Pelumba Cub Prix mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membenarkan kejuaraan itu kembali bersambung.
Rayuan itu disuarakan oleh pelumba dan bekas juara 2009, Affendi Rosli, susulan sebahagian besar pelumba kini berdepan masalah kewangan.
Senario runcing ini turut memaksa beberapa pelumba terpaksa membuat kerja sampingan sebagai penghantar makanan dan pencuci kereta.
“Kami pelumba Cub Prix perlu berlumba kerana inilah kerja kami. Bila perlumbaan ditunda kebanyakan penaja tidak memberikan tajaan kerana mereka juga bergantung kepada perlumbaan.
“Kami tidak boleh bekerja dari rumah. Kalau mekanik yang buat segala pelarasan jentera motosikal di rumah pun ia tetap perlu diuji di atas litar.
“Macam mana kami nak dapat gaji kalau kerajaan tidak membenarkan kami berlumba. Tidak berlumba maka kami tak dapatlah gaji,” katanya kepada HMetro.
Kejuaraan Cub Prix pusingan lima yang sepatutnya berlangsung di litar utara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 dan 11 Oktober lalu telah ditunda ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pusingan keenam yang dijadualkan pada 31 Oktober dan 1 November serta 21 dan 22 November di litar sama turut ditunda manakala status pusingan akhir yang sepatutnya berlangsung di Tangkak pada 12 dan 13 Disember ini masih menimbulkan tanda tanya. – HM