Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) mahu bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi @ KIP terus diberi peluang dalam sukan permotoran.
KIP dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Astro Arena, meluahkan hasrat bersara dari sukan permotoran dan perkara itu ternyata mengejutkan ramai pihak termasuk MAM.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli, mendedahkan akan duduk semeja dengan KIP bagi membincangkan masa depannya.
“MAM akan mengadakan perjumpaan dengan Khairul Idham 15 Disember ini bagi mengetahui masalah sebenar. Dia seorang pelumba berbakat dan masih ada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya,” jelasnya.
KIP mencuri tumpuan apabila berjaya memenangi dua pusingan (GP Argentina dan GP Jerman) dalam satu musim pada 2016 di usia 18 tahun.
Bagaimanapun, dalam musim 2020, dia gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan bersama Petrona Sprinta Racing yang lantas membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya musim depan.
Bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi @ KIP, membuat keputusan untuk melepaskan segalanya dalam arena permotoran selepas lima tahun berbakti dalam sukan itu.
Keputusan mengejutkan itu hadir beberapa bulan selepas kontrak pelumba yang baru berusia 22 tahun itu tidak disambung Petronas Sprinta Racing di Moto3.
Pendedahan itu dibuat KIP ketika sesi temu bual bersama Nadi Arena.
“Apabila saya melihat beberapa perkara yang saya rasa tidak akan boleh meningkat, saya berfikir untuk bersara.
“Kerana apa yang memainkan peranan sebenarnya adalah orang di sekeliling kita.
“Sebagai satu keluarga, kalau keputusan kita (tidak bagus) cubalah untuk membantu tetapi untuk mencari orang seperti itu memang susah,” jelasnya.
Kenyataan itu seakan ditujukan kepada bekas pasukannya di Moto3 yang membuat keputusan itu tidak menyambung kontraknya bagi musim depan.
Tempat KIP akan diisi Daryn Binder yang akan bergandingan bersama John McPhee bagi musim 2021.
Menurut KIP lagi, fokusnya ketika ini hanya mahu kembali berasa gembira dengan kehidupan disisi ahli keluarga.
“Sekarang saya mahu melupakan perlumbaan dan melakukan perkara yang boleh membuatkan saya gembira.
“Saya cuba untuk membantu ayah dan keluarga saya. Saya mahu membantu mereka.
“Sudah pasti saya terkenang (kejayaan menjuarai dua pusingan) kerana ia adalah impian saya.
“Setiap kali berlumba, saya mahu menang. Setiap perlumbaan, saya mahu berada di depan.
“Saya rasa semua pelumba mahu menang dan itulah sasaran saya.
“Cuma saya ada sedikit kecewalah tetapi macam mana pun, ia sudah lepas, jadi saya cuma tidak mahu pelumba Malaysia yang baru hendak meningkat menjadi seperti saya.
“Tetapi saya berbangga kerana saya merupakan rakyat Malaysia pertama menjadi juara dalam dua perlumbaan, di Argentina dan Jerman,” tambahnya lagi.
KIP melakar sejarah apabila berjaya memenangi dua pusingan (Argentina dan Jerman) di Moto3 pada 2016 di usia 18 tahun.
Tidak dinafikan, Malaysia sememangnya dilanda trend berbasikal.
Pastinya bila sesuatu aktiviti itu menjadi trend pasti ada segelintir kumpulan yang akan mencuri tumpuan dengan aksi yang kurang disenangi orang ramai.
Kali ini, sekumpulan geng basikal telah mencetuskan rasa kurang senang apabila bertindak memanjat bulatan di Elmina untuk bergambar bersama basikal masing-masing.
Ini la sebab aku malaih nak kayuh da. Mangkuk2 ceni la merosakkan image cyclist. https://t.co/nRzSrjleeJ
Seorang pengguna Twitter meluahkan rasa marah terhadap tindakan kumpulan itu manakala seorang lagi berpendapat tindakan seperti ini hanya memburukkan lagi imej mereka yang berbasikal.
Bulan lalu, seorang penunggang basikal bertindak memanjat pokok (walaupun terdapat papan tanda melarang tindakan itu) di Taman Tasik Taiping semata-mata untuk bergambar dengan basikal.
Tindakan individu itu turut mendapat kecaman netizen terutamanya penduduk di Taiping.
Sebelum ini, beberapa pendedahan mengenai motosikal ‘adventure touring’ CFMoto MT800 telah pun didedahkan menerusi gambaran awal dan paten yang telah difailkan.
Kali ini, media UK, Bennetts, berjaya mendapatkan gambar ‘spyshot’ yang memaparkan rupa sebenar MT800 ini dengan grafik dan warna termasuk penggunaan rim jenis spoke.
Bukan itu sahaja, motosikal ini kini digelar sebagai CFMoto 800MT berbanding MT800 sebelum ini mungkin bagi membezakan dengan model MT keluaran Yamaha.
Seperti dilaporkan sebelum ini, 800MT merupakan produk keluaran CFMoto hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal Austria, KTM.
Selain daripada mengguna pakai enjin parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure, 800MT juga didatangkan dengan chasis yang sama kecuali bahagian swingarm.
Meskipun info terperinci belum didedahkan namun apa yang pasti 800MT ini seberat 231 kilogram, 16kg lebih berat berbanding KTM 890 Adventure (model terkini). – Bennetts
Kawasaki Motors Corporation di Amerika Syarikat telah panggil semula beberapa model Ninja ZX-14R 2021.
Panggilan semula itu membabitkan 84 unit motosikal ZX-14R 2021 susulan ‘brake master cylinder’ ketiadaan beberapa komponen dalaman yang boleh menganggu saliran cecair hidraulik sekaligus boleh menyebabkan brek depan tidak berfungsi dengan baik.
Kawasaki dalam satu kenyataan menjelaskan telah menerima laporan dalaman daripadap pembekal dan mengesahkan terdapat komponen yang hilang dan mungkin berpunca daripada kesilapan oleh seorang pekerja sewaktu pemasangan.
Sementara itu, Kawasaki AS menasihatkan pemilik untuk tidak menunggang jentera terkesan sehingga bahagian ‘brake master cylinder’ itu digantikan.
Honda telah melancarkan CBR150R 2020 di Thailand yang kini tampil dengan empat pilihan warna baharu.
Diinspirasikan daripada ‘abang besar’, CBR650R dan CBR1000RR-R, model 2020 ini masih lagi mengekalkan enjin 149cc, satu silinder dengan penyejukan cecair yang menjana 17.1hp dan 14.4Nm seperti model sebelumnya.
Bagaimanapun, kemas kini terbaru menyaksikan CBR150R datang dengan pilihan warna baharu seperti berikut:
hitam matte, grafik merah
merah dengan grafik hitam (rim merah)
hitam matte, grafik jingga (rim jingga)
Kemudian, model ini turut tampil dengan pilihan warna unik yang menggabungkan warna kelabu/hitam dan merah dengan rim depan merah dan belakang hitam.
Meskipun terdapat persaingan sengit di antara CBR150R dan Yamaha R15 di Thailand namun model Honda itu tidak dipasarkan di Malaysia ketika ini sekaligus menyaksikan R15 lebih popular disini.