Bikesrepublic

Berita Terkini

Kontrak pelumba veteran, Valentino Rossi, bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT), tidak akan disambung musim depan.

Perkara itu disahkan prinsipal pasukan SRT, Datuk Razlan Razali.

Difahamkan, keputusan untuk tidak menyambung kontrak itu diambil setelah mengambil kenyataan Rossi yang sebelum ini memaklumkan sebarang keputusan hanya akan diambil setelah cuti musim panas.

Enggan menunggu terlalu lama ketika pasukan lain telah pun mula mengesahkan slot ke MotoGP bersama pelumba masing-masing, Razlan membuat keputusan untuk menamatkan hubungan bersama juara dunia tujuh kali MotoGP itu.

“Kami (SRT) enggan menunggu terlalu lama mengenai keputusan Rossi sama ada dia ingin meneruskan perlumbaan atau tidak pada musim depan.

“Menerusi perbincangan dengan pengurusan, kami sebulat suara bersetuju tidak ingin meneruskan kontrak bersama Rossi bagi perlumbaan 2022,” jelasnya.

Menurut Razlan, langkah seterusnya bagi SRT adalah mencari bakat muda terbaik bagi mengisi slot Rossi.

Selain daripada belum mempertimbangkan perjalanan karier musim depan, Rossi juga sibuk degan pembangunan pasukan sendiri apabila VR46 disahkan bakal beraksi di kelas premier musim depan bersama Saudi Aramco selaku penaja utama.

Meskipun masih tiada pengesahan rasmi setakat ini namun, VR46 dijangka akan mengambil slot Avintia yang bakal meninggalkan saingan MotoGP musim ini. – KOSMO

Pelumba supermoto negara, Khairulamirin Yahaya, telah mengalami kemalangan ngeri sewaktu ujian bebas bagi menghadapi Kejuaraan Supermoto Sepanyol di Albaida, Jumaat lalu (11 Jun).

Perkara itu disahkan pasukannya, Supermotoland Husqvarna Junior Talent Team.

Kemalangan tersebut menyebabkan Khairulamirin patah tulang pelvis dan mengalami pendarahan dalaman sekaligus menyaksikan dia bakal terlepas aksi untuk beberapa bulan dalam usaha untuk kembali pulih dari kecederaan.

Menurut laporan, pelumba 19 tahun itu hilang kawalan jentera dan mengalami ‘highside’ ketika sesi terakhir ujian sewaktu dalam kelajuan tinggi dalam usaha mengejar catatan lap yang lebih baik.

Pasukan perubatan bergegas memberi rawatan dan Khairulamirin terus dikejarkan ke hospital sebelum dia disahkan stabil selepas menjalani pembedahan kecemasan bagi menghentikan pendarahan dalaman.

Bagaimanapun, keadaan Khairulamirin masih dipantau rapat dan telah pun dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada Isnin.

Meskipum baru berhadapan kemalangan, Khairulamirin menyasarkan untuk kembali cergas bagi bersaing di pusingan akhir Kejuaraan Supermoto Eropah S4 yang dijadualkan pada Oktober.

Khairulamirin merupakan pelumba supermoto pertama negara yang berjaya melayakan diri ke Kejuaraan Supermoto Eropah S4. – Supermotoland

Selepas berbulan khabar angin, akhirnya Gresini Racing disahkan bakal meneruskan saingan di MotoGP musim depan bersama Ducati.

Kerjasama Gresini bersama Aprilia Racing berakhir hujung musim ini tatkala pengeluar dari Noale, Itali itu akan bergerak sebagai pasukan factory musim 2022.

Ini bermakna, Gresini akan kembali sebagai pasukan Independent MotoGP musim depan dengan sokongan Ducati sebagai pengeluar di samping bakal mempertaruhkan Fabio Di Giannantonio dan Enea Bastianini.

Bastianini yang ketika ini bersama Avintia Ducati, bakal meneruskan kerjasama dengan pengeluar motosikal Itali itu di Gresini manakala rakan sepasukan, Luca Marini, dijangka sertai Aramco VR46 yang akan mengambil slot Avintia, musim depan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ducati Corse, Gigi Dall’Igna, teruja dengan perjanjian terbaru itu.

“Kami gembira berjaya mencapai persetujuan bersama Gresini Racing untuk dua musim di MotoGP.

“Kami telah pun mencapai kesepakatan bersama mendiang Fausto (Gresini) hujung tahun lalu jadi kami amat berbesar hati kerana keluarganya berminat meneruskan projek ini.

“Kami amat yakin dengan kerjasama kali ini di samping bergantung kepada dua pelumba muda seperti Enea dan Fabio,” jelasnya. – MotoGP

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (PSRT), Datuk Razlan Razali mendedahkan pasukan itu bersedia untuk memancing pelumba Moto3 di FIM CEV Repsol, Syarifuddin Azman.

Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok, merekodkan kemenangan sulung musim ini ketika Perlumbaan 1 di Litar Catalunya, hujung minggu lalu.

Senario itu turut mendapat perhatian Razlan yang sentiasa mengikuti perkembangan pelumba negara di CEV termasuk Adam Norrodin di Moto2.

Bagi Razlan, Damok sudah menunjukkan kematangan selepas dua tahun beraksi di CEV.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, bila mereka mempamerkan keputusan baik sudah pasti peluang mereka untuk menyertai ke SRT amat cerah. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah keutamaan pasukan.

“Semua tahu saingan di CEV adalah perlumbaan yang kompetitif. Jadi, peluang Damok ke Moto3 bersama SRT amat cerah dan saya harap dia terus berdisiplin meneruskan aksi terbaik seperti ini sehingga akhir musim,” jelas Razlan.

Sementara itu, Adam turut dicanang untuk bersama Damok ke MotoGP di kelas Moto2 dan Moto3 tatkala berjaya mempamerkan keputusan cemerlang setakat ini. – KOSMO

CFMoto telah pun melancarkan 800MT secara global di Beijing Motor Show 2021, baru-baru ini.

Terdapat dua varian dihasilkan 800MT Sport dan 800MT Touring namun hanya varian Touring yang akan dipasarkan di Malaysia.

Antara perbezaan utama adalah penggunaan rim 19″ jenis spoke serta tetapan suspension dengan jarka kelegaan yang lebih tinggi.

CFMoto 800MT dikuasakan enjin parallel-twin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure dan menawarkan 95hp pada 8,000rpm dan 88Nm pada 6,600rpm.

800MT ini turut tampil dengan ciri slipper clutch, suntikan bahan api elektronik Bosch dan fungsi ride-by-wire dengan tiga mod tunggangan; rain,off-road dan road

Antara ciri menarik lain yang turut ditawarkan:

  • sistem suspension KYB
  • kaliper brek J.Juan
  • ABS dwi-saluran
  • cruise control
  • tangki 19L
  • crash bar
  • tempat duduk dengan ketinggian 825mm
  • penghadang angin boleh laras
  • pengecas USB
  • lampu LED penuh

Kami dimaklumkan bahawa selain varian premium (Touring) sahaja yang akan dipasarkan di Malaysia, CFMoto 800MT ini akan ditawarkan pada harga sekitar RM50,000 sekaligus meletakkan model ini sebagai motosikal ‘adventure-touring’ paling mampu milik.

Suzuki mengumumkan akan melancarkan model GSX-S950 serba baharu tahun ini sebagai pilihan segmen pertengahan.

Dijadualkan untuk pelancaran pada Ogos, GSX-S950 ini menampilkan reka bentuk sama seperti GSX-S1000 2022 yang dilancarkan sebelum ini.

Bukan itu sahaja, GSX-S950 ini juga dihidupkan dengan enjin 999cc sama terdapat pada GSX-S1000 namun dengan kuasa yang telah ditala semula bagi menawarkan 94hp dan 92Nm.

Jentera ini juga lengkap dengan fungsi ride-by-wire, klac slip/assist serta Suzuki low RPM assist seperti yang ditawarkan GSX-S1000.

Meskipun didatangkan dengan kerangka jenis aluminium sama seperti versi 1000cc, GSX-S950 ini tampil dengan fork depan KYB 43mm, brek kaliper Tokico (berbanding Brembo pada GSX-S1000) dan handlebar yang lebih menegak.

Difahamkan GSX-S950 ini bakal saingi segmen motosikal pertengahan yang ketika ini dibarisi Yamaha MT-07, Triumph Trident 660 dan Honda CBR650R.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube