Franco Morbidelli menamatkan Kejuaraan Dunia MotoGP 2020 di belakang Joan Mir selepas 14 pusingan musim lalu.
Pelumba Petronas Sepang Racing Team (SRT) itu, berjaya merekodkan tiga kemenangan meskipun menunggang YZR-M1 ‘Spec-A’ 2019 berbanding ‘Spec Factory’ yang ditunggang rakan sepasukan, Fabio Quartararo.
Meskipun akan meneruskan musim 2021 dengan jentera sama, prinsipal Petronas SRT, Razlan Razali meluahkan keyakinan bekas graduan akademi VR46 itu mampu muncul juara dunia musim ini.
“Dia lebih konsisten berbanding prestasi pelumba lain dan sebab itu, beliau mampu menduduki tangga kedua (belakang Mir) dan jika dia tidak berdepan masalah teknikal (pada musim ini), dia boleh jadi juara dunia,” jelas Razlan.
Sekiranya sasaran itu berjaya direalisasikan, Razlan luah keyakinan Morbidelli pasti akan dipancing pasukan ‘Factory’ seperti Ducati dan Honda susulan kontraknya bersama Petronas SRT berakhir 2022.
Bagaimanapun, Razlan mendedahkan pasukan itu hanya akan melepaskan Morbidelli dengan pampasan yang setimpal.
Morbidelli bakal memulakan saingan MotoGP 2021 dengan mentor dan juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi di Petronas SRT bermula dengan ujian pra-musim di Litar Losail, Qatar. – BERNAMA