semakin meningkat naik terutamanya menerusi anak syarikat Benelli yang cukup popular di beberapa negara Eropah termasuk Itali. 

Bagaimanapun, QJMotor mempunyai tawaran model lebih meluas dengan lebih 40 model ditawarkan di China ketika ini. 

Perkembangan terbaru mendapati QJMotor akan melangkah ke pasaran AS berdasarkan dokumen yang telah difailkan di NHTSA – badan yang bertanggungjawab menyelia tahap keselamatan kenderaan dan panggilan semula di Amerika Syarikat.

Dokumen itu juga menyeneraikan beberapa model dari 135cc hingga 754cc termasuk Benelli 302R, Benelli TRK702 dan TRK702X yang baru sahaja diperkenalkan di EICMA, November lalu. 

Selain itu, model QJMotor yang turut tersenarai merangkumi SRT750X, SRV550, SRV300V, SRK750 dan SRK400RR. 

Menariknya, QJMotor akan turut membawa jenama skuter elektrik, QJMotor G2, EZ dan Q2.

Tindakan berani QJMotor untuk menembusi pasaran AS harus dikagumi tatkala negara itu mempunyai stigma terhadap produk buatan China di samping hubungan dingin antara kedua-dua negara ketika ini. 

Namun, sekiranya QJMotor berjaya menempatkan harga pada skala yang kompetitif kami percaya beberapa model akan mendapat perhatian tinggi antaranya model TRK yang cukup popular di Itali. 

Setahun selepas diperkenalkan menerusi Ducati World Premier (DWP) 2022 yang disiarkan Disember tahun lalu, motosikal ‘adventure’ serba baharu, Ducati DesertX akhirnya tiba di Malaysia dengan harga jualan RM112,900.

Ducati DesertX bakal sertai pasaran ADV yang ketika ini cukup kompetitif dengan persaingan dari Triumph Tiger 900 Rally, Honda CRF1100L Africa Twin dan akan datang, MV Agusta Lucky Explorer 9.5.

Menurut Ducati, DesertX mendapat inspirasi daripada jentera Cagiva Elefant yang suatu ketika dulu beraksi di Rali Paris-Dakar pada era 80an dan 90an.

Tampil dengan pilihan warna serba putih dengan gabungan kemasan merah seakan menyerupai penaja Lucky Strike pada Elefant, DesertX dilengkapi dengan ciri off-road tegar.

Sistem suspensi pula hadir menerusi fork depan USD 46mm dari Kayaba (boleh laras) dan monoshock Kayaba (boleh laras).

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • Wheelie Control
  • Engine Brake Control
  • Ducati Quick Shift
  • Cruise Control
  • Ducati Brake Light
  • USB power Socket
  • Steering damper

Sementara itu, meskipun tampil dengan ciri adventure, Ducati DesertX ini juga sesuai untuk tunggangan jarak jauh hasil bantuan tangki 21L. Menariknya kapasiti tangki boleh ditambah lagi 8L yang boleh dipasang di bahagia subframe kanan jentera.

Aspek membrek pula dikendalikan menerusi cakera brek depan 320mm yang dipadankan bersama kaliper brek Brembo M50 sambil dibantu Cornering ABS oleh Bosch.

Ducati DesertX ini dikuasakan enjin Testastretta 937cc 11-darjah yang berkemampuan menghasilkan 110hp dan 92Nm.

Meskipun enjin dipinjamkan dari model Hypermotard dan SuperSport 950, Ducati telah mengemaskini enjin tersebut dengan komponen yang lebih ringan dan berjaya membuang sebanyak 1.7kg.

Tempat duduk penunggang dan pillion juga lebih selesa dan boleh diselaraskan mengikut keselesaan. Menurut Ducati, tempat duduk pillion juga boleh ditanggalkan.

Pada masa sama, bahagian papan pemuka yang menempatkan skrin TFT 5″ juga lebih tinggi bagi membolehkan penunggang melihat dengan lebih mudah meskipun sewaktu berdiri.

Ducati DesertX ini menawarkan enam mod tunggangan yang merangkumi Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally. Penunggang juga boleh mengubah Power Mode mengikut keselesaan.

GALERI: DUCATI DESERTX

Juara dunia MotoGP musim 2021, Fabio Quartararo akan mengenakan helmet HJC bagi musim 2023 sekaligus meninggalkan helmet jenama Scorpion.

Selepas beberapa tahun menyarung helmet Scorpion, pelumba Monster Energy Yamaha itu akan beralih ke HJC musim baru ini. 

Pelumba kelahiran Perancis itu memilih HJC RPHA 1, sebuah helmet dengan standard FIM serba baharu yang dihasilkan jenama dari Korea Selatan itu. 

Untuk rekod, Fabio Quartararo sebelum ini memakai Scorpion EXO-R1 Air Fabio Monster. 

Menariknya, Quartararo sebelum ini dikaitkan dengan helmet jenama SHARK ekoran helmet tersebut merupakan buatan Perancis dan turut dipakai rakan senegara seperti Johann Zarco ketika ini.

MForce Bike Holdings Sdn Bhd bakal menggalas tugas sebagai pengedar baharu  jenama CFMoto di Malaysia dengan pengumuman rasmi bakal dilakukan dalam masa terdekat.

Menurut sumber, MForce bakal mengambil alih tugas pengedar CFMoto di Malaysia daripada KTNS Holdings Sdn Bhd.

Pengambilalihan itu dijangka mengukuhkan status MForce di Malaysia selaku pengedar dengan tawaran meluas ekoran turut mengedar jenama lain seperti Benelli, Keeway, WMOTO, SYM, Moto Morini, QJMotor, SM Sport dan Brixton Motorcycles. 

Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai ambil alih tugas selaku pengedar baharu CFMoto di Malaysia hanya boleh disampaikan pihak MForce dalam pengumuman rasmi yang dijangka dibuat dalam masa terdekat. 

Terdahulu, tugas pengedar jenama Triumph Motorcycles di Malaysia juga turut berpindah tangan daripada Fast Bikes Sdn Bhd kepada Didi Automotive. 

Fast Bikes akan beralih kepada Honda Big Wing bermula 15 Januari 2023. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube