Bikesrepublic

Berita Terkini

Perodua telah mencatatkan rekod jualan bulanan tertinggi pada Oktober sekaligus mengatasi rekod jualan pada September.

Lebih 26,852 unit kenderaan telah terjual pada Oktober sekaligus memadam rekod 25,035 unit terjual pada bulan sebelumnya.

Berikut pecahan jualan mengikut unit bagi bulan Oktober:

  • Myvi 8,052
  • Axia 6,738
  • Bezza 6,895
  • Aruz 3,193
  • Alza 1,974

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato Zainal Abidin Ahmad, pencapaian ini cukup positif buat syarikat itu.

“Pada September, kami telah mencapai jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah kami dan kini, kami telah mengatasi pencapaian tersebut.

“Kejayaan ini penting buat kami kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin dan juga peranan kami dalam memulihara ekosistem automotif.

“Dalam Oktober sahaja, kami telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terkesan dengan pandemik yang kita hadapi sekarang,” jelasnya.

Menurut Dato Zainal lagi, ketika ini kapasiti pengeluaran berada di tahap 98 peratus bagi Oktober dengan 26,362 unit dan merupakan pengeluaran tertinggi setakat ini dari kilang di Sungai Choh.

Rapper popular, Joe Flizzow muncul antara pemilik Vespa Primavera x Sean Wotherspoon di Malaysia.

Perkara itu disahkan menerusi perkongsian di Facebook oleh Hup Seng Bikerz yang mengucapkan terima kasih kepada penyanyi itu yang hadir membuat pembelian.

Berdasarkan beberapa gambar yang dimuat naik, Joe Flizzow tampil memakai Nike AirMax 97 X Sean Wotherspoon dan topi Nike Sean Wotherspoon sebagai tanda sokongan terhadap ikon dunia vintaj itu.

Vespa Primavera X Sean Wotherspoon telah pun dilancarkan pada awal Oktober lalu oleh Didi Resources, selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia.

Vespa Primavera X Sean Wotherspoon edisi terhad ini ditawarkan pada harga RM24,960.

Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk mendapatkan aksesori Vespa X Sean Wotherspoon ini boleh singgah ke Crossover di Sunway Pyramid.

Jorge Lorenzo mengesahkan dia sedang dalam perbincangan dengan Aprilia bagi peranan pelumba uji pasukan itu tahun depan.

Bagaimanapun, juara dunia tiga kali itu mendedahkan pilihan pertamanya adalah terus kekal bersama Yamaha ketika ini.

Menurut laporan AS.com, Lorenzo bertegas mahu terus kekal di Yamaha.

*Jorge Lorenzo

“Saya mahu terus memainkan peranan selaku pelumba uji di Yamaha.

“Kerana saya telah meraih kejuaraan bersama mereka di samping selesa dengan jentera tetapi pilihan lain juga ada antaranya Aprilia,” jelasnya.

Hubungan Lorenzo bersama Yamaha kelihatan runcing tatkala dia hanya membuat ujian menggunakan jentera 2019 di samping tidak diberi masa panjang sewaktu ujian di litar Portimao.

Menurut Lorenzo, dia juga agak terkilan apabila diarahkan untuk turun ujian di Portimao diminit akhir meskipun dimaklumkan sebaliknya sebelum itu.

“Saya hanya turun sewaktu Winter Test selama dua hari di Sepang dan kemudian baru-baru ini di Portimao

“Pada Jun lalu sewaktu ‘lockdown’ Covid-19, saya dimaklumkan oleh Yamaha bahawa tiada lagi ujian dijalankan tahun ini jadi saya memperlahankan rentak.

“Kemudian tiba-tiba Yamaha memaklumkan tentang ujian di Portimao di minit akhir dan waktu itu saya lakukan apa yang terdaya untuk mendapatkan rentak kerana sudah lapan bulan tidak menunggang jentera MotoGP.

“Tetapi saya sudah kehilangan rentak, refleks dan reaksi terhadap jentera. Sukar untuk memberikan yang terbaik apabila terpaksa turun di minit akhir di samping menunggang jentera lama,” tambahnya.

Pada masa sama, perbincangan bersama Aprilia membabitkan projek besar untuk mengembalikan jenama itu ke peringkat tinggi sepertimana dilakukan Dani Pedrosa di KTM.

Lorenzo juga mendedahkan berminat untuk menjadi mentor kepada Andrea Iannone sekiranya dia dibenarkan beraksi musim depan.

Sekiranya Lorenzo berhijrah ke Aprilia, desas desus mengatakan peranan itu bakal diambil alih Andrea Dovizioso. – AS.com

Selepas tular beberapa imej ‘spyshot’ di Vietnam, Yamaha akhirnya melancarkan Aerox 155 Connected 2021 secara rasmi di Indonesia.

Lebih dikenali sebagai NVX di pasaran Malaysia, Aerox 155 kini bukan sahaja tampil dengan reka bentuk berlainan malah digerakan dengan enjin serba baharu.

*Lampu LED rekaan baharu dengan DRL

Rekaan lampu depan paling mencuri tumpuan dengan bentuk yang lebih besar dan menonjol dengan penggunaan lampu LED dan DRL (daytime running light).

*Kini datang dengan fungsi Y-Connect

Sementara itu, paparan digital kini boleh dihubungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi Y-Connect.

Menerusi video pelancaran secara strim langsung itu, Yamaha Indonesia mendedahkan bahawa enjin 155cc DOCH dengan VVA ini menawarkan 15.2hp pada 8,000rpm dan 13.9Nm pada 6,500rpm.

*Enjin 155cc DOHC dengan VVA menawarkan 15.2hp

Bukan itu sahaja, kapasiti tangki juga dipertingkat ke 5.5 liter berbanding 4.6L sebelum ini.

Bagaimanapun, beberapa ciri lain masih lagi dikekalkan antaranya penggunaan brek cakera depan dan dram belakang, fork teleskopik, pengecas USB dan rim 14 inci.

Terdapat dua varian ditawarkan di Indonesia – dengan ABS dan tanpa ABS – dengan varian ABS ditawarkan pada harga IDR29 juta (RM8,204) dengan pilihan warna Prestige Silver dan Maxi Signature Black.

Suzuki telah melancarkan GSX-R150 MotoGP Edition di Indonesia sempena meraikan ulang tahun ke-100 pengeluar motosikal Jepun itu dan 50 tahun sejak bertapak di republik itu.

Edisi MotoGP ini menyaksikan GSX-R150 tampil dengan warna Suzuki Ecstar dengan gabungan warna biru dan silver seperti yang terdapat pada GSX-RR.

Bagaimanapun, spesifikasi GSX-R150 ini kekal sama dengan enjin 147.3cc DOHC satu silinder yang menghasilkan 19hp pada 10,500rpm dan 14Nm pada 9,000rpm yang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan.

Model ini turut dilengkapi dengan sistem keyless, lampu LED, paparan digital, rim 17 inci serba hitam, fork teleskopik dengan tayar 90/80-17 (depan) dan 130/70-17 (belakang).

Suzuki GSX-R150 MotoGP Edition ini juga menawarkan berat (kering) sekita 131 kilogram sahaja.

Suzuki Indonesia menawarkan GSX-R150 MotoGP Edition ini pada harga IDR31.6 juta (RM8,950) *tukaran langsung.

Sementara itu, Suzuki Malaysia yang kini telah pun kembali di Malaysia dengan pemegang baharu (akan diumumkan kemudian) pernah mendedahkan akan membawa masuk GSX-R namun tidak mendedahkan sama ada model itu membabitkan sesaran enjin 150cc.

Bagaimanapun, pastinya model GSX-R150 MotoGP Edition ini mampu menarik perhatian sekiranya dibawa masuk ke pasaran tempatan.

Aktivis sosial dan pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, menggesa kerajaan untuk mewujudkan laluan berasingan bagi motosikal di seluruh negara.

Menurut Lee Lam Thye, tindakan kerajaan meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi menangani insiden membabitkan pemandu mabuk sememangnya dipuji namun menyifatkan keutamaan yang sama tidak diberikan kepada penunggang motosikal.

“Cadangan ini berkenaan dengan keselamatan penunggang motosikal yang merupakan pengguna jalan raya paling terdedah dengan kemalangan maut.

“Contoh terbaik adalah laluan motosikal di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan dari Petaling Jaya hingga ke Klang.

“Menurut statistik, purata hanya dua kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal berlaku dalam setahun,” jelasnya.

Sementara itu, aktivis tersebut turut mencadangkan agar kerajaan menghadkan kelajuan motosikal.

“Langkah kedua adalah menggubal undang-undang bagi menghadkan kelajuan motosikal yang kini menjadi kebiasaan untuk menunggang secara melulu dan laju tanpa perlu risau akan dikenakan tindakan.

“Bagi mengurangkan perbelanjaan dalam menyediakan laluan berasingan bagi motosikal, pihak berkuasa seperti Kementerian Pengangkutan dan polis boleh hadkan penunggang motosikal untuk menunggang hanya di lorong lebuh raya paling kiri.

“Hanya dengan cara ini, kenderaan dua roda tidak boleh menggunakan di lorong laju yang menjadi antara penyebab utama kemalangan maut di kalangan penunggang motosikal.

“Ikatan Komuniti Selamat melihat cadangan ini boleh dilaksanakan dan praktikal. Hanya berlandaskan logik akal,” tambahnya. – Bernama

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube