Bikesrepublic

Berita Terkini

Pasaran motosikal Thailand yang telah berkembang pesat sejak tiga tahun lalu, mula mengalami penurunan pada separuh pertama 2024.

Tokoh-tokoh industri itu telah melaporkan bahawa mereka menjual 904,135 motosikal dalam enam bulan pertama tahun ini. Walaupun itu adalah jumlah yang besar berbanding dengan kita di Malaysia, ia sebenarnya merupakan pengurangan -9.9% berbanding separuh tahun pertama 2023. Thailand ialah pasaran motosikal keenam terbesar di dunia.

Ekonomi negara itu kini dilihat sebagai yang paling lemah di rantau ini disebebakan oleh apa yang disebut oleh Bangkok Post sebagai “penggunaan berlebihan.” Permintaan untuk penggunaan lebih tinggi berbanding dengan bekalan tunai hasil pendapatan, dan ini membawa kepada kewangan domestik yang tidak mencukupi.

Presiden Honda Thailand, Yuichi Shimizu berkata, “Hutang isi rumah yang tinggi mencecah 91% daripada KDNK dan kuasa beli pengguna yang lemah menyebabkan orang ramai lebih berhati-hati dalam berbelanja. Mereka bimbang dengan keadaan ekonomi semasa.”

Harapan awal untuk peningkatan ekonomi semula pada 2024 tidak menjadi. Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) telah mengurangkan unjuran pertumbuhan 2024 untuk ekonomi Thailand kepada 2.2%–2.7%, turun daripada 2.8%–3.3% yang diramalkan pada November 2023. Tinjauan untuk 2024 adalah lebih lemah daripada sebelumnya diunjurkan disebabkan oleh prospek eksport dan pelaburan awam yang lebih malap.

Oleh itu, peneraju pasaran, Honda menyaksikan penurunan -7.5%, manakala pesaing utama mereka, Yamaha kehilangan -12%. Piaggio, di tempat ketiga menyaksikan kejatuhan besar -34%, dan di keempat, GPX menyaksikan pengurangan mendadak sebanyak -62.2%.

Walaubagaimanapun, motosikal elektrik menyaksikan pertumbuhan yang mampan. Honda dan pengeluar dari China berada pada kedudukan yang baik untuk mengeksploitasi sektor ini. Setelah menjual 13,600 unit motosikal elektrik setakat ini, Honda menjangkakan akan menjual sejumlah 30,000 unit pada 2024, meningkat daripada 21,000 pada 2023. Malah, syarikat itu merancang untuk mempunyai sekurang-kurangnya 44 stesen pertukaran bateri dan akan meningkatkan bahagian mereka dalam sektor penyewaan motosikal.

Pelumba dari Thailand, Somkiat Chantra akan berpindah ke kelas MotoGP pada 2025.

Berita itu menjadi kebanggaan bagi rakyat negara tersebut kerana beliau merupakan pelumba pertama dari negara itu yang akan mengambil bahagian dalam kelas perdana itu. Somkiat, 25 tahun, diambil sebagai pelumba untuk pasukan satelit LCR Honda, menggantikan pelumba Jepun, Takaaki Nakagami.

“Melangkah ke MotoGP sentiasa menjadi impian saya, dan akhirnya saya akan merealisasikannya.

“Saya bertekad untuk belajar, memberikan yang terbaik, dan menikmati pengembaraan baharu ini. Ia akan menjadi sukar, tetapi saya akan memberikan yang terbaik,” kata Somkiat dalam satu kenyataan.

Somkiat sudah memenangi dua perlumbaan dalam Moto2 sejak membuat penampilan dalam kelas itu pada 2019 dan menamatkan musim lalu di kedudukan keenam dalam carta pelumba.

Dia kini berada di tempat ke-10 dalam kejuaraan tahun ini dengan mengumpul 64 mata daripada 11 perlumbaan.

Sebuah prototaip CFMoto 675 NK dikesan memakai penyamaran di China.

Ia mungkin versi naked yang diadaptasi daripada model sportbike CFMoto 675 SR-R yang dilancarkan baru-baru ini. 675 SR-R ialah motosikal dengan enjin tiga silinder pertama untuk pengeluar ini. Oleh itu, motosikal baharu itu dijangka akan dikenali sebagai 675 NK.

Prototaip naked ini kelihatan berkongsi casis yang sama seperti yang varian sportbike, seperti pelekap lengan ayun, lengan ayun aluminium, fork depan terbalik. Secara keseluruhannya, rekabentuk badannya kelihatan sangat mirip dengan Kawasaki Z1000 lama dan Ducati Streetfighter. Kuasa enjinnya sepatutnya sama dengan 675 SR-R, iaitu 95hp juga. Ciri lain harus termasuk skrin TFT, penukar pantas, ABS, kawalan cengkaman, lampu LED dan sebagainya.

CFMoto 675 NK akan meletakkannya dalam kategori yang sama dengan Triumph Trident, Honda CB650F, Suzuki GSX-8S, Kawasaki Z650, Yamaha MT-07, antara lain.

Kami harap model ini akan didedahkan pada pameran EICMA 2024, dan versi siap pengeluaran sepenuhnya pada 2025.

Pihak berkuasa berkata masih belum tiba masa untuk mewartakan tempat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sebagai zon tidak selamat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata untuk berbuat demikian, pihaknya perlu mengemuka permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytihar kawasan itu sebagai zon bencana.

“Walaupun kejadian ini bukan dianggap bencana, tindakan polis termasuk bomba dan agensi berkaitan serta Indah Water Konsortium (IWK) seolah-olah seperti bencana.

“Susulan lokasi kedua mendapan dikesan, saya sudah mengarahkan laluan sepanjang 1.4 kilometer di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut ditutup.

“Penutupan itu membabitkan laluan yang mempunyai lima pembentung dan arahan berkait perkara berkenaan sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Dearah Dang Wangi dan Ketua Polis Negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, penutupan hanya membabitkan laluan berkenaan dan tidak membabitkan kawasan lain.

“Perniagaan juga tidak ditutup. Urus niaga masih berlangsung seperti biasa. Laluan ke pembentung itu sekitar 50 hingga 70 meter sahaja,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan halangan objek yang tersekat kira-kira 80 meter di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman, berkata dapatan itu diperoleh menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa turun ke tempat kejadian petang semalam, selain pengesanan kamera.

“Moped lasak” Yamaha PG-1 telah didedahkan semasa Karnival Yamaha GenBlu 2024. Para hadirin dan pihak media juga berpeluang menguji basikal tersebut.

Yamaha berkata bahawa nama motosikal itu sebenarnya singkatan untuk “Playful Gear 1.” Seperti moped lain, ia berasaskan casis tulang tengah tetapi mencirikan suspensi dengan jarak gerakan yang panjang. Ia seakan moped yang diubahsuai untuk perlumbaan off-road, yang dipanggil “cub cross” di Malaysia. Oleh yang demikian, Yamaha PG-1 ini berada di dalam kategori yang sama dengan Honda CT125 Hunter Cub/Trail dan Aveta Ranger Max Explorer.

Enjin PG-1 ialah jenis 114cc, satu silinder yang disejukkan oleh udara, dan menghasilkan 6.6kW (8.9hp) pada 7,000 RPM dan 9.5Nm pada 5,500 RPM. Ia dipadankan kepada transmisi empat kelajuan. Enjin ini (dan mungkin transmisi) dikongsi dengan Yamaha EZ115, yang sebelum ini dikenali sebagai Lagenda 115.

Ciri-ciri yang menjadikannya sebuah motosikal yang boleh ditunggang di mana-mana ialah jarak kelegaan tanah 190mm, tayar bertiub “knobby” 90/100-16 inci pada kedua-dua hujungnya, dan bar hendal lurus ke atas. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti 5.1 liter, dan berat basah didakwa sebagai 107kg (agak ringan).

Tiub fork depan mempunyai penutup jenis akordion, manakala lampu depan dan lampu belakang bulat melengkapkan rupa lasaknya.

Satu ciri yang menarik ialah tempat duduk terbelah, yang membolehkan pengisian bahan api dengan mudah di bawah tempat duduk penunggang, sementara terdapat beberapa ruang penyimpanan di bawah tempat duduk pembonceng. Ketinggian tempat duduk penunggang ialah 795mm.

Hong Leong Yamaha Motor akan melancarkan Yamaha PG-1 secara rasmi pada tarikh lain, tetapi mereka telah mengumumkan harga jualan yang disyorkan sebanyak RM6,998.00. Ia didatangkan dalam dua warna iaitu Casual Beige dan Forest Green.

Galeri foto Yamaha PG-1

Cardo menduduki tangga teratas dalam pasaran interkom motosikal dan mereka terus mengalihkan titik perbandingan daripada segi ciri dan inovasi dengan pelancaran Cardo Packtalk Pro yang dinanti-nantikan. Ia dijual pada harga runcit yang disyorkan RM2,099.00.

Ketibaannya diumumkan oleh pengedar rasmi di Malaysia, Sinar Puncak Sdn. Bhd. semasa majlis pelancaran di Backroom Coffee.

Ciri-ciri utama:
  • Cardo Packtalk Pro mempunyai cip pengesan kemalanagan (crash detection). Cip ini mengukur dan merekodkan daya pecutan, halaju sudut dan gerakan tidak normal secara berterusan. Oleh itu, unit akan meminta bantuan sekiranya penunggang hilang upaya setelah terbabit di dalam kemalangan.

  • Pembesar suara (speaker) JBL 45mm baharu dapat memberikan pengalaman terbaik dalam kualiti bunyi, menurut Cardo.
  • Ciri Auto ON/OFF yang menghidupkan dan mematikan peranti secara automatik berdasarkan syarat tertentu untuk memanjangkan hayat bateri.

  • Masa bercakap adalah sehingga 13 jam, manakala pengecasan penuh mengambil masa sehingga 2 jam. Selain itu, pengecasan pantas selama 20 minit menyediakan masa bercakap selama 2 jam untuk anda yang  “Alamak! Saya terlupa mengecasnya!”
  • Ciri interkom berkumpulan Dynamic Mesh Communication (DMC) yang sangat dibanggakan oleh Cardo menyokong sehingga 15 pengguna.

  • Terdapat sambungan 2 saluran, satu untuk telefon mudah alih dan GPS, manakala satu lagi menyokong sambungan Bluetooth 5.2 dan berpasangan dengan TFT motosikal.
  • Semua ciri ini dan banyak lagi (termasuk arahan suara terbina dalam) ditempatkan dalam sarung dengan tahap perlindungan IP67 yang berwarna hitam.

Sekali lagi, harga yang disyorkan ialah RM2,099.00 untuk pek satu unit peranti, dan boleh didapati di pengedar sah mulai September 2024 dan seterusnya.

Sila lawati akaun-akaun media sosial berikut untuk keterangan lanjut:

Facebook: https://www.facebook.com/cardosystemmy

Instagram: https://www.instagram.com/cardo_malaysia/

Cardo Malaysia Authorized Dealers: https://bit.ly/cardoMYauthorisedsite

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube