Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, meminta orang ramai untuk tidak baiki pulih jalan berlubang dengan sendiri.
Ini kerana baginya tindakan tersebut bukan setakat membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap pembinaan jalan raya perlu mengikut spesifikasi tersendiri dan jika piawaian itu tidak dicapai, kerosakan yang sedikit boleh bertukar besar lantas membahayakan,” jelasnya.
Kenyataan Saarani dibuat susulan beberapa perkongsian di laman sosial yang memaparkan orang awam menurap sendiri jalan berlubang susulan risau akan keselamatan pengguna jalan raya lain terutamanya penunggang motosikal.
Menurut Saarani, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, telah pun memperbaiki 685 daripada 705 aduan kerosakan yang diterima sepanjang tahun 2020 ini.
Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO), BROTHERHOOD, antara pihak yang memfokuskan dalam membantu menurap jalan berlubang susulan terdapat peningkatan kemalangan terutamanya yang menimpa penunggang motosikal di samping kerap mengetengahkan masalah jalan raya tidak diselenggara kepada pihak berwajib. – FMT
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa pengecualian cukai jualan bagi kenderaan akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.
Kerajaan turut memutuskan untuk melanjutkan diskaun 50 peratus bagi cukai jualan terhadap kenderaan baharu (CBU) dan terpakai sehingga tarikh sama, tahun depan.
Pengecualian cukai jualan kenderaan merupakan antara sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi PENJANA yang telah diumumkan kerajaan pada Jun lalu dan sepatutnya berakhir 31 Disember ini.
Pengumuman terbaru ini dijangka akan terus menyuntik peningkatan penjualan kenderaan sekaligus membantu menggerakan ekonomi yang sebelum ini terkesan dengan pandemik Covid-19.
Baru-baru ini Eurotech Wheel, selaku pengedar jenama KTM di Malaysia, telah pun melancarkan KTM 390 Adventure untuk pasaran tempatan.
Pada majlis sama, KTM Malaysia turut memperkenalkan 250 Adventure 2021.
Mengikut acuan sama seperti 390 Adventure namun dengan beberapa perubahan, 250 Adventure ditawarkan pada harga RM21,500 (sebelum cukai jalan dan insurans).
KTM 250 Adventure didatangkan dengan nadi sama yang menghidupkan Duke 250 dengan enjin satu silinder 248.8cc yang menjana 29.5hp dan 24Nm yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.
Bagaimanapun, ketika 390 Adventure didatangkan dengan ciri terkini antaranya paparan TFT 5″ dan lampu LED penuh, 250 Adventure dilengkapi paparan LCD serta lampu halogen.
Pada masa sama, KTM 250 Adventure turut dilengkapi dengan fork depan 43mm WP Apex dan monoshock belakang WP Apex namun kedua-duanya tidak boleh diselaraskan sepertimana ditawarkan 390 Adventure.
Sistem brek dikendalikan kaliper radial 4-piston depan dan satu piston belakang yang dipadankan dengan sistem Anti-lock Braking System (ABS) dwi-saluran pada cakera brek 320mm (depan) dan 230mm (belakang).
Menurut KTM Malaysia, orang ramai yang berminat boleh menantikan KTM 250 Adventure boleh didapati di pasaran sekitar bulan Mac 2021.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith menjelaskan permohonan maaf terhadap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin tidak seharusnya dibuat secara terbuka.
Kenyataan itu dibuat setelah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat telah memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini yang terlibat kemalangan semasa berbasikal ekoran terlanggar lubang.
Bagaimanapun, Datuk Eddin menyifatkan pemohonan itu seharusnya dibuat secara terus kepada Khairy sendiri.
“Saya secara peribadi berpendapat permohonan maaf itu tidak perlu dibuat secara terbuka sebaliknya hanya ditujukan secara peribadi kepada Khairy sendiri, itu lebih baik,” jelasnya.
Pada masa sama, Eddin menempelak dakwaan pihaknya hanya membuat permohonan maaf terhadap individu berkepentingan sahaja.
“Dalam kes di Tebrau sebelum ini, kita ada memohon maaf juga. Saya sendiri turun melihat keadaan di situ. Soalnya bukan kepada menteri saja, kepada orang lain juga kita minta maaf,” jelasnya kepada Harian Metro.
Pada masa sama, dia mendedahkan JKR perlu masa bagi memperbaiki keadaan jalan di seluruh negara yang menelan belanja lebih RM1 bilion setahun.
28Dec2020/Selangor
[Update] porthole di Jalan Seri Cheeding lokasi dimana Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi…
Sementara itu, jalan berlubang yang menyebabkan Khairy kemalangan telah pun diperbaiki sehari selepas dia memuat naik gambar insiden di laman media sosial. – HM
Pengedar jenama KTM di Malaysia, Eurotech, telah pun melancarkan KTM 390 Adventure untuk pasaran tempatan.
KTM 390 Adventure merupakan antara motosikal yang paling dinantikan tatkala menawarkan ciri berspesifikasi tinggi namun dengan enjin 390cc.
Selepas diberi peluang merasai sendiri 390 Adventure ini di Genting Highlands, kami senaraikan 5 perkara yang anda perlu tahu mengenai motosikal ‘adventure touring’ dari jenama Austria ini (tapi dibina di Pune, India).
Reka Bentuk
Sekali pandang, KTM 390 Adventure sememangnya tampil dengan ciri yang mencerminkan sebuah motosikal ADV, terutamanya dengan penggunaan fork WP APEX 43mm (seperti yang terdapat pada 790 Adventure) yang menawarkan ‘suspension travel’ sekitar 173mm. Fork dari WP itu juga boleh diselaraskan (compression dan rebound) dengan mudah di bahagian kiri dan kanan fork.
Kerangka dan subframe jenis steel trellis turut menghadirkan kestabilan yang baik di samping mengurangkan berat keseluruhan motosikal yang berada pada 171 kilogram.
KTM turut memfokuskan bahagian tempat duduk yang manawarkan ciri motosikal enduro dengan bentuk yang kurus dan mudah untuk kedua-dua kaki mencengkam bahagian sisi.
Bahagian tempat letak kaki jenis bergigi (toothed foot peg) juga cukup lebar dan berfungsi dengan baik namun bentuk yang agak sedikit condong ke depan boleh menyebabkan penunggang seakan hendak tercampak ke depan ketika melanggar bongkah batu atau permukaan tak rata semasa ‘off-road’.
Foot peg tinggi itu juga menyukarkan kaki kiri dan kanan untuk mengepit tangki sewaktu berdiri namun jika anda hanya mahu menghabiskan hujung minggu ke Lemang To’ki tiada apa yang perlu dirisaukan.
Spesifikasi
KTM 390 Adventure bernadikan enjin 373cc DOHC yang menjana 44hp pada 9,000rpm dan 38Nm pada 7,000rpm dan dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan yang dibantu dengan PASC (power assist-slipper clutch).
Ini merupakan enjin sama yang terdapat pada 390 Duke namun telah ditala semula mengikut kesesuaian.
Unit ini menawarkan kuasa yang boleh dilayan sewaktu di jalan raya namun paling membantu sewaktu di ‘off-road’ dengan kawalan throttle (ride-by-wire) memudahkan penunggang menyelusuri permukaan tak rata dan lumpur.
Sistem membrek pula dikendalikan Anti-lock Braking System (ABS) dwi-saluran dengan kaliper jenis radial dari Bybre yang dipadan dengan cakera brek 320mm depan, 230mm belakang.
Menariknya, KTM 390 Adventure ini juga lengkap dengan traction control (MTC) yang boleh ditutup serta Cornering ABS dan Off-Road ABS dengan masing-masing membantu sewaktu tunggangan di jalan raya mahupun off-road.
Bukan itu sahaja, skrin TFT berwarna 5″ ini juga boleh dihubungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi MY RIDE yang menawarkan pelbagai lagi ciri pintar antaranya sistem navigasi.
Bagi pasaran Malaysia, KTM 390 Adventure juga akan didatangkan dengan tayar Metzeler Tourance (100/90-19 depan dan 130/80-17 belakang) sebagai standard dengan rim aloi namun pelanggan boleh mendapatkan rim spoke yang ditawarkan secara ‘optional’ dari KTM Powerparts.
Dimensi dan kapasiti
KTM 390 Adventure ini menawarkan panjang 2,154mm dengan lebar 900mm serta ketinggian sekitar 1400mm dan ground clearance pada 200mm.
Ketinggian tempat duduk pula berada pada 855mm dan ketinggian itu mungkin dirasai bagi mereka yang bawah 170cm terutamanya sewaktu mahu menaikkan tongkat dengan sebelah kaki sukar untuk mencapai permukaan.
KTM 390 Adventure ini dilengkapi tangki berkapasiti 14.5L dan sememangnya menawarkan penjimatan terbaik dengan KTM mendakwa motosikal ini mampu pergi sejauh 400km dengan tangki penuh.
Harga
Menurut KTM Malaysia, KTM 390 Adventure ini ditawarkan pada harga RM30,800 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan boleh didapati di pengedar KTM seluruh negara.
Pembelian jentera ini juga didatangkan dengan waranti 2 tahun serta perbatuan tanpa had serta dua pilihan warna, putih dan jingga.
Rumusan
KTM 390 Adventure ini sememangnya jentera yang mengagumkan meskipun bernadikan enjin 373cc namun perasaan menunggang seakan berkongsi aura sama seperti 790 Adventure.
Apatah lagi lengkap dengan pelbagai ciri terkini, model ini ternyata mampu memberi persaingan terhadap motosikal touring yang lebih besar antaranya Honda CB500X.
Harga RM30,800 juga satu angka yang menarik perhatian tatkala sangkaan awal meletakkan 390 Adventure di antara RM33,000 hingga RM38,000.
Kasma Daniel Kasyamudin dilaporkan tidak lagi beraksi di Moto2 musim depan.
Maklumat tersebut mula tular menerusi beberapa akaun laman sosial tempatan termasuk di Telegram yang mendakwa kontrak Kasma telah ditamatkan SAG Team.
Kasma turut bertindak memadam info ‘Moto2 Rider @sagracingteam di akaun Instagram peribadinya.
SAG Team sebelum ini telah mengumumkan Mandalika Racing Team (MRT) dari Indonesia sebagai rakan kerjasama baharu bagi saingan di Moto2 dan bakal beraksi di bawah nama Pertamina Mandalika SAG Racing Team.
SAG Team telah pun mendapatkan khidmat Thomas Luthi bagi 2021 manakala terdapat khabar angin kuat mengatakan MRT berkenan menggandingkan Luthi bersama seorang pelumba Indonesia.
Menerusi info terbaharu, difahamkan SAG Team bakal membuat pengumuman besar yang dijangka membabitkan pelumba baharu yang akan beraksi di Moto2 musim depan.
Sementara itu, Kasma turut dikaitkan untuk pulang beraksi di Kejuaraan Cub Prix musim depan.
Ketiadaan Kasma sekaligus menyaksikan Hafizh Syahrin menjadi wakil tunggal negara selepas pelumba itu bakal bersaing bersama NTS RW Racing bagi musim 2021.