Selaras dengan inisiatif ‘Safer Cars, Safer Roads’, Bosch Automotive Aftermarket Malaysia (Bosch AA) telah menyerahkan bateri kenderaan (bebas selenggara) termasuk bateri kabin yang digunakan untuk menghidupkan alat perubatan ambulans.
Bosch AA turut menyumbang pengelap cermin Aerotwin Retrofit bagi memastikan penglihatan terbaik bagi para petugas barisan hadapan terutamanya di musim hujan ketika ini.
Pengarah Pemasaran BAA, Dilion Goh menyifatkan sumbangan ini bertujuan untuk membantu pemandu dan petugas perubatan melaksanakan misi menyelamatkan nyawa dengan lebih baik dan selamat.
“Ambulans amat penting bagi pesakit dan hospital jadi Bosch berasa lega kerana dapat menghulur bantuan dalam memastikan misi mereka tidak diganggu oleh senario lain.
“Kami menghargai dedikasi oleh komuniti perubatan dalam tempoh beberapa bulan ini,” jelasnya.
Pada masa sama, Bosch AA mengharapkan sumbangan ini dapat memastika Malaysia terus kekal antara negara dengan sistem kesihatan terbaik dunia.
Kempen SaferCars, Safer Roads merupakan sebahagian daripada inisiatif Bosch AA untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memiliki ilmu asas penjagaan kereta.
Superbike sememangnya antara jentera kegemaran penunggang untuk digunakan pada hujung minggu terutamanya di Malaysia.
Tak hairanlah stesen minyak BHP Karak sentiasa dibanjiri jentera dua roda yang mahu mengasah tayar di lebuhraya Karak dan tak kurang juga ada yang mahu mencabar selekoh di Genting dan Bukit Tinggi.
Namun, ada segelintir yang tak buat kemunculan di hujung minggu kerana memilih menggunakan jentera kesayangan termasuk superbike untuk kegunaan harian.
Lumrah sama dihadapi penulis apabila Kawasaki Malaysia bagi kami pinjam ZX-10RR selama lima hari.
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ditutup atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi penulis hanya mengharapkan litar jalan raya untuk ujian kali ini – meskipun sempat juga melayan selekoh di Batang Kali, Ulu Yam.
Jadi untuk reviu kali ini, dengarkan pendapat kami mengenai ZX-10RR di bawah:
Kawasaki ZX-10RR merupakan edisi ‘homologation special’ dan hanya terhad kepada 500 unit seluruh dunia.
Perbezaan ketara yang terdapat pada model kali ini adalah penggunaan conrod titanium termasuk ‘head’ engine yang telah direka semula sekaligus menawarkan rev RPM yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Rim forged Marchesini yang popular pada jentera Ducati Panigale turut diperkenalkan pada ZX-10RR.
Nadi 998cc yang terdapat pada ZX-10RR ini menghasilkan sekitar 203hp namun pada kelajuan tinggi hasil bantuan Ram air induction, angka tersebut boleh meningkat kepada 213hp.
Nilai yang dikongsikan itu sudah cukup membuktikan Kawasaki ZX-10RR selayaknya kekal di litar lumba dan bukan untuk kegunaan jalan raya biasa – melainkan hati penulis belum cukup kering tapi tak nak mengaku.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan jentera ini sangatlah ‘layan’ ketika menyelusuri selekoh, lagi kuat pulas ‘throttle’ lebih sedap dan tidak banyak kerenah hasil bantuan fork boleh laras Showa Balance Free yang diinspirasikan daripada teknologi WorldSBK.
Apa yang mengejutkan adalah kemampuan ZX-10RR ini menyelusuri selekoh pada kelajuan tinggi, terasa seakan seperti Jonathan Rea ketika melayan selekoh di Batang Kali.
Kadang-kala sehinggakan tak sedar kelajuan yang sedang direkodkan ketika sedang syok melayan selekoh sekaligus beri bayangan jurutera Kawasaki telah menghasilkan jentera yang hampir sempurna.
Ketika perlu memperlahankan jentera, brek kaliper Brembo M50 4-pot dengan cakera brek 330mm menghadirkan daya membrek yang efisien di samping bantuan ABS memastikan jentera kekal dalam kawalan penunggang.
Apatah lagi jentera ini didatangkan dengan pelbagai sistem elektronik tercanggih antaranya:
Bagaimanapun, paparan meter LCD tampak sedikit ketinggalan dengan rata-rata pengeluar lain telah pun beralih kepada paparan TFT berwarna antaranya Ducati Panigale V4, Honda CBR1000RR dan Yamaha R1M.
Apatah lagi apabila anda perlu membayar RM159,000 untuk mendapatkan jentera terhad ini.
Secara rumusan, meskipun harga mencecah RM159,000 namun perlu diingatkan hanya 500 unit dihasilkan seluruh dunia sementara dengan setiap pembelian, pelanggan akan mendapat jentera dengan resepi kejuaraan di pentas WorldSBK.
Meskipun hanya membawa nama Kawasaki dan bukannya berdarah Itali, apa yang penting ‘korang’ tidak akan terserempak dengan model sama berbanding jenama lain yang bersepah di jalan raya terutamanya di hujung minggu.
Harley-Davidson Inc telah mengumumkan langkah untuk merombak semula perniagaan selepas pandemik Covid-19 menghadirkan kerugian mendadak.
