Bagi membolehkan orang ramai mempunyai akses kepada ‘top box’ berkualiti, GIVI Malaysia memperkenalkan ‘top box’ Rahmah yang boleh dimiliki pada harga RM198 sahaja.
‘Top box’ yang ditawarkan itu merupakan model E450N2 dan menawarkan kapasiti 45L yang mampu menampung berat sehingga 5kg dan boleh memuatkan dua helmet bersaiz penuh (full-face). Penggunaan bahan jenis Technopolymer juga membuatkan E450N2 ini tahan lasak untuk kegunaan harian.
Menurut GIVI Malaysia, tawaran ‘top box’ Rahmah dengan harga kasih sayang ini adalah terhad dan hanya ditawarkan sementara stok masih ada.
Kunjungi wakil sah GIVI atau GIVI Point untuk mendapatkan tawaran terbaru ini.
Sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa Suzuki Malaysia bakal memperkenalkan Suzuki V-Strom 250SX untuk pasaran Malaysia. Pendedahan tersebut dibuat ekoran model tersebut telah dilihat menjalani ujian di Malaysia.
Menariknya, kami difahamkan terdapat dua jenis V-Strom 250 yang sedang diuji, V-Strom 250 (lampu bulat) yang dikuasakan enjin parallel-twin (dua silinder selari) dan V-Strom 250SX.
Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa V-Strom 250SX yang akan dipasarkan disini tidak lama lagi dengan pelancaran dijadualkan berlangsung tahun ini.
Untuk rekod, V-Strom 250 SX dikuasakan enjin satu silinder 250cc dengan penyejukan minyak, SOCH 4-valve F1 yang berupaya menghasilkan 26hp pada 9,300rpm dan 22.2Nm pada 7,300rpm. Kuasa enjiin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan.
Suzuki V-Strom 250SX ini juga telah dipasarkan di negara jiran Indonesia dan dijual pada harga IDR59.5 juta atau bersamaan dengan RM17.9k.
Dalam pada itu, Suzuki Malaysia juga akan memasuki segmen sportsbike 250cc dengan GSX-250R yang bakal menyaingi Yamaha YZF-R25, Honda CBR250RR dan Kawasaki Ninja 250.
Kelibat model itu juga telah pun kelihatan di perkarangan Suzuki Malaysia sebelum ini di samping pengedar tempatan juga telah hadir bagi latihan produk model berkenaan.
Suzuki GSX-250R dikuasakan enjin dua silinder 248cc SOHC dengan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 24.7hp pada 8,000rpm dan 23.3Nm pada 6,500rpm.
Kehadiran kedua-dua model ini pastinya merancakkan lagi pasaran motosikal tempatan di samping menyatakan keberanian Suzuki Malaysia untuk menawarkan barisan produk pelbagai untuk pasaran di sini.
Tahun 2023 sememangnya cukup bermakna buat Kawasaki apabila jenama motosikal Jepun itu akan meraikan ulang tahun ke-70.
Team Green memulakan langkah pertama dalam dunia motosikal pada tahun 1953 dan selepas berakhirnya Perang Dunia Ke-2, Kawasaki mula menghasilakn enjin di bawah nama ‘Kawasaki Machine Works’ dan sejak itu Kawasaki telah pun menjadi nama besar dunia dua roda di pasaran global.
Setakat hari ini, motosikal Kawasaki dijual di lebih 90 negara seluruh dunia termasuk di Malaysia menerusi pengedar baharu, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS).
Bagi meraikan ulang tahun tersebut, Kawasaki akan melangsungkan dua acara besar termasuk Kawasaki Good Times World yang akan berlangsung di Kobe, Jepun dan juga di Amerika Syarikat di Kawasaki USA Heritage Hall bertempat di California bermula September ini.,
Kedua program ini akan menampilkan sejarah bermulanya perniagaan Kawasaki di Jepun dan kemudiannya di serata dunia.
Untuk rekod, Kawasaki memperkenalkan enjin motosikal pertama pada 1953 menerusi enjin “KE-1” sebelum enjin gasolin pelbagai guna KF4 diperkenalkan empat tahun selepas itu.
Kemudian pada 1960, Kawasaki memulakan memulakan pengeluaran motosikal secara besar-besaran hasil kerjasama dengan Meguro Manufacturing Company lalu terhasilnya model popular Kawasaki B8 pada 1963. Model B8 itu berjaya merekodkan tempat pertama sehingga ke-6 bagi perlumbaan motosikal kelas 125cc di Anonogahara, Jepun.
Sehingga ke hari ini, nama Kawasaki cukup gah bagi dunia motosikal dan pentas kejuaraan dunia terutamanya di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) menerusi jentera ZX-10R.
Tidak dinafikan, jentera Jepun seakan berada di ambang kejatuhan di kejuaraan dunia MotoGP ekoran kegagalan bersaing dengan jentera Eropah.
Jentera Honda RC213V dan Yamaha M1 gagal menyaingi kelajuan dan ketangkasan Ducati Desmosedici GP, Aprilia RS-GP dan KTM RC16.
Meskipun Honda dipacu juara dunia lapan kali, Marc Marquez dan Yamaha dengan Fabio Quartararo, kedua-duanya gagal menghadirkan keputusan memberangsangkan. Yamaha paling ketara ketinggalan dengan aksi pembukaan separuh kedua musim di Silverstone musim lalu menyaksikan juara dunia MotoGP musim 2021 itu memulakan perlumbaan di petak terakhir.
Perbezaan utama antara Yamaha dan jentera lain di grid adalah platform yang diguna pakai. Ini kerana Yamaha merupakan satu-satunya jentera – selepas Suzuki – yang masih mempertaruhkan enjin 4-inline berbanding V4 yang diterapkan jentera lawan.
Menyedari perkara itu, pengurus pasukan Yamaha, Lin Jarvis mengakui mereka bersedia melakukan perubahan besar pada masa akan datang.
“Kami tahu kami perlu mengolah semula sistem pembangunan jentera. Kami terbuka dengan apa sahaja, mungkin kami akan ada enjin V4,” jelasnya.
Namun begitu, Jarvis berasa yakin enjin 4-inline sedia ada masih berpotensi untuk pergi lebih jauh dan menyifatkan kebangkitan mesin Eropah adalah sesuatu yang boleh berlaku dalam sukan permotoran.
“(Tahun lalu) Kami mendahului kejuaraan sehingga pertengahan 2022. Realitinya pengeluar Eropah sudah mengatasi pengeluar Jepun. Situasi ini boleh berlaku termasuk di Formula 1. Tetapi adakah kes sama akan berulang pada 2024, itu kami tidak tahu.
“Kami tidak ketinggalan jauh hanya dibezakan sedikit untuk gagal memasuki sesi Q2,” tambah Jarvis.
MotoGP telah pun memulakan separuh kedua musim 2023 minggu lalu di Silverstone yang menyaksikan Aleix Espargaro menghadiahkan kemenangan sulung Aprilia di kelas premier.
Pencapaian itu juga cukup bermakna buat kem Massimo Rivola yang secara tak langsung berjaya menempatkan jentera RS-GP itu setaraf dengan mesin juara lain antaranya Honda RC213V, Yamaha M1 dan Ducati Desmosedici GP.
Bagaimananpun, disebalik kejayaan itu, kem MotoGP sedang rancak dengan pelbagai aktiviti perpindahan pelumba sebagai persiapan musim 2024.
Honda merupakan antara yang dikaitkan dengan pelbagai khabar angin ekoran pelumba tonggak, Marc Marquez dikatakan tidak gembira dengan jentera 2023.
Pengurus pasukan Repsol Honda, Alberto Puig sebelum ini turut memberi bayangan bahawa Marquez boleh meninggalkan pasukan itu sekiranya tidak gembira.
Terbaru, Honda dikatakan bersedia untuk memancing juara dunia MotoGP musim 2023, Fabio Quartararo dari Yamaha.
Ini kerana pelumba Perancis itu juga telah menyuarakan rasa tidak senang terhadap prestasi Yamaha M1 musim ini yang gagal menyaingi jentera Ducati, Aprilia dan KTM. Quartararo sebelum ini juga menegaskan ujian di Misano bulan depan akan menentukan langkah seterusnya selepas ini.
Pengurus pasukan Yamaha, Lin Jarvis juga mengakui di bimbang pelumba utamanya itu akan berpindah ke Honda.
“Saya sedar dengan risiko yang hadir dari Honda kerana mereka sudah tentu mahukan pelumba yang hebat dan Fabio (Quartararo) adalah satu satu daripadanya.
“Bagi memastikan dia kekal, kami perlu sediakan jentera yang kompetitif. Kami juga perlu membuktikan bahawa kami kekal fokus akan kejuaraan ini,” jelas Jarvis.
Kerajaan akan membinba 119 tempat berteduh yang selamat untuk motosikal di lebuh raya seluruh negara.
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Bitara Madani yang membabitkan 33 syarikat konsesi lebuh raya dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Dalam pada itu, usaha tersebut juga disambut baik Ahli Bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud.
“Saya yakin KKR serta pihak konsesi lebuh raya akan membuat kajian terperinci tentang komponen penting yang perlu disediakan dan lokasi teduhan yang biasanya mempunyai bilangan pengguna motosikal lebih banyak berbanding lokasi lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sebelum ini, pengumuman pembinaan 119 tempat berteduh yang selamat bagi motosikal itu telah pun diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Selain dalah memastikan penunggang motosikal mempunyai tempat berteduh terutamanya ketika hujan lebat pembinaan tapak khas itu juga boleh melindungi penunggang motosikal daripada dirempuh kenderaan terutamanya yang berteduh di bawah jejambat.
Difahamkan, 40 (daripada 119) tempat berteduh baharu akan siap tahun ini manakala selebihnya akan siap pada 2024. Pembinaan 119 tempat berteduh itu adalah tambahan daripada 353 tapak sedia ada. – BERNAMA