Bikesrepublic

Berita Terkini

Franco Morbidelli terus kempunan apabila bakal memulakan musim 2021 tanpa jentera Yamaha YZF-M1 Factory meskipun menamatkan musim 2020 di tempat kedua belakang juara dunia, Joan Mir.

Perkara itu didedahkan prinsipal Petronas Sepang Racing Team (SRT) , Datuk Razlan Razali menerusi wawancara bersama GPone, baru-baru ini.

Morbidelli beraksi dengan jentera M1 ‘Spec-A’ 2019 musim lalu namun berjaya menampilkan aksi cemerlang berbanding rakan sepasukan, Fabio Quartararo yang sering mengalami masalah teknikal dengan jentera M1 Factory.

“Ketika Frankie (Morbidelli) memenangi perlumbaan di Misano, dia berjumpa dengan saya dan bertanya sama ada boleh atau tidak dia menggunakan jentera ‘factory’ musim depan.

“Namun saya memberitahu bahawa kami telah cuba yang terbaik namun susulan kekangan kewangan perkara itu tidak dapat direalisasikan,” jelas Razlan.

Morbidelli sebaliknya merekodkan tiga kemenangan dengan jentera 2019 itu sementara Quartararo dan Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) bergelut.

“Selepas dia menang lagi di Valencia, saya bertanyakan soalan sama ada dia mahukan jentera M1 Factory musim depan (2021)?

“Dia jawab tidak sebaliknya gembira dengan jentera sedia ada itu. Faktor psikologi main peranan kerana namanya ‘factory’ tetapi masih lagi jentera yang sama,” tambah Razlan.

Razlan sekali lagi membuat permintaan sewaktu mesyuarat terakhir bersama Yamaha namun selepas mengambil kira pelbagai faktor dan kewanangan, permintaan itu tidak dapat ditunaikan.

Bagaimanapun, Razlan mendedahkan jentera yang ditunggangi Morbidelli akan mendapat beberapa kemas kini bagi musim 2021.

“Kami telah diberi jaminan jentera Morbidelli akan ditambah baik. Ini tahun ketiga Frankie bersama kami, jadi penting untuk dia berasa selesa dan gembira. Dia mengejutkan kami musim lalu terutamanya di separuh kedua musim 2020 apabila lebih konsisten berbanding Fabio (Quartararo).

“Kami jangka dia mampu mencabar kejuaraan musim ini,” kata Razlan lagi.

Beraksi dengan mesin ‘lama’ dilihat bukan satu isu buat Morbidelli tatkala jentera itu tidak mengalami sebarang isu teknikal dibandingkan dengan pelumba Yamaha lain apatah lagi pembangunan enjin baharu dibekukan sehingga hujung musim 2021. – GPOne

CFMoto akhirnya mendedahkan imej rasmi motosikal adventure, 800MT selepas beberapa kali gambar ‘spyshot’ berlegar di internet sebelum ini.

Meskipun pengeluar motosikal China itu tidak mendedahkan sebarang info lebih terperinci, 800MT jelas memaparkan reka bentuk motosikal ADV lebih konvensional – bukannya bercirikan ‘off-road’- berbanding KTM.

Seperti dilaporkan sebelum ini, 800MT merupakan produk keluaran CFMoto hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal Austria, KTM yang turut menyaksikan CFMoto selaku anak syarikat Zhejiang Chunfeng Power Co menghasilkan Duke 125, 250, 390 di pasaran China.

Kerjasama ini turut menyaksikan CFMoto menghasilkan 1250 TR-G.

Selain daripada mengguna pakai enjin parallel-twin 799cc LC8 yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure, 800MT juga didatangkan dengan chasis yang sama kecuali bahagian swingarm yang telah direka semula.

Difahamkan 800MT ini seberat 231 kilogram, 16kg lebih berat berbanding KTM 890 Adventure (model terkini).

Perkongsian imej rasmi ini sekaligus beri bayangan 800MT ini semakin hampiri pelancaran dan menurut sumber, model ini akan turut diperkenalkan di pasaran Malaysia.

Aprilia telah melancarkan RSV4 1100 dan Tuono V4 yang telah dikemas kini untuk tahun 2021 dengan rekaan dan teknologi baharu.

Selepas melancarkan RS660 dan Tuono 660 baru-baru ini, rata-rata menantikan perkembangan terkini motosikal sportsbike flagship syarikat dari Noale, Itali itu.

Diinspirasikan daripada platform RS-GP yang beraksi di MotoGP, RSV4 kini menjana 214hp dengan enjin 1099cc manakala Tuono V4 kekal dengan 175hp dan 121Nm dengan masing-masing kini mencapai piawaian Euro 5.

*Aprilia Tuono V4 1100

Kedua-dua model ini juga lengkap dengan sistem ekzos baharu termasuk pakej elektronik terkini yang merangkumi ECU Marelli 11MP.

Penunggang juga ditawarkan skrin TFT berwarna lebih besar dan boleh memilih di antara enam mod menunggang.

Swingarm jenis ‘underslung’ juga dipinjam dari RS-GP sekaligus lebih ringan lantas meningkatkan kestabilan kedua-dua jentera.

Ergonomik tempat duduk RSV4 1100 turut dipertingkat dengan tempat duduk serba baharu yang dipadankan dengan tangki yang telah direka semula termasuk penggunaan ‘winglet’.

*Aprilia RSV4 1100

Sementara Tuono V4 menampilkan ergonomik lebih menegak dan selesa dengan Aprilia mendakwa jentera ini lebih sesuai untuk tunggangan jarak jauh hasil daripada ‘handlebar’ lebih tinggi.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • lampu LED penuh (termasuk cornering light)
  • ABS
  • rim forged aluminium
  • traction control
  • wheelie control
  • sistem suspension separa-aktif Ohlins Smart EC 2.0
  • kaliper brek Brembo Stylema

Aprilia menawarkan RSV4 ini dalam tiga warna pilihan, Dark Losail (standard), Aprilia Black dan Lava Red manakala Tuono V4 tampil dengan warna Tarmac Grey dan Glacier White.

Menyedari permintaan terhadap motosikal jenis touring semakin popular, Autologue Design, telah menghasilkan kit touring khas bagi Bajaj Pulsar NS200.

Dijenamakan semula sebagai Modenas di Malaysia, Autologue Design merupakan pengeluar aksesori motosikal yang berpangkalan di India.

Ketika KTM, Royal Enfield dan BMW telah pun memperkenalkan motosikal ADV bersesaran kecil menerusi 250 dan 390 Adventure, Himalayan dan G 310 GS, Bajaj masih belum memiliki model ADV sendiri.

Oleh sebab itu, tawaran kit ADV dari Autologue Design ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan pemilik motosikal Pulsar yang berpeluang menukar motosikal sports naked itu kepada jentera ADV.

Kit tersebut yang dinamakan ‘NS-Xplorer’ merangkumi pelindung tangki, fender depan (beak) serta penghadang angin tinggi.

Kit ini ditawarkan pada harga INR9,999 (bagi 30 pelanggan pertama) dan INR13,500 bagi pelanggan seterusnya.

Pada masa sama, Autologue Design turut menawarkan kit touring bagi Bajaj Dominar 400 yang dinamakan kit X-Tour

Jenama motosikal elektrik Singapura, Scorpop Electric telah pun memperkenalkan prototaip model X.

X dibina dengan memfokuskan terhadap teknologi dan prestasi, model ini menawarkan pendekatan baharu dalam segmen motosikal elektrik.

Menurut Scorpio Electric, X mampu merekodkan kelajuan sehingga 100km/j dan boleh mencapai jarak sehingga 200km sekali cas.

Ketua Pegawai Eksekutif Scorpio Electric, Melvin Goh percaya mobiliti elektrik adalah solusi masa depan.

“Kami percaya bahawa kami mampu melakukan perubahan dengan menghasilkan pengangkutan yang lebih bersih dan efisien,” jelasnya.

Sementara itu, Scorpio Electric akan membuka pra-tempahan model X tahun ini dengan tarikh rasmi akan diumumkan kemudian.

Orang ramai boleh layari www.scorpioelectric.com untuk mendapatkan info terkini termasuk di laman sosial media Instagram dan Facebook.

Ducati merekodkan pencapaian baharu apabila menyerahkan unit ke 350,000 Monster kepada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali dan Pengarah Pusat Rekaan Ducati, Andrea Ferraresi, telah menyerahkan sendiri unit ke 350,000 itu dalam bentuk Monster 1200 S ‘Black on Black’ kepada Ducatista, Sebastien Francois Yves Hervé De Rose.

De Rose membuat tempahan motosikal tersebut dari pengedar Ducati di Milan namun telah dijemput khas ke kilang Borgo Panigale bagi penyerahan tersebut.

Sebagai penghargaan, Monster 1200 S itu turut disertakan dengan plat yang memaparkan angka 350,000 termasuk sijil pengesahan yang ditandatangan Domenicali.

*Ducati Monster 2021

Monster terus menjadi model paling popular dan paling lama ditawarkan Ducati sejak diperkenalkan pada 1992 menerusi Monster 600 dan kemudiannya 696 dan 1100 sehinggalah ke 797, 821, 1200 dan terbaru, Monster 2021 yang dijangka akan terus mengangkat nama Ducati dalam segmen motosikal jenis naked.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube