Bikesrepublic

Berita Terkini

Kegagalan mendaftarkan diri dengan aplikasi MySejahtera ketika mengisi minyak boleh dikenakan kompaun RM1,000.

Perkara itu dinyatakan sendiri Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Baru-baru ini, viral rakaman suara yang menceritakan bagaimana ayahnya telah dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mendaftar aplikasi MySejahtera sebelum mengisi minyak walaupun memakai pelitup muka.

Menurutnya, orang ramai yang bertandang ke stesen minyak untuk mengisi minyak perlu mendaftarkan diri dengan MySejahtera meskipun tidak memasuki premis.

“Jika orang ramai tidak mendaftar, bagaimana pihak berkuasa boleh menjejaki mereka seandainya terdapat kes Covid-19 di kawasan terbabit?” katanya menurut China Press.

Jelasnya, stesen minyak adalah kawasan awam dengan jumlah pelanggan yang tinggi maka mandatori untuk orang ramai memakai pelitup muka, mendaftar MySejahtera dan membuat pemeriksaan suhu. – MM

Pelumba negara, Hafizh Syahrin akan terus kekal beraksi di kelas Moto2 musim depan setelah disahkan menyertai NTS RW Racing GP.

Hafizh kehilangan tempat di Aspar Team selepas hanya semusim apabila pasukan itu membuat keputusan untuk menyerahkan kerusinya ke pelumba Moto3, Albert Arenas, yang ketika ini mendahului kejuaraan dunia kelas tersebut.

Bagaimanapun, Hafizh menerusi pengurusnya sebelum ini mendedahkan sedang dalam perbincangan bersama dua pasukan sebelum mengesahkan kariernya musim 2021 bersama NTS.

“Saya gembira kerana dapat kekal di Moto2 dan diberi keyakinan oleh NTS RW Racing GP.

“Saya tahu banyak keringat diperlukan bagi membangunkan sebuah motosikal tetapi saya percaya akan projek ini.

“Saya harap pengalaman saya ada akan membantu pasukan ini untuk melangkah lebih jauh.

“Walaupun prestasi saya kurang baik musim ini namun saya teruja kerana diberi kepercayaan oleh NTS RW Racing GP,” jelas Hafizh.

*Hafizh akan beraksi bersama NTS dalam ujian persendirian pada 26 dan 27 November ini di Jerez.

Sementara itu, pengurus pasukan NTS, Jarno Janssen turut gembira kerana berjaya mendapatkan pelumba berpengalaman.

“Kami bangga dan gembira kerana berjaya mendapatkan khidmat Hafizh. Dia bukan sahaja berpengalaman malah seorang individu yang baik.

“Motosikal kami saban minggu semakin baik tetapi enjin kami masih lagi dalam peringkat pembangunan jadi kami mengharapkan input penting dari Hafizh,” katanya.

Hafizh bakal bergandingan dengan pelumba muda dari Belgium, Barry Baltus yang baru berusia 16 tahun.

Seorang lelaki di United Kingdom telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menyebabkan kematian satu daripada dua pencuri motosikal.

Menjadi mangsa kecurian motosikal sememangnya boleh membuatkan seseorang itu berasa marah terhadap si pelaku apatah lagi rata-rata kejadian berlaku tanpa pengetahuan si mangsa.

Bagaimanapun, berbeza bagi Mihai Dinisoae yang menyedari kehadiran dua lelaki, Mikey Dunwiddie dan Joshua Molloy, yang mencuri motosikal miliknya dalam kejadian yang berlaku pada 3 Mei lalu.

*Mihai Dinisoae sewaktu hadir ke mahkamah

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan Dunwiddie dan Molloy sedang mengayuh basikal di kawasan kejiranan sebelum berpatah balik selepas melihat motosikal jenis Honda milik Dinisoae.

Kedua-dua pencuri itu kemudiannya melarikan diri dengan menunggang motosikal tersebut dan menyebabkan berlaku kejar-kejar dengan Dinisoae yang memandu kereta jenis Vauxhall Vectra.

Sewaktu kejadian, Dinisoae bertindak melanggar motosikal ditunggang kedua-dua pencuri tersebut dengan pelanggaran kali kedua menyebabkan Dunwiddie dan Molloy terpelanting.

Senario itu menyaksikan Molloy maut ditempat kejadian setelah menghentam tiang lampu manakala Dunwiddie mengalami kecederaan parah.

Difahamkan, Dinisoae baru memiliki motosikal tersebut selama sebulan selepas membelinya pada harga GBP450 (RM2,439).

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan sendiri dan dinasihatkan untuk menghubungi pihak berkuasa jika berada dalam situasi sedemikian. – Visordown

Joan Mir semakin menghampiri kejuaraan dunia selepas merekodkan kemenangan di GP Eropah, hari ini.

Ini merupakan kemenangan pertama pelumba Suzuki Ecstar itu selepas 12 pusingan.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan, Alex Rins sekaligus melengkapkan podium satu dua bagi pasukan Suzuki sejak 1982 di GP Jerman.

Sementara wakil Red Bull KTM, Pol Espargaro berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga meskipun bermula di petak pertama selepas mengungguli sesi kelayakan semalam.

Rins terlebih dahulu berjaya menempatkan diri selaku pendahulu perlumbaan selepas memintas Espargaro bagaimanapun sewaktu perlumbaan lap 17, Mir yang berada di belakang berjaya membuat pintas di Selekoh 7 (Turn 7) selepas Rins tersasar.

Mir kini mendahului kejuaraan dunia dengan 162 mata diikuti Fabio Quartararo dengan 125 mata, berkongsi mata sama dengan Rins dengan perlumbaan berbaki dua pusingan lagi seandainya GP Portugal masih diteruskan.

Mir dilihat selangkah untuk merangkul kejuaraan dunia pertama tatkala pencabar terdekat, Fabio Quartararo sekali lagi gagal memberi sebarang saingan kali ini.

Kejayaan Mir dan Rins membuktikan Suzuki kini kembali lebih hebat di kelas premier.

Dalam perkembangan sama, pelumba Jepun, Takaaki Nakagami berjaya memperbaiki aksi untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas gagal menamatkan aksi sewaktu di Aragon, dua minggu lalu.

Berikut keputusan penuh perlumbaan:

Sebuah helikopter telah terhempas di Taman Melawati dalam kejadian yang berlaku pagi tadi.

Kejadian tersebut turut meragut dua nyawa yang difahamkan seorang juruterbang dan seorang pelatih yang berlepas dari Subang.

Sementara itu, polis telah mengesahkan identiti mangsa yang maut adalah Mohd Irfan Mohamed Rawi dan Mohd Sabri Baharom.

08Nov2020/Selangor (Update) Rakaman video amatur saat sebuah helicopter terhempas di Taman Melawati Ulu Klang sebentar…

Posted by Info Roadblock JPJ/POLIS on Saturday, 7 November 2020

Difahamkan, berlaku pertembungan di udara dengan sebuah lagi helikopter ketika sedang melakukan latihan penerbangan.

*Helikopter dinaiki Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan berjaya mendarat dengan selamat.

Bagaimanapun, helikopter terbabit berjaya melakukan pendaratan kecemasan dengan selamat bersama dua individu lain yang disahkan sebagai Datuk Ahmad Jauhari Yahya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan Tan Chai Elan.

Kejadian tersebut turut dirakam beberapa individu yang telah dikongsikan di laman media sosial.

Dalam rakaman tersebut jelas memaparkan saat sebuah helikopter (berwarna biru) terhempas dengan laju dan menyebabkan bunyi dentuman kuat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MV Agusta, Timur Sardarov, mendedahkan perancangan syarikat itu dalam satu temu bual baru-baru ini.

Menurut Sardarov, MV Agusta bakal membangunkan motosikal adventure dengan dua platform, 500cc parallel-twin dan 1000cc 4-inline.

Cadangan memfokuskan pembangunan motosikal ADV itu dilihat langkah tepat dalam mengetengahkan jenama MV Agusta tatkala pengeluar lain sudah pun memiliki model adventure sendiri.

Ketika ini, MV Agusta hanya menawarkan tiga segmen motosikal; supersport, roadster dan touring.

*MV Agusta Superveloce 800

Sardarov turut mendedahkan mereka akan mengumumkan secara rasmi perancangan itu dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

Ahli peniagaan itu mengambil alih MV Agusta pada Disember 2018 dari keluarga Castiglioni ketika masa depan MV Agusta berada dalam situasi tidak menentu.

*MV Agusta Brutale 1000RR

Bagi tahun 2020, meskipun dilanda pandemik Covid-19, MV Agusta telah pun melancarkan lima model baharu, sesuatu yang tidak pernah dilakukan jenama Itali itu.

Dalam perkembangan sama, Sardarov turut mendedahkan pihaknya juga sedang membangunkan enjin 950cc baharu manakala enjin 800cc sedia ada sedang dikemas kini bagi mematuhi piawaian Euro5. – Bennetts

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube