Bikesrepublic

Berita Terkini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menggerakan 1,200 pegawai untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerjasama dua pihak ini dilihat penting dalam memastikan pematuhan SOP dilaksanakan dengan lebih efisien sepanjang PKP.

Menurut JPJ dalam satu kenyataan menyebut, “gerak kerja seumpama ini akan memberi keutamaan khusus kepada beberapa kawasan dan lokaliti tertentu di seluruh negara yang menjadi tumpuan utama pengguna jalan raya.

“Ia akan dilaksanakan melalui tiga strategi utama iaitu rondaan jalan utama negeri dan lebuh raya; sekatan jalan raya yang mengkhususkan kenderaan awam; dan pemeriksaan serta pemantauan di terminal bas utama (TBS).”

Difahamkan langkah ini diambil susulan terdapat peningkatan mendadak kes positif Covid-19 saban hari yang disumbang oleh ketidak patuhan SOP. – BERNAMA

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali menyuarakan keyakinan kerjasama pasukan itu bersama pengeluar, Yamaha, akan dilanjutkan.

Kerjasama Petronas SRT dan Yamaha akan berakhir hujung tahun ini namun Razlan yakin mereka akan memperbaharui gandingan itu untuk lima tahun lagi.

“Kami mahu kekal dalam MotoGP selama mungkin.

“Meskipun terdapat beberapa pilihan dengan pengeluar lain tetapai kami cukup selesa dengan Yamaha di samping sokongan yang telah mereka berikan sejak tahun pertama.

“Jadi demi kepentingan Yamaha, pasukan dan Petronas, kami mahu terus membangunkan kerjasama ini untuk tambahan lima tahun lagi,” jelas Razlan.

Razlan turut mendedahkan perancangan itu dijangka dimeterai sekitar pertengahan musim 2021.

Petronas SRT bakal memulakan cabaran musim baharu dengan gandingan Franco Morbidelli dan Valentino Rossi yang bertukar tempat dengan Fabio Quartararo. – GPOne

SHARK Helmets Malaysia kini menawarkan helmet Race R Pro Lorenzo 2021 GP Edition untuk pasaran tempatan.

Orang ramai kini boleh mendapatkan helmet serba baharu ini pada harga promosi RM2,999 berbanding harga biasa RM4,700.

Selain daripada mencapai piawaian ECE22.05 dan FIM, SHARK Race R Pro Lorenzo 2021 GP ini diperbuat daripada bahan jenis gentian karbon (carbon fibre) dan datang dengan dua warna pilihan, Carbon Anthracite Red or Carbon Anthracite Blue.

Spoiler besar di bahagian belakang tersebut menawarkan aerodinamik terbaik di samping mudah tanggal sewaktu kemalangan bagi mengelakkan daripada berlakunya impak sekunder.

Bukan itu sahaja, helmet ini turut mengguna pakai visor Optical Class 1 yang menjaminkan penglihatan terbaik bagi si pemakai.

Orang ramai yang berminat boleh hadir di setiap pengedar sah SHARK Helmet Malaysia di seluruh Malaysia.

Franco Morbidelli terus kempunan apabila bakal memulakan musim 2021 tanpa jentera Yamaha YZF-M1 Factory meskipun menamatkan musim 2020 di tempat kedua belakang juara dunia, Joan Mir.

Perkara itu didedahkan prinsipal Petronas Sepang Racing Team (SRT) , Datuk Razlan Razali menerusi wawancara bersama GPone, baru-baru ini.

Morbidelli beraksi dengan jentera M1 ‘Spec-A’ 2019 musim lalu namun berjaya menampilkan aksi cemerlang berbanding rakan sepasukan, Fabio Quartararo yang sering mengalami masalah teknikal dengan jentera M1 Factory.

“Ketika Frankie (Morbidelli) memenangi perlumbaan di Misano, dia berjumpa dengan saya dan bertanya sama ada boleh atau tidak dia menggunakan jentera ‘factory’ musim depan.

“Namun saya memberitahu bahawa kami telah cuba yang terbaik namun susulan kekangan kewangan perkara itu tidak dapat direalisasikan,” jelas Razlan.

Morbidelli sebaliknya merekodkan tiga kemenangan dengan jentera 2019 itu sementara Quartararo dan Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha) bergelut.

“Selepas dia menang lagi di Valencia, saya bertanyakan soalan sama ada dia mahukan jentera M1 Factory musim depan (2021)?

“Dia jawab tidak sebaliknya gembira dengan jentera sedia ada itu. Faktor psikologi main peranan kerana namanya ‘factory’ tetapi masih lagi jentera yang sama,” tambah Razlan.

Razlan sekali lagi membuat permintaan sewaktu mesyuarat terakhir bersama Yamaha namun selepas mengambil kira pelbagai faktor dan kewanangan, permintaan itu tidak dapat ditunaikan.

Bagaimanapun, Razlan mendedahkan jentera yang ditunggangi Morbidelli akan mendapat beberapa kemas kini bagi musim 2021.

“Kami telah diberi jaminan jentera Morbidelli akan ditambah baik. Ini tahun ketiga Frankie bersama kami, jadi penting untuk dia berasa selesa dan gembira. Dia mengejutkan kami musim lalu terutamanya di separuh kedua musim 2020 apabila lebih konsisten berbanding Fabio (Quartararo).

“Kami jangka dia mampu mencabar kejuaraan musim ini,” kata Razlan lagi.

Beraksi dengan mesin ‘lama’ dilihat bukan satu isu buat Morbidelli tatkala jentera itu tidak mengalami sebarang isu teknikal dibandingkan dengan pelumba Yamaha lain apatah lagi pembangunan enjin baharu dibekukan sehingga hujung musim 2021. – GPOne

CFMoto akhirnya mendedahkan imej rasmi motosikal adventure, 800MT selepas beberapa kali gambar ‘spyshot’ berlegar di internet sebelum ini.

Meskipun pengeluar motosikal China itu tidak mendedahkan sebarang info lebih terperinci, 800MT jelas memaparkan reka bentuk motosikal ADV lebih konvensional – bukannya bercirikan ‘off-road’- berbanding KTM.

Seperti dilaporkan sebelum ini, 800MT merupakan produk keluaran CFMoto hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal Austria, KTM yang turut menyaksikan CFMoto selaku anak syarikat Zhejiang Chunfeng Power Co menghasilkan Duke 125, 250, 390 di pasaran China.

Kerjasama ini turut menyaksikan CFMoto menghasilkan 1250 TR-G.

Selain daripada mengguna pakai enjin parallel-twin 799cc LC8 yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure, 800MT juga didatangkan dengan chasis yang sama kecuali bahagian swingarm yang telah direka semula.

Difahamkan 800MT ini seberat 231 kilogram, 16kg lebih berat berbanding KTM 890 Adventure (model terkini).

Perkongsian imej rasmi ini sekaligus beri bayangan 800MT ini semakin hampiri pelancaran dan menurut sumber, model ini akan turut diperkenalkan di pasaran Malaysia.

Aprilia telah melancarkan RSV4 1100 dan Tuono V4 yang telah dikemas kini untuk tahun 2021 dengan rekaan dan teknologi baharu.

Selepas melancarkan RS660 dan Tuono 660 baru-baru ini, rata-rata menantikan perkembangan terkini motosikal sportsbike flagship syarikat dari Noale, Itali itu.

Diinspirasikan daripada platform RS-GP yang beraksi di MotoGP, RSV4 kini menjana 214hp dengan enjin 1099cc manakala Tuono V4 kekal dengan 175hp dan 121Nm dengan masing-masing kini mencapai piawaian Euro 5.

*Aprilia Tuono V4 1100

Kedua-dua model ini juga lengkap dengan sistem ekzos baharu termasuk pakej elektronik terkini yang merangkumi ECU Marelli 11MP.

Penunggang juga ditawarkan skrin TFT berwarna lebih besar dan boleh memilih di antara enam mod menunggang.

Swingarm jenis ‘underslung’ juga dipinjam dari RS-GP sekaligus lebih ringan lantas meningkatkan kestabilan kedua-dua jentera.

Ergonomik tempat duduk RSV4 1100 turut dipertingkat dengan tempat duduk serba baharu yang dipadankan dengan tangki yang telah direka semula termasuk penggunaan ‘winglet’.

*Aprilia RSV4 1100

Sementara Tuono V4 menampilkan ergonomik lebih menegak dan selesa dengan Aprilia mendakwa jentera ini lebih sesuai untuk tunggangan jarak jauh hasil daripada ‘handlebar’ lebih tinggi.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • lampu LED penuh (termasuk cornering light)
  • ABS
  • rim forged aluminium
  • traction control
  • wheelie control
  • sistem suspension separa-aktif Ohlins Smart EC 2.0
  • kaliper brek Brembo Stylema

Aprilia menawarkan RSV4 ini dalam tiga warna pilihan, Dark Losail (standard), Aprilia Black dan Lava Red manakala Tuono V4 tampil dengan warna Tarmac Grey dan Glacier White.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube