Franco Morbidelli terus kempunan apabila bakal memulakan musim 2021 tanpa jentera Yamaha YZF-M1 Factory meskipun menamatkan musim 2020 di tempat kedua belakang juara dunia, Joan Mir.
Perkara itu didedahkan prinsipal Petronas Sepang Racing Team (SRT) , Datuk Razlan Razali menerusi wawancara bersama GPone, baru-baru ini.
Morbidelli beraksi dengan jentera M1 ‘Spec-A’ 2019 musim lalu namun berjaya menampilkan aksi cemerlang berbanding rakan sepasukan, Fabio Quartararo yang sering mengalami masalah teknikal dengan jentera M1 Factory.
“Ketika Frankie (Morbidelli) memenangi perlumbaan di Misano, dia berjumpa dengan saya dan bertanya sama ada boleh atau tidak dia menggunakan jentera ‘factory’ musim depan.
“Namun saya memberitahu bahawa kami telah cuba yang terbaik namun susulan kekangan kewangan perkara itu tidak dapat direalisasikan,” jelas Razlan.
Morbidelli sebaliknya merekodkan tiga kemenangan dengan jentera 2019 itu sementara Quartararo dan Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) bergelut.
“Selepas dia menang lagi di Valencia, saya bertanyakan soalan sama ada dia mahukan jentera M1 Factory musim depan (2021)?
“Dia jawab tidak sebaliknya gembira dengan jentera sedia ada itu. Faktor psikologi main peranan kerana namanya ‘factory’ tetapi masih lagi jentera yang sama,” tambah Razlan.
Razlan sekali lagi membuat permintaan sewaktu mesyuarat terakhir bersama Yamaha namun selepas mengambil kira pelbagai faktor dan kewanangan, permintaan itu tidak dapat ditunaikan.
Bagaimanapun, Razlan mendedahkan jentera yang ditunggangi Morbidelli akan mendapat beberapa kemas kini bagi musim 2021.
“Kami telah diberi jaminan jentera Morbidelli akan ditambah baik. Ini tahun ketiga Frankie bersama kami, jadi penting untuk dia berasa selesa dan gembira. Dia mengejutkan kami musim lalu terutamanya di separuh kedua musim 2020 apabila lebih konsisten berbanding Fabio (Quartararo).
“Kami jangka dia mampu mencabar kejuaraan musim ini,” kata Razlan lagi.
Beraksi dengan mesin ‘lama’ dilihat bukan satu isu buat Morbidelli tatkala jentera itu tidak mengalami sebarang isu teknikal dibandingkan dengan pelumba Yamaha lain apatah lagi pembangunan enjin baharu dibekukan sehingga hujung musim 2021. – GPOne