Dua antara pelajar Malaysia meninggal dunia setelah terbabit di dalam sebuah kemalangan jalan raya di New Zealand, semalam. Kemalangan di sekitar Tasik Tekapo itu turut mencederakan 3 rakan mereka.
“Dua mangsa dilaporkan terkorban di tempat kejadian manakala tiga lagi sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar.
“Kementerian Luar Negeri dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedia membantu sekiranya pihak waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.
“Kementerian Luar Negeri juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam insiden ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Negara, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya sedang menunggu keputusan pihak keluarga dua mangsa yang meninggal dunia itu untuk dibawa balik ke Malaysia atau sebaliknya.
“Pelajar kita di New Zealand yang kemalangan semuanya sudah diuruskan, yang cedera dan meninggal dunia sudah dibawa ke hospital dan jenazah masing-masing akan diuruskan.
“Kita menunggu pihak keluarga untuk datang atau pun untuk minta apa juga bantuan yang diperlukan. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana sentiasa bersedia untuk membantu,” katanya.
Terdapat juga laporan bahawa turut terdapat sebuah lagi kemalangan maut yang membabitkan 2 kereta dan sebuah motosikal di jalan yang sama, hanya 2 jam selepas kemalangan yang membabitkan pelajar Malaysia. Kesemua kemalangan ini menyebabkan 20 kecederaan dan 3 kematian.