Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini kami berpeluang menguji tawaran baharu daripada Ducati, Multistrada 950S 2019.

Meskipun untuk masa singkat – sejujurnya hanya 96 jam – namun dalam tempoh itu kami sempat menguji senario panjat bukit (Genting lah mana lagi) dan tunggangan jarak jauh, dari Kuala Lumpur ke Bagan Lalang.

Umum mengetahui (terutamanya di Malaysia) buat apa beli Multistrada 950S kalau tambah ‘sikit’ dah boleh dapat model yang lebih besar?

Dalam konteks ini, Multistrada 1260S.

Persoalannya di sini, berapa ramai yang mahukan jentera segmen ‘adventure touring’ yang terlalu berkuasa sehingga sukar dikawal apatah lagi berat?

Multistrada 950S merupakan jawapan Ducati kepada soalan tersebut.

APA YANG BAHARU?

Dilancarkan pada 2019, MTS950S merupakan model yang telah naik taraf daripada MTS950 yang diperkenalkan pada 2017.

Antara perubahan utama yang dilaksanakan adalah teknologi Sachs Skyhook Suspension EVO yang sebelum ini hanya terdapat pada Multistrada 1260S.

Malah, model baharu ini juga didatangkan dengan pakej kawalan elektronik IMU yang terdiri daripada Bosch Cornering ABS, traction control, hold control, empat riding mod, quickshifter dan cruise control.

Semua sistem ini boleh dipantau dengan mudah menerusi paparan TFT berwarna 5.5 inci.

Dalam bahasa mudah, segala sistem elektronik yang hanya terdapat pada MTS1260S sebelum ini kali ini muncul di MTS950S namun tanpa perlu berbelanja besar kerana Ducati 1260S ditawarkan pada harga RM129,900!

Rekaan MTS950S juga tampak lebih menarik – walaupun tak banyak beza dengan model terdahulu – tetapi bahagian depan (tangki) kini tampak lebih ‘sado’ jika dibandingkan dengan MTS950.

Walaupun perasaan awal berasakan MTS950S ini besar namun tanggapan itu hilang sewaktu menunggang.

ENJIN DAN KOTAK GEAR

Ducati Multistrada 950S ini didatangkan dengan enjin 937cc L-Twin Testastretta yang sama ditawarkan pada Hypermotard dan Supersports dan menghasilkan 111.3hp pada 9,000rpm dan 96Nm pada 7,750rpm.

Kapasiti tangki 20L juga cukup besar setaraf dengan BMW R 1250 GS.

Ini sebabya kami berasakan MTS950S adalah jentera terbaik untuk kegunaan harian, tunggangan hujung minggu atau ‘ride’ santai sehingga ke sempadan Thailand.

Pertama, 111.3hp/96Nm tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah sebaliknya angka tersebut menjadikan 950S ini sebuah motosikal ‘adventure touring’ yang ‘proper’.

Tork yang ditawarkan juga tidak terlalu menggerunkan berbanding Hypermotard. Kami mendapati tunggangan lebih lancar dan tidak perlu menukar gear dengan kerap sekaligus membuatkan MTS950S ini amat sesuai sewaktu ‘touring’

Omputih kata ‘a proper adventure touring’.

Segala kuasa itu kemudiannya disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan slipper clutch dan servo assistance di samping kehadiran ‘quickshifter’ merancakkan lagi tunggangan.

Bagaimanapun, kami berasakan Ducati boleh memperhalusi lagi sistem ‘quickshifter’ ini yang kadang kala agar sukar untuk tukar gear terutamanya daripada gear 5 ke gear 6.

PENGALAMAN MENUNGGANG

Sejujurnya, MTS950S ini menawarkan tungggangan yang cukup mudah dan selesa.

Walaupun handlebar dilihat agak lebar namun ketika menyelusuri selekoh, segala elektronik yang ada menjaminkan kawalan terbaik dan sebarang penunggang boleh mengambil selekoh dengan penuh yakin hasil bantuan Cornering ABS Bosch.

Gegaran yang dijana enjin Testasretta itu juga tidak dirasai apabila berada dalam kelajuan yang setimpal sewaktu ‘cruising’ di lebuhraya.

RUMUSAN

Kami berpendapat MTS950S ini merupakan antara motosikal segmen ‘adventure touring’ yang terbaik dalam pasaran ketika ini dengan harga RM95,900.

Meskipun dalam segmen itu terdapat motosikal lain dengan tawaran harga lebih rendah antaranya Triumph Tiger 900 dan Yamaha Tracer GT (sport touring) namun hanya MTS950S menawarkan DNA Ducati di samping sistem elektronik yang terbaik dalam segmennya.

Bagi yang berkemampuan dan mencari motosikal kegunaan harian yang turut mampu ke Thailand dengan mudah, cepat dan selesa, Ducati Multistrada 950S adalah pilihan paling tepat.

Modenas Power Store Kota Damansara telah menjadi titik pertemuan bagi sekumpulan pemilik motosikal Modenas Dominar D400 dari Dominar 400 Club Malaysia (D4CM) yang menunggang ke Gunung Lang di Ipoh, Perak, Sabtu lalu.

Sebagai penghargaan, Modenas Power Store telah menyediakan sarapan kepada semua ‘rider’ yang terlibat malah salah seorang daripada ahli D4CM turut membawa pulang sebuah helmet SHARK Ridil tajaan Power Store!

Bukan itu sahaja, sebelum berlepas setiap motosikal turut menjalani pemeriksaan hasil bantuan Master Mechanic, Faisal, bagi memastikan semua jentera dalam keadaan baik.

Sebaik berlepas dan tiba di Gunung Lang, mereka kemudiannya bertemu dengan ahli D4CM dari Perak dan beberapa ‘rider’ lain sebelum meneruskan perjalanan ke Kellie’s Castle untuk sesi bergambar dan kemudian menuju ke resort Kuala Razila di Kampung Jahang.

Kesemua yang terlibat turut sempat menikmati aktiviti menarik antaranya water rafting, cabutan bertuah dan minum petang sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, orang ramai yang berminat dengan Modenas Dominar D400 atau memerlukan servis boleh singgah ke Modenas Power Store Kota Damansara atau hubungi +60128003470 untuk maklumat lanjut.

Perodua meneruskan inisiatif dalam memberi bantuan sewaktu pandemik Covid-19 apabila menyumbang lebih 7,700 pelindung muka kepada 66 buah sekolah rendah sekitar Putrajaya dan Hulu Selangor.

Ini adalah usaha kedua Perodua selepas menyumbang lebih 11,000 pelindung muka di sekolah menengah sekitar kawasan sama, Jun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’Zainal Abidin Ahmad menyifatkan usaha ini adalah sebagai penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menangani Covid-19.

“Tujuan sumbangan ini adalah – pertama, untuk perlindungan, kesihatan dan kesejahteraan para murid, guru dan kakitangan sokongan; kedua, sebagai tanda penghargaan kepada kerajaan atas usaha-usaha mereka dalam menangani COVID-19; dan ketiga, sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat sekeliling yang telah menyokong dan menyambut baik kami selama 27 tahun kami bertapak di sini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada sekolah-sekolah kerana memberi kami peluang ini untuk bekerjasama dengan masyarakat dalam menyokong perjuangan Malaysia menentang pandemik ini,” jelasnya.

Setakat ini, Perodua telah menyumbang sejumlah 30,000 pelindung muka antaranya kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Majlis Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah, klinik Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan peniaga pasar pagi dan malam di Hulu Selangor.

Pada masa sama, Dato Zainal turut menggesa orang ramai untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga.

“Di Hari Malaysia ini, Perodua, sebagai syarikat yang prihatin, bertanggungjawab dan mengutamakan insan, ingin menyeru rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan mematuhi semua garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, agar kita dapat menewaskan COVID-19 sebagai satu negara,” tambahnya.

Seorang wanita telah dikenakan denda SGD 7,500 (RM22,768) selepas didapati bersalah mencalarkan sebuah kereta.

Ang Guat Beng, 76 tahun telah menggunakan kunci rumah untuk mencalarkan sebuah kereta ketika sambutan Tahun Baru Cina.

Difahamkan, wanita itu berang kerana terdapat pasangan suami isteri telah mengalihkan tong sampah bagi meletakkan kereta untuk singgah ke rumah rakan.

Dia yang tidak berpuas hati, bertindak mencalarkan kereta pasangan suami isteri tersebut. – HM

Susulan tular gambar sekumpulan individu berbasikal di tengah jalan raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata mereka akan bekerjasama dengan badan penguatkuasa lain dalam membendung aktiviti berbasikal di lebuhraya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharudin Khalid menjelaskan bahawa menurut undang-undang, penunggang basikal adalah di luar bidang kuasa mereka.

“Kami hanya boleh bekerjasama dengan badan penguatkuasa lain dalam menyelesaikan masalah ini. Kami tiada kuasa untuk mengenakan saman,” katanya kepada media, hari ini.

Imej sekumpulan penunggang basikal melakukan aktiviti di lebuhraya mengundang pelbagai reaksi orang ramai terutamanya pengguna jalan raya dan netizen.

Rata-rata berpendapat tindakan berbasikal di kawasan tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang lain.

Beberapa bulan lalu, beberapa imej memaparkan sebuah Ducati Multistrada sedang giat menjalani ujian jalan raya.

Kemudian, Ducati sendiri mengesahkan mereka bakal perkenalkan Multistrada dengan enjin V4 namun tanpa mendedahkan tarikh rasmi pelancaran model tersebut.

Kini, jentera itu diintip menjalani ujian ‘off-road’ dan jentera itu kini jelas kelihatan meskipun dengan litupan ‘camo’.

Bagaimanapun, melihat kepada rupa keseluruhan yang memberikan gambaran jelas sedikit sebanyak beri bayangan bahawa model baharu itu hampiri peringkat pengeluaran.

Menurut info, jentera ini dilaporkan menjalani ujian ‘off-road’ di sekitar Bologna, Itali.

Membawa lencana V4, hampir pasti Multistrada V4S ini mengguna pakai nadi 1,103cc sama yang terdapat pada dua jentera Ducati lain, Panigale V4 dan Streetfighter V4 namun ada ura-ura mengatakan ini adalah enjin yang serba baharu dibangunkan kilang Borgo Panigale.

Antara ciri lain yang dikenalpasti adalah penggunaan swingarm jenis ‘double-sided’ berbanding single-sided yang ikonik pada model Ducati lain.

Meskipun belum ada tarikh rasmi namun kami menjangkakan model ini akan diperkenalkan hujung tahun ini dan akan dipasarkan 2021.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube