Perodua terus kukuh untuk mencapai sasaran menjelang hujung tahun apabila merekodkan penjualan 23,119 unit pada November.
Menariknya, hari terakhir (30 haribulan) bulan November menyaksikan Perodua mendaftar lebih 5,027 unit, rekod tertinggi yang pernah dicatatkan dalam satu hari.
Perodua Axia muncul model paling popular dengan 6,318 unit diikuti Myvi (6,295), Bezza (6,224), Aruz (2,617) dan Alza (1,665).
Angka penjualan tersebut turut menyaksikan Perodua merekodkan 195,000 unit setakat ini dan berada dalam landasan tepat untuk mencapai 210,000 unit menjelang hujung tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan Perodua untuk memastikan setiap pelanggan menerima kenderaan masing-masing sebelum hujung tahun.
“Dua keutamaan Perodua pada masa ini adalah untuk memastikan seramai mungkin pelanggan kami dapat menerima kenderaan mereka sebelum akhir tahun untuk menikmati harga tanpa cukai jualan; serta untuk terus menyokong ekosistem automotif Malaysia dengan skala ekonomi kami pada masa yang sukar ini.
“Lebih 90% daripada komponen kami diperoleh secara tempatan, dan ditambah dengan jumlah jualan kami, ini menjana perniagaan yang signifikan bagi para pembekal tempatan dan membantu mereka mengekalkan pekerjaan,” jelasnya.