Astra Honda Motor (AHM) telah pun melancarkan Honda CBR150R 2021 secara strim langsung di Indonesia.
Menariknya, seperti info yang didakwa sebelum ini Honda CBR150R ini sememangnya didatangkan dengan fork jenis upside down, kaliper axial Nissin di samping reka bentuk diinspirasikan daripada CBR250RR.
Honda CBR150R 2021 ini didatangkan dengan unit enjin 1 silinder 150cc DOHC dengan penyejukan cecair yang menjana 17hp pada 9,000rpm dan 14.4Nm pada 7,000rpm yang dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan dengan bantuan slipper clutch.
AHM turut melengkapkan model 2021 ini dengan Anti-lock Braking System (ABS) serta Emergency Stop Signal (ESS) namun varian tanpa ABS turut diperkenalkan.
Sementara itu, AHM turut menawarkan varian MotoGP Edition ABS yang ditawarkan pada harga IDR40.2 juta (RM11,556) manakala varian standard dengan ABS dijual pada harga IDR39.3 juta (RM11,298).
Honda kembali menghidupkan budaya motosikal retro dengan melancarkan CB1300 Super Four.
Empat varian ditawarkan; CB1300 Super Four, Super Bol d’Or, Super Four SP dan Super Four SP Bol d’Or.
Honda CB1300 Super Four ini dilengkapi unit SC54E 4-inline dengan penyejukan cecair DOHC yang menjana 113hp pada 7,500rpm dan 112Nm pada 6,250rpm dan dipadankan dengan transmisi ‘wet-clutch’ 6-kelajuan.
Meskipun berjiwa retro, CB1300 Super Four ini lengkap dengan teknologi terkini antaranya Honda Selectable Traction Control (HSTC) serta cruise control.
Model ini juga lengkap dengan tiga mod tunggangan yang merangkumi Sport, Standard dan Rain.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi negeri Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Pengumuman tersebut yang diadakan hari ini bertujuan memutuskan rantaian Covid-19 dengan negara merekodkan kes positif mencecah lima angka setiap hari sejak aktiviti rentas negeri dibenarkan semula.
Pelaksanaan PKP ini sekaligus menyaksikan negeri yang terlibat kembali kepada situasi sama seperti tahun lalu bermula 13 Januari ini (Rabu jam 12 malam) hingga 26 Januari 2021.
Rentas daerah dan rentas negeri tidak dibenarkan bagi negeri yang dikenakan PKP dan pergerakan hanya dalam radius 10 kilometer sahaja bagi pembelian barangan rumah.
Dalam perkembangan sama, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dilaksanakan pada enam negeri lain yang membabitkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
PT Astra Honda Motor bakal memperkenalkan Honda CBR150R 2021 untuk pasaran Indonesia bulan ini.
Menurut laporan di negara jiran, PT Astra merancang memperkenalkan model itu pada Disember tahun lalu namun telah ditangguh.
Honda CBR150RR ini juga dijangka akan didatangkan dengan rekaan serba baharu yang menyamai CBR250RR dan didakwa dilengkapi ciri seperti fork upside down jenis Separated Function Fork (SFF), serta slipper clutch.
Kedua-dua fork itu menawarkan ciri berlainan antaranya sebelah dilengkapi mekanisme spring manakala sebelah lagi mengendalikan compression serta rebound yang tidak boleh dilaras (non-adjustable).
Iwanbanaran.com juga menyatakan bahawa imej render yang dikongsikan tersebut menyamai 70 peratus model sebenar.
Sejauh mana kebenaran itu tidak dapat disahkan namun apa yang pasti kembalinya CBR150R di Asia Tenggara dengan rekaan serba baharu pasti lebih mengujakan apatah lagi pasaran Malaysia masih lagi ketiadaan CBR150R terkini selepas penjualan model terdahulu sekitar 2008 dan 2009 gagal mendapat sambutan. – Motoblast
Umum mengetahui Harley-Davidson bakal perkenalkan jentera bersesaran kecil hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal China, Qianjiang Motorcycles.
Hampir setahun sejak imej ‘spyshot’ Harley-Davidson 338R didedahkan kepada umum sebagai motosikal jenis ‘naked’ yang bakal dipasarkan.
Bagaimanapun, difahamkan Harley-Davidson dan Qianjiang dilaporkan bakal membangunkan jentera kedua susulan imej ‘render’ terbaru dikongsikan syarikat itu.
Meskipun tiada info terperinci didedahkan namun imej tersebut memaparkan nama QJMotor SRV300.
Model itu dijangka mengguna pakai unit 300 cc sama yang digunakan pada 338R.
Namun, sejauh mana kebenaran mengenai pembangunan motosikal tersebut masih lagi menjadi tanda tanya.
Ini kerana kerjasama Harley-Davidson dan Qianjiang Motorcycle merupakan usahasama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harley-Davidson, Matt Levatich, sementara masih tiada pengumuman rasmi perjanjian itu akan diteruskan di bawah CEO baharu, Jochen Zeitz.
Bekas pelumba Ducati MotoGP, Andrea Dovizioso, akhirnya buka mulut mengenai keputusannya untuk tinggalkan pasukan itu selepas lapan musim.
Walaupun pada awalnya timbul dakwaan Ducati dan Dovizioso gagal mencapai kata putus membabitkan pemotongan gaji susulan Covid-19, pelumba Itali itu dalam temu bual terbaru menafikan perkara tersebut.
“Ada yang mendakwa saya mahukan itu ini. Itu semua tipu. Saya tidak ditawarkan kontrak baharu dan tiada sebarang perbincangan berlaku,” tegas Dovizioso.
Ketika di GP Austria musim lalu, pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi, mengesahkan pihaknya sedang menilai prestasi Dovizioso sehingga memberitahu media pelumba itu ada tiga perlumbaan untuk membuktikan dirinya.
Tidak tahan dengan layanan tersebut, Dovizioso mengumumkan keputusan untuk meninggalkan pasukan itu sehari kemudian menerusi pengurusnya, Simone Battistella.
Kemudian timbul dakwaan kegagalan mencapai persetujuan kontrak adalah disebabkan faktor gaji namun Dovizioso menafikan perkara itu.
“Sehingga kini saya masih tidak tahu mengapa mereka tidak mahukan saya. Apa yang saya sedia maklum, (Luigi) Dall’Igna telah membuat keputusan itu pada mesyuarat yang diadakan pada 2019.
“Mesyuarat itu sepatutnya membincangkan isu teknikal, kami ada idea berbeza dan mahu bertemu dengan semua jurutera.
“Kemudian berlaku konfrontasi di antara kami (Dovizioso dan Gigi), saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya tetapi Gigi berasakan dirinya seperti diserang.
“Saya rasa ketika dia keluar dari mesyuarat itu dan menutup pintu dia telah membuat keputusan.
“Kenyataan yang dibuat pada 2020 mengenai motivasi saya adalah tidak betul,” tambah Dovizioso.
Meskipun lapan tahun bersama Ducati, pelumba berusia 34 tahun itu mendedahkan dia tiada sebarang hubungan dengan Gigi apatah lagi tidak pernah duduk semeja bagi membincangkan pembangunan jentera sejak 2017.
“Sebelum ini hubungan kami berada di tahap 30 peratus tetapi menjadi keruh sejak penyertaan Jorge Lorenzo pada 2017.
“Kami sering bercanggah pendapat dan bertengkar dan semenjak itu pasukan saya diketepikan sehingga kami tidak lagi bercakap tentang pembangunan jentera,” jelas Dovizioso.
Ducati bakal mempertaruhkan Jack Miller dan Francesco Bagnaia bagi musim 2021 bermula dengan siri ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, Februari ini.