Bikesrepublic

Berita Terkini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mensasarkan kutipan lebih RM2 juta bagi nombor pendaftaran DDX yang akan dibuka esok (10 Disember) hingga 14 Disember ini.

Bidaan tersebut boleh dilakukan menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang akan bermula jam 12 tengah malam dengan keputusan bidaan akan diumumkan 15 Disember ini.

Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, nilai minimum ditetapkan seperti berikut:

  • nombor biasa – RM300
  • nombor popular – RM800
  • nombor menarik – RM3,000
  • nombor utama – RM20,000

Bidaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun dengan setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor pendaftaran manakala syarikat berdaftar dibenarkan hingga lima sahaja.

Menurutnya lagi, nombor pendaftaran DDP hingga DDW telah pun mengutip lebih RM11.8 juta.

Husqvarna hampir pasti bakal memperkenalkan motosikal ‘adventure touring’ 901 Norden berdasarkan imej ‘spyshot’ yang memaparkan jentera tersebut menjalani ujian jalan raya.

Ketika pengeluar lain terkejar-kejar memperkenalkan model baharu sempena 2021, Husqvarna memilih pendekatan lebih waspada sebaliknya memfokuskan terhadap pembangunan 901 Norden.

Model ini bakal menjadi jentera Husqvarna paling besar dan berkuasa dalam usaha memberi saingan terhadap segmen motosikal ADV buat julung kalinya.

Untuk pengetahuan, Husqvarna merupakan anak syarikat milik KTM maka tidak hairanlah 901 Norden ini dibina berdasarkan KTM 890 Adventure dan menyerupai model konsep yang didedahkan di EICMA 2019.

Gambar yang mula tersebar oleh Motorrad.de ini memaparkan 901 Norden dalam bentuk ‘production-ready’dan julung kalinya didedahkan.

Ketika ini masih belum tiada tarikh rasmi pelancaran model ini namun menurut Husqvarna model ini akan diperkenalkan pada awal 2021. – Motorradonline.de

Pelaksanaan Euro 5 menyaksikan Yamaha memperkenalkan MT-07 dan MT-09 serba baharu bagi 2021.

Namun, pengeluar motosikal Jepun itu masih kunci mulut mengenai model yang berkongsi platform YZF-R1, MT-10.

Yamaha MT-10 masih belum menjalani perubahan rekaan sejak 2016 dengan hanya beberapa kemas kini dilaksanakan selepas itu.

Bagaimanapun, menyaksikan reka bentuk MT-07 dan MT-09 dirombak secara keseluruhan maka bukan satu kejutan jika MT-10 bakal diolah bagi 2021.

Moto.it berkongsi imej ‘render’ yang membayangkan rekaan baharu bagi MT-10 2021 yang jelas memaparkan penggunaan lampu ala ‘Gundam’ serta bentuk tangki seperti yang ditawarkan MT-09.

Meskipun sekadar imej render namun Yamaha tidak perlu melaksanakan rombakan besar terhadap bahagian enjin tatkala YZF-R1 2020 telah pun mematuhi piawaian Euro 5 sekaligus hanya perlu ‘memindahkan’ platform tersebut ke MT-10 untuk tahun depan.

Baru-baru ini, Ducati telah pun memperkenalkan Monster serba baharu bagi tahun 2021 menerusi episod akhir Web Series Ducati World Premier 2021.

Bagaimanapun, Monster baharu itu mendapat pelbagai reaksi dengan rata-rata mendakwa motosikal itu bukanlah Monster yang sebenar tanpa kerangka steel trellis.

Meskipun Ducati membuat keputusan untuk menyingkirkan penggunaan kerangka trellis itu namun tidak dinafikan model baharu ini tampak lebih kompak dan agresif berbanding Monster 821.

Bukan itu sahaja, model baharu ini juga 18 kilogram lebih ringan berbanding Monster 821.

Namun, Kardesign telah mengambil rekaan 2021 dan menggabungkan dengan elemen Monster sebelum ini antaranya kerangka trellis, tangki dan swingarm jenis single-sided.

Walaupun rekaan konsep bukanlah satu rombakan besar namun jelas penggunaan kerangka trellis itu sememangnya mencerminkan DNA sebuah Ducati Monster.

Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mahu bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi @ KIP terus diberi peluang dalam sukan permotoran.

KIP dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Astro Arena, meluahkan hasrat bersara dari sukan permotoran dan perkara itu ternyata mengejutkan ramai pihak termasuk MAM.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli, mendedahkan akan duduk semeja dengan KIP bagi membincangkan masa depannya.

“MAM akan mengadakan perjumpaan dengan Khairul Idham 15 Disember ini bagi mengetahui masalah sebenar. Dia seorang pelumba berbakat dan masih ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya,” jelasnya.

KIP mencuri tumpuan apabila berjaya memenangi dua pusingan (GP Argentina dan GP Jerman) dalam satu musim pada 2016 di usia 18 tahun.

Bagaimanapun, dalam musim 2020, dia gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan bersama Petrona Sprinta Racing yang lantas membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya musim depan.

Bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi @ KIP, membuat keputusan untuk melepaskan segalanya dalam arena permotoran selepas lima tahun berbakti dalam sukan itu.

Keputusan mengejutkan itu hadir beberapa bulan selepas kontrak pelumba yang baru berusia 22 tahun itu tidak disambung Petronas Sprinta Racing di Moto3.

Pendedahan itu dibuat KIP ketika sesi temu bual bersama Nadi Arena.

“Apabila saya melihat beberapa perkara yang saya rasa tidak akan boleh meningkat, saya berfikir untuk bersara.

“Kerana apa yang memainkan peranan sebenarnya adalah orang di sekeliling kita.

“Sebagai satu keluarga, kalau keputusan kita (tidak bagus) cubalah untuk membantu tetapi untuk mencari orang seperti itu memang susah,” jelasnya.

Kenyataan itu seakan ditujukan kepada bekas pasukannya di Moto3 yang membuat keputusan itu tidak menyambung kontraknya bagi musim depan.

Tempat KIP akan diisi Daryn Binder yang akan bergandingan bersama John McPhee bagi musim 2021.

Khairul Idham Pawi, Moto3 race, French MotoGP, 11 October 2020

Menurut KIP lagi, fokusnya ketika ini hanya mahu kembali berasa gembira dengan kehidupan disisi ahli keluarga.

“Sekarang saya mahu melupakan perlumbaan dan melakukan perkara yang boleh membuatkan saya gembira.

“Saya cuba untuk membantu ayah dan keluarga saya. Saya mahu membantu mereka.

“Sudah pasti saya terkenang (kejayaan menjuarai dua pusingan) kerana ia adalah impian saya.

“Setiap kali berlumba, saya mahu menang. Setiap perlumbaan, saya mahu berada di depan.

“Saya rasa semua pelumba mahu menang dan itulah sasaran saya.

“Cuma saya ada sedikit kecewalah tetapi macam mana pun, ia sudah lepas, jadi saya cuma tidak mahu pelumba Malaysia yang baru hendak meningkat menjadi seperti saya.

“Tetapi saya berbangga kerana saya merupakan rakyat Malaysia pertama menjadi juara dalam dua perlumbaan, di Argentina dan Jerman,” tambahnya lagi.

KIP melakar sejarah apabila berjaya memenangi dua pusingan (Argentina dan Jerman) di Moto3 pada 2016 di usia 18 tahun.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube