MotoGP sedang dalam perbincangan dengan kerajaan Malaysia membabitkan ujian pra-musim yang akan diadakan pada Februari.
Menurut laporan Motorsport.com, Dorna Sports, IRTA bersama-sama Prinsipal Petronas SRT, Datuk Razlan Razali telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Malaysia untuk beberapa bulan dalam merangka pelan terbaik yang membolehkan pegawai MotoGP memasuki negara dengan sedikit kelonggaran.
Hal ini kerana semua pengunjung ke Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib minimum tujuh hari di samping keputusan ujian PCR negatif sebelum dibenarkan untuk keluar ke tempat awam.
Peraturan semasa kerajaan Malaysia itu dilihat boleh memberi kesan terhadap persediaan Sepang Shakedown yang dijadualkan berlangsung pada 19-21 Februari ini.
Sementara itu, MotoGP dijangka akan melaksanakan sistem ‘bubble’ di ‘paddock’ SIC sepertimana yang dijalankan sepanjang musim 2020 ini dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Meskipun usaha memastikan ujian pra-musim di Sepang berjalan, MotoGP telah pun merangka pelan sokongan dengan mengadakan ujian pra-musim di Jerez sekiranya Sepang Shakedown tidak dapat diadakan. – Motorsport.com