Bikesrepublic

Berita Terkini

Miguel Oliveira berjaya merekodkan kemenangan kedua musim ini setelah mendominasi aksi penutup tirai 2020 di laman sendiri.

Pelumba Tech3 KTM itu berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu sehingga ke lap terakhir selepas mencatat masa terpantas sewaktu sesi kelayakan, semalam.

Tempat kedua jadi milik pelumba Pramac Racing, Jack Miller selepas berjaya memintas Franco Morbidelli di sektor terakhir.

Kejayaan Miller turut membantu Ducati memenangi Kejuaraan Dunia Pengeluar 2020 buat kali pertama sejak 2007.

Sementara itu, Joan Mir, yang telah pun mengesahkan status selaku juara dunia minggu lalu gagal menamatkan perlumbaan apabila jenteranya mengalami masalah teknikal.

*Joan Mir mengesahkan kejuaraan dunia di Valencia minggu lalu.

Manakala rakan sepasukan di Suzuki Ecstar, Alex Rins menamatkan musim 2020 di kedudukan ketiga kejuaraan dunia.

Dalam perkembangan lain, Enea Bastianini merangkul kejuaraan dunia Moto2 selepas mengutip 205 mata meskipun menamatkan aksi di tempat kelima.

Pelumba Onexox TKKR SAG Team, Remy Gardner berjaya merekodkan kemenangan sulung di Moto2 selepas mengetepikan cabaran Luca Marini manakala Sam Lowes ketiga.

Bastianini akan melangkah ke kelas premier musim depan bergandingan dengan Marini di Avintia Ducati manakala Gardner akan ke Ajo KTM di Moto2.

Manakala Moto3 menyaksikan Albert Arenas dinobat juara dunia dengan 174 mata dalam aksi penuh sengit di Portugal.

Pelumba Aspar Team itu hanya empat mata dihadapan Tony Arbalino dan Ai Ogura.

Kejayaan Arenas turut menyaksikan pelumba itu akan beraksi di Moto2 musim depan.

Dalam perkembangan berbeza, wakil Ducati, Andrea Dovizioso mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu selepas lapan tahun bersama.

Cal Crutchlow turut meninggalkan LCR Honda selepas tempatnya diisi Alex Marquez musim depan namun akan bertkhidmat selaku pelumba uji Yamaha selepas ini.

Valentino Rossi turut meninggalkan pasukan factory Yamaha selepas 15 tahun bersama pasukan itu. Rossi akan mewakili Petronas Sepang Racing Team (SRT) bagi musim 2021.

MotoGP akan kembali membuka tirai dengan Sepang Shakedown (Winter Test) pada Februari 2021.

Norton bakal memperkenalkan model sulung bagi 2021 sejak diambil alih TVS Motor Company.

Perkara itu disahkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Norton, John Russel.

Pengambilalihan oleh TVS seakan memberi sinar baharu terhadap jenama motosikal Britain itu yang dipalit dengan pelbagai kontroversi sewaktu dibawah pengurusan lama.

“TVS mengambilalih Norton kerana jenama ini pada suatu ketika merupakan jenama yang dipandang tinggi dalam industri motosikal.

“Kini menjadi tugas kami untuk memastikan potensi jenama ini terus diperkembangkan untuk jangka masa panjang.

“Apa yang kami lakukan ketika ini adalah diluar pengetahuan orang awam tetapi fokus utama kami adalah motosikal ini, yang boleh didapati dari ‘New Norton’ hujung tahun ini,” jelas Russel yang merujuk kepada Norton V4RR yang telah dikemaskini bagi tahun 2021.

Laman sesawang Norton turut mengesahkan bahawa V4RR akan datang pada 2021 dengan enjin 1200cc V4 yang menawarkan 200hp dan 130Nm.

Pelumba Sky Racing VR46, Marco Bezzecchi telah menerima sebuah jentera Triumph Street Triple RS 765 sebagai hadiah kemenangan merangkul Triumph Triple Trophy.

Anugerah itu merujuk kepada kejayaan Bezzecchi – selain daripada memenangi perlumbaan di Moto2 – merekodkan top speed tertinggi (7 mata), petak pertama (6 mata) dan lap terpantas (5 mata).

Bagaimanapun, Bezzecchi tidak akan dapat merasa jentera 765cc dengan livery khas itu ekoran tidak memiliki lesen motosikal awam.

Siapa sangka pelumba VR46 itu yang hanya 23 mata ketinggalan dibelakang pendahulu kejuaraan Moto2 Enea Bastianini masih ketiadaan lesen menunggang awam?

“Saya tidak pernah memiliki sebuah motosikal sendiri jadi tiada keperluan untuk memiliki lesen, tetapi itu perkara pertama yang saya akan lakukan selepas ini,” jelasnya.

Menurut Bezzecchi, motosikal itu merupakan satu kejutan yang telah dihadiahkan kepadanya ketika berada di pit-lane Litar Portimao.

“Sudah tentu saya teruja mendapat motosikal yang mempunyai enjin sama seperti jentera Moto2 saya. Sememangnya jentera Moto2 berbeza tetapi ini adalah sebuah jentera yang cukup berkuasa untuk ditunggang di jalan raya!” tambahnya.

Aprilia dilaporkan telah menawarkan slot ke MotoGP untuk pelumba Moto2, Marco Bezzecchi musim depan.

Bagaimanapun, Bezzecchi mengakui telah menolak tawaran terbabit tanpa mendedahkan sebab disebalik keputusan itu.

Namun, pengendali VR46, Pablo Nieto, mendedahkan pasukan itu mahu Bezzecchi kekal di Moto2.

“Masa depan Bezzecchi adalah bersama kami. Dia akan berlumba dengan kami untuk 2021.

“Mereka telah cuba untuk mendapatkan tandatangan Marco (Bezzecchi) dan dia merupakan calon utama Aprilia.

“Tetapi bagi kami, Marco (Bezzecchi) adalah peneraju utama VR46 bagi projek Moto2 muism depan.

“Saya juga berasakan dia mahu kekal di Moto2 dan merebut kejuaraan musim depan,” jelas Neito kepada DAZN.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola mendedahkan pelumba uji, Bradley Smith, dilihat sebagai calon relevan untuk menggantikan Andrea Iannone bagi musim 2021.

Iannone berdepan penggantungan empat tahun dari sukan permotoran selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) melanjutkan penggantungan 18 bulan yang dikenakan FIM sebelum ini.

Pelumba Itali itu gagal ujian doping sewaktu ujian rawak di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada November 2019.

Teknologi ‘adaptive cruise control’ seakan menjadi fokus utama pengeluar motosikal dunia bagi 2021 dengan BMW dan Ducati telah pun memperkenalkan ciri ini menerusi R 1250 RT dan Multistrada V4.

Kawasaki serta KTM turut dilaporkan sedang mengusahakan teknologi terbabit bagi model akan datang maka bukan satu kejutan apabila Honda dilaporkan mengikut langkah sama.

Bagaimanapun, ketika Ducati, BMW, Kawasaki dan KTM menghasilkan teknologi ‘adaptive cruise control’ hasil kerjasama dengan Bosch, Honda mengambil langkah berlainan dengan mewujudkan sistem tersebut sendiri berdasarkan paten yang telah difailkan di Jerman.

*Paten penggunaan ‘adaptive cruise control’ pada motosikal Honda

Bukan itu sahaja, Honda bakal mengangkat teknologi tersebut ke tahap yang lebih tinggi dengan membolehkan jentera dikemudikan oleh komputer yang turut mampu mengawal pendikit serta brek.

*Sistem ‘adaptive cruise control’ Honda berkeupayaan menukar haluan motosikal tanpa kawalan penunggang.

Teknologi pemanduan autonomi bukanlah perkara baharu kerana telah pun diterapkan ke kenderaan empat roda bagaimanapun pelaksanaan ke motosikal tidak pernah dilakukan setakat ini.

Paten terbaru dari Honda ini turut memberi bayangan teknologi ini akan diperkenalkan pada model touring yang berkemungkinan membabitkan NC750X atau CB1100X.

*Motor elektrik diletakkan di bahagian belakang headstock bagi menggerakan handle secara autonomi.

Honda juga dijangka menggunakan pelbagai radar bagi membolehkan tunggangan ‘autopilot’ ini berfungsi sepertimana yang dilakukan Ducati terhadap Multistrada V4.

Paten tersebut memaparkan motosikal tersebut mampu bertukar laluan dengan sendiri sewaktu fungsi ‘adaptive cruise control’ diaktifkan.

Ketika ini masih tiada kepastian bila teknologi ini akan diperkenalkan pada motosikal Honda namun melihat kepada paten tersebut dijangka motosikal seumpamanya akan wujud dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Timbul dakwaan bahawa Honda bakal kembalikan Transalp dengan enjin sama yang digunakan pada NC750.

Menurut laporan media Jepun, Young Machine, pengeluar motosikal Jepun itu bakal memperkenalkan semula Transalp bersama-sama model baharu, CB1100X.

Difahamkan, Transalp merupakan satu daripada tiga motosikal yang akan diperkenalkan Honda dengan enjin NC750 manakala dua daripadanya membabitkan sebuah motosikal jenis scrambler dan naked.

Sekiranya dakwaan ini benar – Young Machine jarang laporkan khabar angin tanpa isi – ketiga-tiga motosikal ini merupakan model serba baharu yang tidak pernah lagi diperkenalkan Honda sebelum ini.

Sementara itu, Young Machine turut melaporkan bahawa Honda bakal memperkenalkan motosikal sport-touring menerusi CB1100X.

Meskipun direka berdasarkan jentera konsep CB4X yang diperkenalkan di EICMA tahun lalu namun difahamkan jentera ini akan didatangkan dengan enjin sama yang terdapat pada CRF1100L Africa Twin berbanding 4-inline seperti yang dicanang sebelum ini.

Apa yang pasti Honda dilihat memberi penekanan terhadap penggunaan transmisi DCT (dual clutch transmission) bagi dua model ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube