Bikesrepublic

Berita Terkini

Kasma Daniel Kasyamudin dilaporkan tidak lagi beraksi di Moto2 musim depan.

Maklumat tersebut mula tular menerusi beberapa akaun laman sosial tempatan termasuk di Telegram yang mendakwa kontrak Kasma telah ditamatkan SAG Team.

Kasma turut bertindak memadam info ‘Moto2 Rider @sagracingteam di akaun Instagram peribadinya.

SAG Team sebelum ini telah mengumumkan Mandalika Racing Team (MRT) dari Indonesia sebagai rakan kerjasama baharu bagi saingan di Moto2 dan bakal beraksi di bawah nama Pertamina Mandalika SAG Racing Team.

SAG Team telah pun mendapatkan khidmat Thomas Luthi bagi 2021 manakala terdapat khabar angin kuat mengatakan MRT berkenan menggandingkan Luthi bersama seorang pelumba Indonesia.

Menerusi info terbaharu, difahamkan SAG Team bakal membuat pengumuman besar yang dijangka membabitkan pelumba baharu yang akan beraksi di Moto2 musim depan.

Sementara itu, Kasma turut dikaitkan untuk pulang beraksi di Kejuaraan Cub Prix musim depan.

Ketiadaan Kasma sekaligus menyaksikan Hafizh Syahrin menjadi wakil tunggal negara selepas pelumba itu bakal bersaing bersama NTS RW Racing bagi musim 2021.

Sejak Aprilia mendedahkan Tuono 660 sebagai jentera konsep di EICMA, rata-rata sudah tidak sabar untuk menyaksikan jentera itu dibawa ke peringkat pengeluaran.

Sambutan positif terhadap RS660 menjadikan Aprilia antara jenama yang paling mencuri tumpuan bagi segmen motosikal pertengahan yang kini menantikan kemunculan Tuono 660.

Menurut laporan media antarabangsa, Aprilia mendedahkan pembangunan Tuono 660 telah pun memasuki peringkat akhir dan imej ‘spyshot’ di Itali ini mengesahkan perkara itu.

Bagaimanapun, model 660 dari kilang Noale itu tidak akan terhenti dengan RS660 dan Tuono tatkala Aprilia turut bakal memperkenalkan jentera adventure, Tuareg 660.

Bukan itu sahaja, Aprilia turut dicanang bakal memperkenalkan jentera 400cc bagi setiap model di atas.

Senario ini sekaligus meletakkan Aprilia antara jenama Itali yang paling mencuri tumpuan bermula tahun depan.

Pawi Omar, ayah kepada bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, mendesak agar prinsipal Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali disingkir dari sukan permotoran negara.

Luahan itu dibuat diruangan komen media sosial Facebook dan mula tular di beberapa ‘page’ permotoran tempatan.

Menerusi luahan itu, Pawi meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyingkirkan Razlan bagi membela nasib pelumba tempatan.

Kontrak KIP tidak disambung Petronas Sprinta Racing selepas Razlan mendedahkan pelumba 22 tahun itu gagal mencapai sasaran yang telah ditetapkan pasukan meskipun menurunkan dia dari Moto2 ke Moto3.

KIP kemudiannya membuat pengumuman mengejut apabila mengumumkan persaraan selepas gagal menandatangani sebarang kontrak bersama pasukan lain.

Senario itu lantas menyaksikan tiada wakil pelumba tempatan di Petronas SRT dengan Hafizh Syahrin menjadi wakil tunggal di Moto2 manakala status Kasma Daniel Kasmayudin masih menjadi tanda tanya.

Sementara itu, peminat sukan permotoran turut berbeza pendapat dengan ada yang mengecam ketiadaan pelumba tempatan di Petronas SRT manakala ada yang menyifatkan pelumba tempatan belum cukup hebat untuk bersaing di MotoGP.

Dalam kenyataan terbaru, Hafizh turut mempertahankan KIP dengan membidas kenyataan Razlan yang mengkritik tindakan pelumba itu tidak sertai latihan motorcross sebaliknya bersama Hafizh membuat kayuhan basikal.

Timbul dakwaan Kawasaki Eliminator H2 memasuki peringkat pembangunan terakhir meskipun tiada info sahih bagi mengesahkan perkara itu.

Khabar angin mengenai jentera ‘power cruiser’ itu timbul beberapa bulan lalu menerusi majalah Young Machine yang berkongsi imej ‘render’ jentera terbabit dengan nama ‘supercharged Vulcan’.

Jarang sekali dakwaan Young Machine salah sekaligus memberi bayangan bahawa Kawasaki sememangnya giat membangunkan jentera tersebut.

Dakwaan terbaru mengatakan bahawa pembangunan motosikal tersebut telah pun memasuki peringkat akhir.

Meskipun rupa bentuk jentera tersebut belum didedahkan namun bukan satu kejutan jika kebanyakan komponen berkongsi ciri sama seperti yang terdapat pada Z H2 apatah lagi turut disuntik unit ‘supercharge’ yang sama.

Bagaimanapun, dijangka kuasa supercharge itu akan ditala semula bagi menyesuaikan pada sebuah motosikal cruiser berbanding 200hp yang ditawarkan Z H2 dan H2 namun pastinya Eliminator H2 ini bakal muncul sebagai cruiser paling berkuasa dalam segmennya.

Selepas kejayaan Kursus Teknik Keselamatan Marshal di Selangor beberapa bulan lalu, GIVI dengan kerjasama Motowazi berjaya melaksanakan satu lagi kursus keselamatan jalan raya di Melaka, baru-baru ini.

Kursus tunggangan marshall kali ini membabitkan 40 penunggang motosikal dari Negeri Sembilan dan Johor dengan kesemuanya menjalani saringan kesihatan bagi menjaminkan kesejahteraan semua peserta.

Selain daripada mempelajari teknik menunggang dengan selamat terutamanya dalam kumpulan besar, para peserta juga didedahkan dengan undang-undang keselamatan jalan raya oleh wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peserta kemudiannya menerima sijil termasuk helmet GIVI M10.2 VISTA sebagai penghargaan kepada semua peserta yang menjayakan program tersebut.

Pengurus Pemasaran GIVI Asia, Samir Sharman, turut meluahkan rasa berbesar hati terhadap kejayaan Kursus Teknik Keselamatan Tunggangan Marshall kali ini.

“Kami sangat berbesar hati kerana dapat meneruskan kempen begini bersama Motowazi.

“Pemilihan Melaka sebagai destinasi sulung di selatan tanah air adalah bagi membuka peluang kepada penunggang motosikal di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Johor,” jelasnya.

Susulan kejayaan motosikal retro, Monkey 125 dan Super Cub C125 di samping MSX125 Grom, Honda bakal menambah barisan motosikal cilik dengan menghidupkan semula ST125 Dax.

Meskipun hanya sekadar khabar angin sebelum ini, Honda hampir pasti akan mengembalikan motosikal ikonik itu apabila memfailkan ‘trademark’ nama Honda ST125.

Motosikal ini dijangka bernadikan enjin 125cc sama terdapat pada Monkey dan Super Cub dengan penyejukan udara (Euro 5) yang menawarkan 9.5hp pada 7,500rpm dan 10.4Nm pada 5,000rpm dan dipadankan dengan transmisi 4-kelajuan.

Honda ST125 diperkenalkan julung kalinya pada 1969 dan diberi jolokan Dax di Jepun serta ‘Trailsport’ di Amerika Syarikat.

Sebaik diperkenalkan, Dax bingkas mencuri tumpuan apatah lagi selari dengan fesyen sekitar era 70an.

Pengeluaran motosikal itu berterusan sehingga lewat 90an dan menawarkan rekaan hampir sama seperti Monkey terutamanya bahagian kerangka dan tayar serta enjin dari Honda Cub.

Baru-baru ini, Honda turut memperkenalkan CT125 Trail Cub dan Hunter Cub.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube