Bikesrepublic

Berita Terkini

Xiaomi dengan kerjasama Lamborghini memperkenalkan go-kart elektrik untuk orang dewasa, Ninebot GoKart Pro edisi Lamborghini.

Rekaan keseluruhan go-kart ini tampak sama seperti Segway Ninebot namun dengan beberapa ciri yang telah dinaik taraf.

Edisi Lamborghini ini menawarkan kelajuan sehingga 40km/j dengan tayar belakang boleh ditukar kepada tayar ‘drift’ bagi menawarkan pemanduan lebih ekstrim dan lasak.

Antara ciri lain yang turut ditawarkan adalah stering Ackerman, lampu depan, spoiler belakang yang Xiaomi mendakwa meningkatkan aerodinamik dan pemanduan.

Jentera ini juga didatangkan dengan empat corong udara bagi menyalurkan penyejukan ram-air kepada bateri 432Wh.

Bukan itu sahaja, bateri tersebut juga didakwa mampu menggerakan go-kart ini lebih 62 lap sekitar trak 400 meter atau 25km.

Antara ciri menarik lain ditawarkan termasuk pembesar suara yang boleh dimainkan secara Bluetooth atau pemandu boleh memainkan bunyi enjin Lamborghini V8 atau V12 jika bosan dengan bunyi yang dihasilkan motor elektrik terbabit.

Ninebot GoKart Pro Lamborghini Edition ini ditawarkan pada harga USD1,450 (RM6,050).

PROTON menggesa pemilik kereta jenis Proton Perdana untuk menukar beg udara Takata dengan kadar segera di pusat servis rasmi berdekatan.

Model yang terkesan adalah unit yang dihasilkan di antara 2012 hingga penghujung 2018 dan pertukaran bag udara ini adalah sebahagian daripada inisiatif global.

Tindakan ini adalah selaras dengan Laporan Maklumat Kerosakan (DIR) yang dikeluarkan Pentadbiran Keselamatan dan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika (NHTSA) bagi mengganti beg udara.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah menjelaskan PROTON telah pun memulakan proses penggantian ini sejak Januari 2019.

“Dari usaha sama kakitangan dan pengedar PROTON, kami telah berjaya menghubungi pelanggan dan melakukan penggantian inflator beg udara.

“Sebanyak 6,342 kereta yang terjejas dan setakat 18 Ogos 2020, pusat servis kami telah melakukan penggantian untuk 5,625 unit atau 87.5% dari jumlah keseluruhannya,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah

Bagaimanapun, perlu ditegaskan pertukaran ini tidak menjejaskan model Proton yag lain kerana menggunakan pembekal yang berbeza.

“Keselamatan pelanggan amat penting untuk PROTON. Walau bagaimana pun, kami tidak dapat menghubungi semua pemilik Proton Perdana sebab maklumat pemilik tidak lengkap. Oleh itu, kami ingin menyeru semua pemilik yang belum mengganti inflator beg udara mereka, hubungi pusat servis kami untuk membuat temu janji segera.

“Pertukaran inflator beg udara ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam serta tidak akan dikenakan apa-apa bayaran. Kereta yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018 pula tidak perlu menukar beg udara,” tambahnya.

BMW Malaysia dengan kerjasama Shell Malaysia memperkenalkan program servis dan selenggara minyak enjin dan alat ganti yang menawarkan Shell Helix Ultra Profesional ABB 5W-40.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, menyifatkan kerjasama berterusan bersama Shell membolehkan kedua-dua pihak menawarkan perkhidmatan terbaik.

“Di BMW Malaysia, kami percaya bahawa usaha sama signifikan yang dijalin dengan pihak-pihak utama dalam industri dapat membuahkan pengalaman pemilikan premium yang terunggul buat pelanggan kami.

“Shell terus berperanan sebagai rakan kongsi strategik kepada jenama BMW secara global, dan usaha sama ini telah membolehkan kedua-dua pihak membekalkan nilai dan servis yang terbaik buat para pelanggan di seluruh negara,” jelasnya.

Shell menjadi satu-satunya pembekal yang disyorkan bagi minyak enjin berjenama BMW yang tulen serta minyak enjin pasaran sekunder (aftermarket) bagi semua jenama dalam BMW Group di rantau ini,sejak 2015.

Menerusi program ini, terdapat dua pakej ditawarkan; Pakej Servis Minyak BMW (BMW Oil Service Package) dan Pakej Nilai Servis BMW (BMW Service Value Package) yang akan menjaminkan perlindungan dan jangka hayat enjin lebih lama.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga berpeluang bawa pulang sebuah BMW M4 Motorsport Collectible Remote Car edisi terhad yang bernilai RM250 bagi setiap pembelian pakej servis yang ditawarkan pada harga RM500.

Para pelanggan boleh membuat janji temu dengan mudah bagi Pakej Servis Minyak BMW atau Pakej Nilai Servis BMW di mana-mana Pusat Pengedaran BMW Bertauliah.

Program ini ditawarkan mulai hari ini sehingga 31 Disember 2020, untuk maklumat lanjut, sila layari BMW.com.my

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan agar membenarkan orang ramai menggunakan e-bike di jalan raya awam bagi mengurangkan pencemaran udara.

Menurutnya polisi baharu itu telah pun dipraktikan di China dengan lebih 4 juta pengguna menggunakan e-bike setiap hari di Shanghai.

“Pastinya tahap emisi mereka akan menurun satu hari nanti, saya tak faham mengapa kita tidak menggunakan e-bike,” katanya.

Dia turut meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meneliti semula polisi penggunaan e-bike yang tidak membenarkan e-bike untuk beroperasi di jalan raya awam sebaliknya hanya dibenarkan di kawasan perumahan.

Ini kerana mengambil kira faktor e-bike adalah jauh lebih perlahan berbanding kenderaan lain dan akan mengganggu kelancaran trafik.

Ketika ini, e-bike dijual secara meluas di atas talian dengan harga ditawarkan bawah RM1,000. – FMT

Miguel Oliviera, merekodkan kejutan di GP Styria apabila muncul pemenang meskipun berada di tempat ketiga ketika memasuki selekoh terakhir.

Litar Red Bull Ring sekali lagi mengundang pelbagai drama selepas kemalangan ngeri yang berlaku minggu lalu.

Suzuki pada awalnya mendahului perlumbaan menerusi Joan Mir namun segalanya berubah apabila bendera merah dikibarkan susulan kemalangan menimpa pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales ketika perlumbaan berbaki 13 lap.

Difahamkan, Vinales berdepan masalah brek yang memaksa pelumba itu untuk meninggalkan jenteranya di Turn 1 pada kelajuan sekitar 215km/j.

Mir yang mempamerkan tunggangan mantap hilang kedudukan selaku pendahulu perlumbaan apabila ketinggalan sebaik aksi dimulakan semula yang menyaksikan Jack Miller (Pramac Ducati) menjadi pendahulu baharu.

Mir cuba bangkit namun keadaan tayar depan yang mula terjejas memberi kesan terhadap percubaan keduanya untuk kembali didepan tatkala Espargaro, Miller dan Oliviera kembali dengan set tayar baharu sebaik dimulakan semula.

Aksi kejar mengejar di antara Miller dan Pol Espargaro (Red Bull KTM) berterusan sehingga ke lap terakhir dengan Oliviera tenang di kedudukan ketiga.

Bagaimanapun, ketika menghampiri selekoh terakhir sebelum sampai ke garisan penamat, perebutan tempat pertama di antara Miller dan Espargaro mula sengit dan memaksa kedua-duanya tersasar daripada litar.

Senario itu membuka peluang buat Oliviera untuk memintas kedua-dua pelumba dan menamatkan perlumbaan sebagai pemenang dengan catatan masa 16 minit 56.025saat diikuti Miller kedua (+0.316s) dan Espargaro ketiga (+0.540).

Oliviera turut muncul selaku pelumba Portugal pertama yang berjaya merekodkan kemenangan di kelas premier dan turut memenangi sebuah BMW M4 serba baharu daripada BMW M atas kejayaannya kali ini!

Sementara itu, pendahulu kejuaraan kekal Fabio Quartararo (Petronas SRT) dengan 70 mata diekori rapat dengan Andrea Dovizioso (Ducati) dengan 70 mata dan Jack Miller ketiga dengan 56 mata.

Aksi MotoGP kembali bersambung dua minggu lagi di Litar Misano.

Ketika GP Austria berlangsung sengit di Litar Red Bull Ring, Marc Marquez hanya mampu melibatkan diri sebagai penonton tatkala dia masih dalam proses pemulihan.

Kini, pengurus pasukan Honda, Alberto Puig mengesahkan Marquez akan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk kembali beraksi bersama jentera RC213V.

Marquez kemalangan ketika di GP Sepanyol, 19 Julai lalu dan mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan sehingga terpaksa dimasukkan plat titanium.

Dia kemudiannya cuba kembali di GP Andalucia namun terpaksa menarik diri ketika sesi kelayakan sebelum disahkan terpaksa menjalani pembedahan kedua tatkala plat titanium tersebut didapati rosak.

“Terdapat banyak perbincangan mengenai Marquez tetapi daripada pembedahan kedua lagi fokus kami adalah untuk dia kembali pulih 100 peratus.

“Kami enggan tergesa-gesa untuk dia kembali, selepas Marquez kembali barulah kami akan merencana langkah seterusnya,” jelas Puig.

Ketiadaan Marquez untuk tempoh 3 bulan itu sekaligus beri bayangan dia tidak cukup masa untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.

Aksi MotoGP bersambung minggu ini di GP Styria dengan Pol Espargaro bakal memulakan aksi di petak depan diikuti Takaaki Nakagami sementara Johann Zarco yang merekodkan masa ketiga terpantas terpaksa bermula di pit.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube