Kawasaki telah pun melancarkan Ninja 250 2021 di Jepun.
Menariknya, model 2021 menyaksikan Ninja 250 ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu, Metallic Carbon dan edisi Kawasaki Racing Team (KRT).
Pada masa sama, Kawasaki turut menawarkan pelbagai aksesori tambahan antaranya rear seat cowl, penghadang angin, DC power socket dan pelindung radiator.
Bagaimanapun, kemas kini yang dilaksanakan hanyalah membabitkan pilihan warna baharu dan grafik lantas model 2021 ini masih lagi menawarkan lampu LED, paparan separa digital, fork depan teleskopik, monoshock, cakera brek 310mm depan dan 220mm belakang manakala sistem brek dikendalikan ABS (anti-lock braking system).
Model 2021 ini juga masih lagi bernadikan enjin parallel-twin 248cc dengan penyejukan cecair yang menjana 36.2hp pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000rpm yang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan ‘assist/slipper clutch’.
Kerajaan Isle of Man mengumumkan bahawa TT edisi 2021 terpaksa dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.
Keputusan itu merupakan dilihat sebagai impak besar buat komuniti Isle of Man TT yang sebelum ini telah pun dimaklumkan mengenai pembatalan edisi 2020.
Bagaimanapun, keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira keselamatan penduduk Isle of Man selain daripada pasukan, marshal dan pengunjung yang hadir ke pulau terbabit.
Menteri di Jabatan Perusahaan, Isle of Man, Laurence Skelly akui pengumuman ini pastinya mengecewakan ramai pihak.
“Kami terpaksa mengambil keputusan ini supaya segalanya lebih jelas kepada peminat perlumbaan ini dan semua pihak yang terlibat.
“TT bergantung pada ribuan sukarelawan dan pegawai dari setiap pelusuk organisasi di samping puluhan ribu pengunjung yang akan tiba bagi menyaksikan kejohanan itu pada Jun.
“Kami telah mengambil kira pelbagai cadangan antaranya menunda TT ke tarikh baharu tetapi terdapat pelbagai risiko lain terutamanya kepada penduduk disini.
“Bagaimanapun, kami masih mengharapkan Classic TT dan Manx GP masih boleh berjalan,” jelasnya.
Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) kini mula menerima tempahan bagi Hyundai Elantra generasi ke-7 untuk pasaran tempatan.
Elantra serba baharu ini akan mewarnai pasaran segmen-C di Malaysia selepas pengeluar kereta Korea Selatan itu memperkenalkan Sonata, tahun ini.
Bagi tahun 2020, Elantra tampil dengan elemen rekaan terkini yang digelar sebagai ‘Futuristic Parametric Dynamics’.
Selain daripada aspek rekaan, Hyundai turut memfokuskan pembaharuan enjin yang kini tampi dengan enjin Smartstream G1.6 MPi yang menawarkan 123hp pada 6,300rpm dan 154Nm 4,500rpm.
Menariknya, Elantra baharu ini juga muncul sebagai model Hyundai sulung yang dilengkapi transmisi IVT (Intelligent Variable Transmission) yang dijamin bakal menawarkan prestasi dan penjimatan minyak efisien.
Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung menyifatkan Elantra baharu ini akan merancakkan lagi pasaran empat roda di Malaysia.
“Bukan sahaja menayangkan imej sporty dan sofistikated, model ini juga dijamin menawarkan pengalaman pemanduan yang memuaskan. Pemanduan lebih dinamik dengan IVT yang meningkatkan penjimatan, prestasi dan tahap responsif,” jelasnya.
Ruang dalam juga dipertingkat dengan penggunaan skrin TFT Supervison 10.25inci dan paparan 8 inci jenis terapung (floating display).
Menurut Hyundai, Elantra baharu ini juga menawarkan pengalaman ruang dalam paling progresif dalam kelasnya.
Hyundai Elantra akan dijual pada harga (jangkaan) RM1XX,888 dan dibuka untuk tempahan dengan bayaran RM777.
Orang ramai yang berminat boleh layari www.hyundai.com.my atau singgah di pengedar rasmi terdekat untuk membuat tempahan.
Pelumba Cub Prix mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membenarkan kejuaraan itu kembali bersambung.
Rayuan itu disuarakan oleh pelumba dan bekas juara 2009, Affendi Rosli, susulan sebahagian besar pelumba kini berdepan masalah kewangan.
Senario runcing ini turut memaksa beberapa pelumba terpaksa membuat kerja sampingan sebagai penghantar makanan dan pencuci kereta.
“Kami pelumba Cub Prix perlu berlumba kerana inilah kerja kami. Bila perlumbaan ditunda kebanyakan penaja tidak memberikan tajaan kerana mereka juga bergantung kepada perlumbaan.
“Kami tidak boleh bekerja dari rumah. Kalau mekanik yang buat segala pelarasan jentera motosikal di rumah pun ia tetap perlu diuji di atas litar.
“Macam mana kami nak dapat gaji kalau kerajaan tidak membenarkan kami berlumba. Tidak berlumba maka kami tak dapatlah gaji,” katanya kepada HMetro.
Kejuaraan Cub Prix pusingan lima yang sepatutnya berlangsung di litar utara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 dan 11 Oktober lalu telah ditunda ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pusingan keenam yang dijadualkan pada 31 Oktober dan 1 November serta 21 dan 22 November di litar sama turut ditunda manakala status pusingan akhir yang sepatutnya berlangsung di Tangkak pada 12 dan 13 Disember ini masih menimbulkan tanda tanya. – HM
Penaja Utama SAG Team, Onexox TKKR, membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Moto2 musim depan.
Pengumuman itu dibuat pengelola Onexox TKKR sendiri, Datuk Bobie Farid Shamsudin menerusi strim langsung di Facebook Onexox TKKR SAG Team, hari ini.
Menerusi video tersebut, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira pelbagai aspek terutamanya perbuatan pasukan Indonesia, Mandalika Racing Team (MRT) yang mendakwa mereka telah memeterai kerjasama dengan SAG Team sebelum ini.
Bagaimanapun, Datuk Bobie menjelaskan pengunduran pihak Onexox tiada kaitan dengan isu ‘bankrap’ seperti didakwa MRT sebelum ini sebaliknya enggan terpalit dengan kontroversi ini.
“Kami tiada masalah apa-apa dan SAG Team juga tidak membuat salah apa-apa cumanya dalam keadaan tersepit begini masing-masing akan mencari jalan terbaik untuk ke hadapan.
“Saya mengambil keputusan ini atas nasihat beberapa individu rapat supaya kita dapat kembali ke meja perancangan dan buat strategi baharu untuk kembali satu hari nanti.
“Saya harap benda ini jelas,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Bobie turut menjelaskan tentang status pelumba tempatan, Kasma Daniel Kasyamudin yang masih berbaki kontrak dua tahun bersama pasukan itu setelah menandatangani kontrak tiga tahun sebelum ini.
“Kasma telah menandatangani kontrak dengan SAG Team jadi keputusan itu terletak di tangan mereka.
“Tapi jika kita lihat pengumuman rasmi dari pasukan MRT, pasukan itu akan dikemudi oleh Thomas Luthi dan Kasma Daniel.
“Walaupun tiada pengesahan dari pihak SAG Team sendiri tetapi perbincangan ada berlaku di antara MRT dan SAG Team jadi kami enggan berada di tengah-tengah dalam perkara ini,” tambahnya.
Kasma juga telah dimaklumkan dengan perkara ini dan pelumba itu juga jelas dengan apa yang berlaku.
Sebelum ini, timbul laporan bahawa Kasma bakal digantikan dengan pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama.
Pada masa sama, Datuk Bobie menafikan dakwaan bahawa pihaknya berdepan masalah kewangan seperti yang diwarwarkan.
“Kami perlu realistik dalam menangani perkara ini, kerana isu ini menjatuhkan reputasi kami sehingga mendakwa kami bankrap dan sebagainya.
“Untuk pengetahuan, tahun ini jumlah yang dipersetujui untuk SAG Team adalah EUR1.2 juta (RM5.8 juta) tetapi bila Covid-19 melanda dengan perlumbaan tidak seperti dijadualkan jadi pihak kami membuat pengurangan daripada jumlah yang dipersetujui,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Onexox TKKR akan terus beraksi di pentas Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
Sebuah pasukan berpangkalan di Indonesia Pertamina Mandalika Racing Team mendakwa mereka bakal bersaing di pentas Moto2 musim depan hasil kerjasama dengan SAG Racing Team.
Pengumuman itu dibuat menerusi laman sosial Mandalika Racing Team (MRT).
“Kami dengan gembiranya mengumumkan akan beraksi di Moto2 musim depan,” merupakan kapsyen yang dikongsi di laman sosial media pasukan itu.
Persoalannya, umum mengetahui SAG Team merupakan pasukan yang bersaing di Moto2 bersama penaja utama ONEXOX sekaligus pengumuman oleh pasukan Indonesia itu mencetuskan pelbagai tanda tanya.
Perkara itu turut sampai ke pengetahuan Onexox selaku penaja utama Onexox TKKR SAG Team.
Sementara itu, pada masa sama, koresponden MotoGP, Simon Patterson, turut berasa bingung dengan pengumuman pasukan Indonesia itu.
“Ramai yang bertanya tentang pasukan Indonesia yang membuat dakwaan besar mengenai perancangan mereka untuk 2021.
“Setahu saya mereka tiada dalam senarai kemasukan dan saya juga tidak pernah dengar sebarang info mengenai mereka dari mana-mana pihak.
“Mereka mendakwa telah bekerjasama dengan SAG Team untuk beraksi di Moto2 sedangkan SAG telah mempunyai dua pelumba dengan penaja utama dari Malaysia,” dedah Simon dalam perkongsian di Twitter.
Hos terkenal MotoGP di Indonesa, Lucy Wiryono turut meluahkan pendapatnya mengenai pengumuman MRT.
Baginya, pasukan itu seharusnya tidak melulu dalam membuat pengumuman seperti ini meskipun tiada sebarang pengesahan lagi.
Bukan iu sahaja, terdapat juga laporan bahawa kononnya MRT akan menggantikan Kasma Daniel Kasmayudin dengan pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama.