Selain daripada memperkenalkan Tracer 9 dan Tracer 9 GT, Yamaha turut melancarkan Tracer 7 GT 2021.
Berlandaskan Yamaha MT-07 2021 yang dilancarkan minggu lalu, Tracer 7 GT ini turut hadir dengan enjin dua silinder DOHC 689cc dengan penyejukan cecair yang menawarkan 72.3hp pada 8,750 rpm dan 67Nm pada 6,500rpm.
Tampil dengan elemen ‘touring’, Tracer 7 GT ini dilengkapi dengan penghadang angin 92mm lebih tinggi dan 70mm lebih lebar berbanding model sebelumnya di samping ketinggian tempat duduk sekitar 840mm.
Antara ciri menarik lain ditawarkan adalah paparan LCD pelbagai fungsi, tangki 17 liter, fork depan teleskopik 41mm, serta penyerap hentakan belakang boleh laras (preload dan rebound) manakala pencahayaan dikendalikan lampu LED penuh.
Sistem membrek hadir menerusi cakera brek berkembar 282mm (depan) dan cakera brek (single) 245mm belakang yang terdapat pada rim 17 inci di depan dan belakang.
Ketika ini, tiada pengesahan sama ada model ini akan mendarat di Malaysia namun melihat kepada trend terdahulu, kemungkinan orang ramai akan terus kempunan untuk menyaksikan Tracer 7 GT ini diperkenalkan.
Terdahulu, Yamaha turut melancarkan Tracer 9 dan Tracer 9 GT.