SAG Racing Team sah bakal meneruskan aksi di Moto2 musim depan hasil kerjasama dengan pasukan Indonesia, Mandalika Racing Team (MRT).
Perkara itu disahkan sendiri kedua-dua pasukan menerusi satu kenyataan rasmi.
SAG Racing Team sebelum ini beraksi selama dua musim di pentas Moto2 bersama rakan kongsi dan penaja utama Onexox TKKR.
Gandingan Onexox TKKR dan SAG Racing Team menyaksikan lima podium, satu kemenangan dan empat petak pertama berjaya dilakar oleh gandingan Remy Gardner dan pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin.
Penyatuan baharu di antara MRT dan SAG Racing Team menyaksikan pasukan itu akan bertanding di bawah nama Pertamina Mandalika SAG Racing Team.
Struktur baharu ini akan bergantung sepenuhnya terhadap pengalaman pelumba baharu, Thomas Luthi diikuti seorang lagi pelumba baharu yang akan diumumkan kemudian menggantikan Kasma meskipun pelumba itu masih lagi berbaki kontrak dua tahun.
“Ketika ini, Kasma Daniel mempunyai kontrak bersama SAG Team namun keputusan akan dibuat dalam masa terdekat selepas mengambil kira kepentingan penaja utama,” jelas SAG Team.
Sebelum ini, Kasma dicanang akan digantikan dengan pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama.
Sementara itu, principal pasukan SAG Team, Edu Perales turut mengucapkan terima kasih kepada Onexox TKKR.
“Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Onexox TKKR terutamanya (Datuk) Bobie atas sokongan mereka selama dua musim sebelum ini,” jelasnya.