Teknologi ‘adaptive cruise control’ seakan menjadi fokus utama pengeluar motosikal dunia bagi 2021 dengan BMW dan Ducati telah pun memperkenalkan ciri ini menerusi R 1250 RT dan Multistrada V4.
Kawasaki serta KTM turut dilaporkan sedang mengusahakan teknologi terbabit bagi model akan datang maka bukan satu kejutan apabila Honda dilaporkan mengikut langkah sama.
Bagaimanapun, ketika Ducati, BMW, Kawasaki dan KTM menghasilkan teknologi ‘adaptive cruise control’ hasil kerjasama dengan Bosch, Honda mengambil langkah berlainan dengan mewujudkan sistem tersebut sendiri berdasarkan paten yang telah difailkan di Jerman.
Bukan itu sahaja, Honda bakal mengangkat teknologi tersebut ke tahap yang lebih tinggi dengan membolehkan jentera dikemudikan oleh komputer yang turut mampu mengawal pendikit serta brek.
Teknologi pemanduan autonomi bukanlah perkara baharu kerana telah pun diterapkan ke kenderaan empat roda bagaimanapun pelaksanaan ke motosikal tidak pernah dilakukan setakat ini.
Paten terbaru dari Honda ini turut memberi bayangan teknologi ini akan diperkenalkan pada model touring yang berkemungkinan membabitkan NC750X atau CB1100X.
Honda juga dijangka menggunakan pelbagai radar bagi membolehkan tunggangan ‘autopilot’ ini berfungsi sepertimana yang dilakukan Ducati terhadap Multistrada V4.
Paten tersebut memaparkan motosikal tersebut mampu bertukar laluan dengan sendiri sewaktu fungsi ‘adaptive cruise control’ diaktifkan.
Ketika ini masih tiada kepastian bila teknologi ini akan diperkenalkan pada motosikal Honda namun melihat kepada paten tersebut dijangka motosikal seumpamanya akan wujud dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.