Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan berkata penampilan sulungnya di Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 di Litar Jerez terjejas akibat cuaca sejuk dan trek yang licin, namun dia menggangapnya sebagai sesuatu yang positif.
Juara dunia Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 itu menamatkan Perlumbaan 1 dengan keputusan yang baik di tempat keenam.
Sayangnya, keadaan litar yang licin disebabkan oleh cuaca sejuk mengakibatkan Perlumbaan 2 yang lebih mencabar buat Qabil.
“Saya tidak berapa gembira dengan keputusan ini (Perlumbaan 2) kerana saya tidak bagus dengan motosikal. Litar licin, sejuk dan tayar slide (membuang). Saya juga perlu perbaiki lagi corak tunggangan ketika perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca sejuk,” kata Qabil.
Apapun, Qabil dan pihak pengurusannya ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin akan memperbaikki prestasi pada pusingan kedua musim yang akan berlangsung di Litar Valencia dari 30 Mei hingga 2 Jun ini.
“Tujuan kita datang ke sini adalah untuk memberi pengalaman awal kepada Qabil berlumba di Eropah. Keputusan pada Perlumbaan 1 adalah keputusan yang membanggakan manakala keputusan untuk Perlumbaan 2 adalah pengalaman yang berharga untuk kita perbaiki pada pusingan yang akan datang.
“Sepanjang minggu di sini Qabil menghabiskan sesi di tempat kesembilan dan ke-10 tetapi pada perlumbaan, Qabil berada bersama kelompok hadapan bersaing untuk podium. Qabil menghabiskan Perlumbaan 1 di tempat keenam.
“Tetapi, untuk Perlumbaan 2 adalah satu perlumbaan yang sukar buat Qabil. Dia tidak berasa yakin dengan motosikal, litar rasa licin dari pusingan pertama sehinggalah akhir perlumbaan kerana cuaca sejuk.
“Ini adalah pengalaman yang bagus untuk Qabil dan pasukan. Kita akan pulang ke Malaysia untuk berlatih sebaiknya untuk pusingan 2 di Valencia,” kata Zulfahmi.