Harley dilaporkan merekodkan kerugian sekitar USD92 juta (RM390 juta) bagi suku kedua tahun ini, dengan pendapatan turun 7 peratus tahun demi tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harley-Davidson, Jochen Zeitz berkata pihaknya perlu melaksanakan rombakan jika mahu mengekalkan status HD sebagai syarikat berprestasi tinggi.
Rombakan tersebut – diberi nama The Hardwire – merupakan perancangan strategik lima tahun yang akan menyaksikan perubahan mendadak dilaksanakan terhadap model operasi termasuk kemas kini jentera ikonik sedia ada dan memperkenalkan model baharu.
Pelaksanaan Hardwire turut menyaksikan Harley-Davidson mendekati selebriti terkenal, Jason Momoa dan beberapa individu lain dalam usaha menarik minat pasaran baharu.
Sementara itu, Harley-Davidson turut akan memfokuskan perniagaan terhadap 50 pasaran antaranya Amerika utara dan Eropah serta beberapa segmen negara di Asia.
Pada masa sama, Harley-Davidson turut dicanang bakal menembusi segmen motosikal bersesaran kecil hasil kerjasama dengan Qianjiang Motorcycle dalam penghasilan jentera 338cc.
Pengeluar motosikal berpangkalan di Milwaukee itu turut memperkenalkan jentera elektrik sulung menerusi Livewire.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menawarkan diskaun bayaran balik saman 70 peratus bermula 1 hingga 31 Ogos ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Bayaran balik saman tersebut membabitkan saman yang dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah dibawahnya.
Menurut Dr Wee Ka Siong, bayaran balik saman dengan diskaun 70 peratus tersebut boleh dilakukan di semua pejabat dan cawangan JPJ, kaunter UTC serta atas talian menersi portal mySIKAP, JPJ Mobile dan kiosk JPJ.
Pada masa sama, mereka yang telah disenarai hitam perlu hadir ke pejabat JPJ terlebih dahulu sebelum urusan pembayaran dibenarkan.
Yamaha meraikan kejayaan di GP Andalucia baru-baru menerusi Fabio Quartararo, Valentino Rossi dan Maverick Vinales.
Quartararo menghadiahkan kemenangan kedua buat Petronas Sepang Racing Team (SRT) diikuti Rossi kedua dan Vinales melengkapkan podium bagi pasukan Monster Enegery Yamaha.
Bagaimanapun, disebalik kejayaan itu, pasukan masing-masing mula bimbang tatkala ketiga-tiga pelumba itu telah pun kehilangan tiga daripada lima enjin yang dibenarkan.
Franco Morbidelli jadi mangsa terbaru apabila mengalami insiden sama yang melanda Rossi dua minggu lalu apabila enjin kehilangan kuasa secara tiba-tiba.
Masalah enjin tersebut turut menyekat Morbidelli untuk menamatkan aksi di GP Andalucia di kedudukan keempat.
Setiap pasukan MotoGP tanpa konsesi – Yamaha, Honda, Ducati dan Suzuki – dibenarkan untuk menggunakan lima enjin bagi setiap pelumba dalam tempoh 13-pusingan musim ini.
Pada masa sama, pembangunan enjin telah dibekukan sehingga 2021 sekaligus bermakna Yamaha tidak boleh melaksanakan sebarang perubahan baharu ketika ini.
Kebiasaannya setiap pasukan akan menggunakan dua enjin bagi setiap pelumba ketika pusingan pertama dan bersilih ganti sebelum beralih ke enjin ketiga, keempat dan kelima.
Setakat ini, semua pasukan telah menggunakan dua enjin dalam dua perlumbaan – GP Sepanyol dan GP Andalucia – setakat ini kecuali Yamaha.
Menurut info dikongsikan Peter McLaren, Vinales telah pun menggunakan kelima-lima enjin, sementara Quartararo, Rossi dan Morbidelli telah pun menggunakan empat enjin.
Senario ini bermula dengan Vinales apabila menghadapi masalah dengan Enjin 2 pada Ujian Bebas yang memaksa dia menggunakan Enjin 3 pada Ujian Bebas 4 di GP Sepanyol.
Kemudian Rossi mengalami masalah sama ketika perlumbaan berlangsung dengan enjin jentera M1 ditunggangnya tiba-tiba mati.
Isu tersebut jelas menandakan masalah yang besar apabila Yamaha membuat keputusan untuk memulangkan dua enjin terbabit ke Jepun untuk diagnosis penuh sekaligus menandakan bahawa kedua-dua enjin tersebut tidak lagi boleh digunakan.
Keempat-empat pelumba Yamaha – Quartararo,Morbidelli, Rossi dan Vinales – kemudiannya diberikan dua enjin baharu untuk digunakan di GP Andalucia minggu lalu.
Namun, Morbidelli – yang menggunakan enjin baharu tersebut – terpaksa bersara awal meskipun enjin itu hanya digunakan dalam tiga sesi di litar.
Morbidelli mendedahkan Yamaha sedang memeriksa apakah punca kejadian tersebut.
“Jentera saya tiba-tiba mati enjin. Ketika ini kami tidak pasti apakah yang berlaku,” jelasnya.
Menurut peraturan, pelumba yang menggunakan lebih daripada lima enjin dalam satu musim perlu memulakan perlumbaan di pit, lima saat selepas lampu hijau menyala.
Senario itu pastinya mahu dielakkan terutamanya bagi pendahulu kejuaraan Fabio Quartararo dan Maverick Vinales.