Bikesrepublic

Berita Terkini

Lagi kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk berlaku Sabtu lalu.

Kali ini, seorang jurutera maut manakala isteri dan anaknya mengalami kecederaan namun selamat dalam insiden kemalangan yang membabitkan pemandu mabuk di Persiaran Tun Teja, dekat Alam Impian.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, mangsa bersama isteri dan anak-anak sedang memandu kereta jenis Perodua Aruz sebelum bertembung dengan Proton Perdana yang hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar mangsa.

Mangsa, Ahmad Safwan disahkan maut di lokasi kejadian manakala isteri Nur Syahirah Ismail mengalami kecederaan di kaki sementara dua anaknya berusia 5 dan 3 tahun terselamat.

Proton Perdana milik pemandu disyaki berada dalam keadaan mabuk.

Pemandu Proton Perdana tersebut turut terselamat dengan sampel ujian darah telah diambil bagi menentukan sama ada dia berada dalam pengaruh dadah atau alkohol.

Menurut isteri mangsa, mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas arwah selesai memotong rambut di Seksyen 19.

Jenazah arwah telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 semalam.

Sementara itu, rakaman video kemalangan turut tular di laman sosial dengan ada yang turut berkongsi video yang memaparkan pemandu Proton Perdana terbabit berada dalam keadaan tidak keruan susuland disyaki berada dalam pengaruh alkohol atau dadah.

Ogos lalu, Dewan Rakyat telah pun meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk mengenakan hukuman lebih serius atas kesalahan pemandu mabuk.

RUU tersebut menyaksikan pesalah yang memandu dalam pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian boleh dikenakan penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda di antara RM50,000 hingga RM100,000. – HM

Harley-Davidson telah membuat keputusan untuk menutup perniagaan di India yang merupakan pasaran motosikal terbesar dunia.

Pengesahan itu dibuat menerusi pemfailan oleh U.S Securities and Exchange Comission bagi penutupan kilang di Bawal.

Tindakan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif rombakan Rewire oleh Harley-Davidson dalam usaha mengembalikan kegemilangan jenama pengeluar motosikal Amerika Syarikat itu.

Awal tahun ini, Harley-Davidson melaporkan telah menjual lebih 25,000 unit selama 10 tahun di India namun penjualan global jatuh mendadak.

Antara punca kejatuhan Harley-Davidson di India adalah kegagalan memahami konsep ‘mampu milik’ di negara itu dengan jentera bersesaran 125cc merupakan paling popular di negara itu.

Meskipun telah beroperasi lebih 10 tahun, jelas Harley-Davidson bergelut untuk memahami pasaran di India yang ketika ini didominasi jenama seperti Royal Enfield, KTM dan Bajaj yang menawarkan harga yang jauh lebih mampu milik.

Menurut laporan godigit berikut 10 motosikal paling popular di India dan kesemuanya menawarkan sesaran enjin di bawah 400cc.

  1. Royal Enfield Classic 350
  2. Royal Enfield Bullet 350
  3. Yamaha YZF R15 V3
  4. Yamaha MT-15
  5. Hero Splendor Plus
  6. Bajaj Pulsar 150
  7. KTM 200 Duke
  8. Bajaj Pulsar NS200
  9. KTM RC 125
  10. TVS Apache RTR 160

Namun begitu, jelas langkah baharu Harley-Davidson dengan kerjasama bersama QJMotor di China mampu membuka lembaran baharu menerusi Harley-Davidson 338R (338cc) yang dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran Asia (dijangka) tahun depan sekaligus memperbaiki imej ‘putus asa’ Harley-Davidson di India.

Fabio Quartararo kembali mendahului kejuaraan dunia MotoGP selepas mendominasi GP Catalunya, hari ini.

Pelumba Petronas Yamaha SRT itu mempamerkan tunggangan konsisten untuk mengutip 25 mata sekaligus kembali meletakkan kedudukannya selaku pendahulu.

Sementara itu, seorang lagi pesaing kejuaraan, Joan Mir (Suzuki Ecstar) mengulangi kejayaan di Misano minggu lalu apabila mendapat tempat kedua.

Walaupun bermula di petak ke-8, senario itu tidak menyekat Mir untuk mengejar kelompok depan dan seterusnya merekodkan podium ketiga (empat keseluruhan) berturut-turut.

Rakan sepasukan Suzuki, Alex Rins melengkapkan podium dengan tempat ketiga selepas berjaya memintas Franco Morbidelli (Petronas SRT) yang terpaksa berpuas hati dikedudukan keempat meskipun suatu ketika mendahului perlumbaan.

Ini merupakan kejayaan sulung Suzuki untuk merekodkan ‘double-podium’ sejak tahun 2007 di Misano.

Kejayaan Quartararo meletakkan dia kini dengan 108 mata, diikuti Mir, 100 mata dan Maverick Vinales, 90 mata.

Dalam perkembangan sama, juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dalam penampilan ke-350 dalam karier di MotoGP, gagal menamatkan perlumbaan apabila terbabas dipertengahan perlumbaan.

Pelumba berusia 41 tahun itu menjadi fokus tatkala disahkan menjadi pelumba Petronas SRT bagi musim 2021.

Aksi MotoGP akan kembali bersambung pada 11 Oktober ini di GP Perancis.

Selepas pelumba tonggak, Remy Gardner disahkan akan berhijrah ke Red Bull KTM Ajo musim depan, ONEXOX TKRR SAG TEAM akhirnya mengumumkan pengganti baharu.

SAG Racing Team mengumumkan Thomas Luthi sebagai pelumba baharu pasukan itu bagi musim 2021.

Luthi yang merupakan antara pelumba berpengalaman di kelas Moto2 merupakan bekas juara dunia 125cc dan menamatkan saingan musim 2019 di tempat ketiga selepas merekodkan lapan podium dan satu kemenangan di GP Amerika.

Dia turut berpengalaman di kelas premier apabila beraksi bersama Marc VDS menggunakan jentera Honda RC213V pada 2018 sebelum kembali ke Moto2 pada tahun berikutnya.

Menurut SAG Racing Team, sasaran utama bagi Luthi adalah merebut kejuaraan Moto2 musim depan.

Dalam perkembangan lain, Petronas Sepang Racing Team (SRT) mengesahkan Valentino Rossi sebagai pelumba baharu musim depan menggantikan Fabio Quartararo yang beralih ke Monster Energy Yamaha.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa Malaysia akan menempuh musim monsun yang telah pun bermula 24 September lalu.

MetMalaysia dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa monsun tersebut akan membawa hujan lebat dan angin kuat.

Pada masa sama, monsun ini juga akan menyebabkan berlakunya banjir kilat dan merosakkan struktur yang rapuh lantas boleh membahayakan orang ramai.

“Sewaktu peralihan monsun ini, cuaca hujan akan berlaku di sebelah petang dan awal malam di kebanyakan negeri di pantai barat Semenanjung termasuk di pantai barat Sabah dan tengah Sarawak,” jelas MetMalaysia.

Sementara itu, orang ramai diminta berhati-hati terutamanya pengguna jalan raya yang digesa untuk memandu dan menunggang secara berhati-hati.

Pemandu kereta dan penunggang motosikal juga diminta sentiasa memeriksa cuaca harian – menerusi aplikasi myCuaca – bagi memudahkan perjalanan. – Bernama

Baru-baru ini, telah berlakunya kes langgar lari yang melibatkan pemandu Mercedes-Benz dengan seorang ‘rider’ Grab Food.

Video rakaman ‘dashcam’ insiden tersebut turut tular di media sosial menerusi laman Facebook, Info Roadblock JPJ/Polis.

https://www.facebook.com/223545897823128/videos/344711516727894

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, memaklumkan pihak polis telah pun menerima laporan daripada mangsa.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan manakala motosikalnnya mengalami kerosakkan teruk dalam kejadian yang berlaku di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Sungai Buloh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube